Friday, September 7, 2012

Sheikh Izzuddin Bin Abdul Salam


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

DILAHIRKAN di Damsyik, Syria pada tahun 577 Hijriah dan dinamakan Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulaimi al-Dimasyqi al-Misri al-Syafie. Beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Meninggal dunia di Mesir pada tahun 66o Hijriah.

Seorang tokoh ilmuan yang hebat dalam sejarah Islam. Ulama' mazhab Syafi'e yang masyhur dengan ilmu "Maqasid Al-Syariah" / objektif syara'. Karya-karya beliau berjumlah lebih daripada 30 buah, antara yang termasyhurnya ialah "Qawa'id al-Ahkam fi Masolih al-Anam".

Beliau terkenal dengan gelaran Sultan Ulama` dan Penjual Raja-Raja. Beliau mendapat gelaran tersebut kerana beberapa sebab, antaranya adalah kerana keberaniannya berdepan dengan pemerintah Syam yang bersekongkol dengan tentera Salibiyyah Rom untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Mesir sehingga digelar Sultan Ulama`.

Pada tahun 638 Hijriah, berlaku peristiwa perbalahan di antara pemerintahan Damsyik, al-Saleh Ismail dan pemerintahan Mesir, Najmuddin Ayyub (bapa Sallahuddin al-Ayyubi). Apabila al-Saleh berasa gentar dengan ancaman Najmuddin, beliau telah membuat satu komplot dengan tentera kafir Salibiyyah untuk membantunya menentang saudaranya seagamanya, Najmuddin dengan menjanjikan beberapa negeri dan kawasan kepada Salibiyyah. Malah beliau juga membeli senjata bagi pihak Salibiyyah untuk memerangi kaum muslimin.

Setelah berita ini sampai kepada al-Izz yang merupakan khatib dan Mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengutuk dan mengecam tindakan al-Saleh tersebut, yang merupakan suatu penghianatan besar terhadap umat Islam. Beliau tidak lagi berdoa untuk Sultan di dalam khutbahnya, sebaliknya berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali bai'ahnya (taat-setianya). Pada masa itu al-Saleh berada di luar Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda telah menghantar utusan kepada al-Izz dan mengarahkan al-Izz supaya menarik kembali fatwa beliau serta meminta maaf terhadap al-Saleh dan tentera Salibiyyah.

Sudah tentu al-Izz enggan mematuhi arahan al-Saleh tersebut. Oleh kerana keengganan al-Izz tersebut, al-Saleh terus mengeluarkan arahan memecat al-Izz dari jawatan khatib dan Mufti Damsyik serta mengarahkan supaya al-Izz ditangkap.

Al-Izz menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia bekorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Setelah dibebaskan dari penjara, al-Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik dan menuju ke al-Quds (Palestin), Al-Saleh bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan al-Izz dan baginda menghantar seorang wakil untuk bertemu al-Izz serta memujuknya agar menarik kembali fatwa beliau yang masih tetap dipatuhi oleh rakyat Syria serta datang mengadap Sultan dan memohon maaf kepada al-Saleh dan tentera Salibiyyah. Sekiranya beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan asalnya. Al-Izz bagaimanapun dengan tegas menjawab: " wahai si miskin! aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku, bagaimana pula aku sanggup mencium tangannya."

Utusan itu menjawab: " jika tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali."
Al-Izz menjawab: "buatlah apa yang kamu suka."

Lalu al-Izz pun ditangkap kembali dan dikurang di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah yang didiami oleh Sultan dan ketua tentera Salibiyyah. Pada waktu malam terdengarlah suara al-Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir. Ketika itu al-Saleh Ismail memberitahu ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama' yang ditangkap kerana enggan bekerjasama dengan baginda. "Beliau ditangkap demi kepentingan kamu", ceritanya dengan bangga. Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya menjawbnya ; "Kalaulah ulama' ini di dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan meminum air basuhan tersebut".

Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera al-Saleh Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya al-Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.

 
Nota: Kita pernah memiliki ulama' dalam kerajaan yang memiliki keberanian seperti al-Izz ini. Beliau adalah Ustaz Dato' Haji Ishak Baharom. Beliau rela dilucutkan jawatan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Selangor kerana mempertahankan tindakan menangkap peserta ratu cantik yang beragama Islam. Namun kini, hampir tidak kelihatan ulama'-ulama' seberani beliau di dalam kerajaan memerintah negara kita sekarang ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...