Wednesday, August 8, 2012

Memorandum NGO Royalti Kepada YAB Menteri Besar Kelantan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dalam memperjuangkan hak rakyat, pejuang-pejuang ini rela bermandikan darah

Baginda Sultan Muhammad V sendiri merestui tuntutan

Pemimpin bersama-sama rakyat dalam memperjuang hak rakyat

Pengkhianat diangkat sebagai pejuang
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

MEMORANDUM DAN TUNTUTAN AGAR KERAJAAN NEGERI MENOLAK CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI YANG DICADANGKAN OLEH PERDANA MENTERI MALAYSIA BAGI MENYELESAIKAN ISU TUNTUTAN ROYALTI NEGERI KELANTAN.

KEPADA

YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

MENTERI BESAR NEGERI KELANTAN.

DARIPADA

GABUNGAN PROFESIONAL TUNTUT ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN (ROYALTI) MENGENAI ISU TUNTUTAN ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN.


KEPADA


YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA,

ROYALTI KELANTAN: TOLAK JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI DAN TEMPOH ENAM BULAN ADALAH TIDAK RELEVAN.

Assalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh;

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia;

Dengan hormatnya, ini adalah MEMORANDUM kepada Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan. Suka kami menarik perhatian pihak YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia bahawa isu Pengeluaran Petroleum sebagai Hasil Bumi Negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui Batasan Kepentingan Politik yang sempit.

Pertama (1);

Kami mewakili NGO-NGO dan Rakyat Negeri Kelantan merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas kesungguhan pihak Kerajaan Persekutuan dalam memikul Amanah dan Tanggungjawab yang telah diberikan oleh majoriti rakyat negara Malaysia terutamanya di dalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang selama ini telah dinafikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1975.

Kami percaya, majoriti rakyat Negeri Kelantan akan memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sekiranya pihak Kerajaan Malaysia sanggup berlaku Jujur, Adil dan Ikhlas dalam menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan setelah pihak Kerajaan Persekutuan membuat keputusan membuka meja rundingan bagi menyelesaikan masalah berbangkit dan mengutus surat jemputan secara rasmi kepada pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Kedua (2);

Surat Rasmi yang telah dihantar oleh Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri kepada YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Menteri Besar Negeri Kelantan, antara lain isi kandungannya menyebut bahawa;

# Jawatankuasa ini akan membuat kajian dan bersidang dalam tempoh 6 bulan sebelum memutuskan Tuntutan Bayaran Tunai Kerajaan Negeri Kelantan dibuat secara adil, telus dan saksama. 

Merujuk kepada perkara di atas, kami ingin menarik perhatian YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia tentang pendirian pihak kami berkenaan dengan hal yang berkaitan.

Ketika kunjungan Y.A.B Dato’ Seri ke Negeri Kelantan pada 1hb. Ogos, 2009 dan melalui perbincangan Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri dengan YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri telah menyatakan bahawa kajian masih sedang dijalankan berkenaan dengan masalah Tuntutan Royalti Minyak & Gas Kerajaan Negeri Kelantan dan ianya telah disiarkan dan menjadi tajuk utama di media-media arus perdana; media elektronik, media cetak, termasuk juga melalui sebaran media baru.

Setelah 3 tahun berlalu, tiada sebarang keputusan Hasil Kajian yang telah dijalankan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan oleh YAB Perdana Menteri? Apakah pihak berkenaan telah menemui “jalan buntu” sehingga Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri mengambil keputusan membuka meja rundingan dengan Kerajaan Negeri Kelantan justeru memerlukan tempoh masa lanjutan sehingga enam (6) bulan untuk membuat satu (1) lagi kajian dan juga membuat rundingan bagi mencari titik penyelesaian berhubung dengan Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan?

Pihak kami merasa agak hairan dengan perkembangan ini dan kami juga yakin bahawa Rakyat Negeri Kelantan lebih-lebih lagi turut merasa hairan dengan perkembangan terbaru ini. 37 tahun setelah Perjanjian Petroleum dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS, Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dengan PETRONAS dan juga Kerajaan Persekutuan dengan PETRONAS, pihak Kerajaan Persekutuan nampaknya masih belum jelas dan juga masih “samar-samar” dengan Perjanjian yang pada asalnya telah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pihak yang terlibat termasuk Kerajaan Persekutuan sendiri.

Secara jelasnya, pihak kami melihat perkara ini sebagai “Gimik PRU13” pihak-pihak berkepentingan dan ianya sama sekali tidak menepati semangat “Kenegaraan atau Federalisme” di dalam Negara Malaysia.

Ketiga (3) - TUNTUTAN;

3 TUNTUTAN;

1. KERAJAAN NEGERI PERLU MENOLAK CADANGAN penubuhan jawatankuasa bayaran tunai cadangan Kerajaan Persekutuan

2. PENYELESAIAN TANPA ADANYA JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI kepada Kerajaan Negeri MENGIKUT FORMULA NEGERI TERENGGANU

3. Membuat BAYARAN TUNAI TERUS kepada kerajaan negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera ( sebelum 1hb Syawal 1433H ) dan tidak perlu tempoh 6 bulan UNTUK DIJALANKAN KAJIAN.

Pihak kami ingin mencadangkan beberapa perkara untuk diambil perhatian oleh YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia dalam menyelesaikan isu berbangkit;

Tuntutan Pertama (1);

Supaya tawaran untuk mengadakan “rundingan” (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan) bagi menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Kerajaan Negeri Kelantan tidak dilihat sebagai “Gimik PRU13” oleh Rakyat Negeri Kelantan khasnya dan Rakyat Negara Malaysia amnya, maka NGO ROYALTI menuntut cadangan penubuhan jawatankuasa bayaran tunai cadangan Kerajaan Persekutuan itu DITOLAK dan bayaran perlu dibuat segera tanpa ada sebarang jawatankuasa lain.

Kerana sebenarnya cadangan penyelesaian sebenarnya sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 di mana antara lain menyebut ( Petikan dari Perjanjian Petrolium 1975 ):

1. (1) PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.

(2) Nilai yang akan dipakai bagi maksud fasal kecil (1) Fasal ini ialah harga jualan f.o.b purata tiap-tiap enam bulan yang diperolehi oleh PETRONAS atau ejen-ejennya.

(3) Apa-apa petroliam yang digunakan oleh PETRONAS, ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya bagi maksud meneruskan penggorekan dan pengeluaran hendaklah disifatkan sebagai dijual bagi maksud mengira pembayaran wang tunai di bawah fasal ini.

2. Pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah dibayar pada tiap-tiap setengah tahun. Pembayaran bagi petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang pertama hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan September dan pembayaran mengenai petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang kedua hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan Mac dalam tahun yang berikutnya.
3. Adalah dipersetujui dan ditetapkan bahawa pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah kena dibayar hanya selagi petroliam diperolehi dan tidaklah kena dibayar sedemikian jika petroliam tidak lagi diperolehi oleh kerana apa-apa sebab jua pun dan dalam hal yang demikian tiada apa-apa pembayaran sebagai pampasan akan kena dibayar kerana terhentinya pembayaran wang tunai yang jika tidak kerana demikian akan kena dibayar di bawah Perjanjian ini.

Tuntuan Kedua (2);

Atas alasan yang sama juga, penyelesaian dan formula yang digunapakai dalam isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Terengganu juga boleh digunapakai dalam menyelesaikan Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan memandangkan ianya telah terbukti berjaya, dipersetujui, mencapai kata sepakat dan dipraktikkan sementelah lagi Terengganu dan Kelantan adalah kedua-duanya di Semenanjung Malaysia. Iaitu PENYELESAIAN TANPA ADANYA JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI kepada Kerajaan Negeri.

Pihak kami percaya sekiranya formula yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan digunapakai di Kelantan, pada masa akan datang tidak akan timbul lagi masalah berbangkit memandangkan Negeri Terengganu dan Kelantan berjiran, sama-sama berada di tanah Semenanjung Malaysia dan kedua-duanya merupakan negeri penyumbang kepada Pengeluaran Minyak & Gas di Malaysia.

Tuntutan Ketiga (3);

Bagi dilihat sebagai Jujur, Ikhlas dan tidak sekadar permainan “Gimik PRU13” Kerajaan Persekutuan dalam membuat tawaran bagi menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan, pihak kami menuntut agar Kerajaan Negeri Kelantan melalui YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia mendesak agar kerajaan Malaysia melalui Petronas membuat:

BAYARAN TUNAI kepada kerajaan negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera ( sebelum 1hb Syawal 1433H ) dan tidak perlu tempoh 6 bulan untuk dijalankan kajian.

Bayaran Tunai yang bolehlah dipanggil “Bayaran Pendahuluan” perlulah dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Permbangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan mana-mana agensi yang tidak diiktiraf oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan – Petronas 1975.

Pihak kami merasakan bahawa tidak menjadi masalah bagi Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri untuk menerima syarat-syarat yang ditetapkan diatas cadangan NGO ROYALTI dalam meluluskan “Pendahuluan Bayaran Tunai” memandangkan kuasa penuh bagi meluluskan dan memberi arahan pada PETRONAS dimiliki secara “total” oleh Y.A.B Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia di mana di dalam Akta Kemajuan Petroleum di bawah tajuk “Perbadanan” jadual 3 (2) menyebut bahawa;

Perbadanan itu hendaklah tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.

Bersama ini juga pihak kami sertakan kenyataan ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang bertarikh Pada 12hb. November, 1975 Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu Tun Abdul Razak di dalam Sidang Dewan Rakyat berkata;

" Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya ". 

Mohon YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia mempertimbangkan cadangan dan tuntutan daripada NGO ROYALTI. Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dengan Hormatnya,

…………………………..............

HAJI NAZRI BIN DERAMAN

Pengerusi Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (ROYALTI)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...