Tuesday, July 3, 2012

Hudud: Adun Kemelah Sepatutnya Menyertai PAS

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

NAMPAKNYA isu berkenaan cadangan Adun Kemelah, Johor yang mencadangkan agar Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum Hudud menjadi suatu isu yang semakin menarik. Rujuk laporan di sini

Menariknya adalah apabila cabaran Adun tersebut kepada PAS telah bersambut apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Tuan Guru Haji Nik Mat dengan penuh rasa kesyukuran menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut biarpun bukan Kelantan yang mendahului kerana isu siapa yang dahului dan siapa yang terkemudian bukan suatu perkara yang penting untuk di kelam kabutkan. Rujuk laporan di sini

Isu cadangan Adun Kemelah dari Umno tersebut menjadi semakin menarik apabila cadangan beliau tersebut menyebabkan sekutu kuat Umno dalam Barisan Nasional iaitu parti MCA melenting marah. 

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut.

Dalam satu tulisannya di Twitter, Chua berkata ADUN berkenaan, Datuk Ayub Rahmat juga telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan. dan Chua menyatakan bahawa parti yang dipimpinnya itu pasti menentanga usaha seperti itu. Rujuk laporan di sini

Penulis tidak hairan dengan tindak balas dari presiden MCA itu kerana memang telah diketahui bahawa parti MCA tidak pernah menyokong perlaksanaan hukum Hudud bahkan secara terang-terangan menyatakan penentangannya. Dan bukanlah menjadi sesuatu yang pelik kerana penentangan MCA itu sebenarnya berpunca dari kegagalan Umno itu sendiri sebagai pemimpin komponen BN untuk mentarbiahkan atau memberi penerangan kepada MCA. Bahkan, bukan setakat gagal memberi penerangan tetapi sebaliknya majoriti pemimpin Umno itu sendiri seolah-olah 2 X 5 dengan parti bukan Islam tersebut.

Presiden Umno sendiri tak mahu laksana hudud
Bilamana majoriti pemimpin Umno termasuklah tuan presidennya sendiripun seolah-olah 2 X 5 dengan MCA, maka apatah lagi dengan anak buah mereka. Bila bos sendiri dah tolak hukum syariat Allah SWT ini, maka takkanlah anak buah nak berbeza pandangan dengan bos mereka. Mungkin ada yang berani berbeza pendapat tetapi rasanya tidaklah ramai. Mungkin Adun Kemelah salah seorangnya yang berani. Ada yang berbeza pandangan tapi tak berani nak mengulas atau menyatakan pandangan dan ada pula yang memang jahil murakkab, main menyondol sahaja mengikut kata bos-bos yang songsang itu.

Penulis lihat, dalam isu ini nampaknya Adun Kemelah dibiarkan bersendirian oleh rakan-rakan sendiri dalam parti Umno. Tidak ada yang berani untuk menyokong cadangan beliau itu. Yang ada memberi sokongan kepadanya dalam isu ini adalah kalangan dari parti yang cuba untuk beliau kenakan itu sendiri iaitu parti PAS. Tengoklah sendiri, bilamana beliau beri cadangan itu, siapakah yang secara terbuka menyatakan sokongan? Mursyidul Am PAS sendiri. Dalam masa Mursyidul Am PAS menyatakan sokongan, dimana suara rakan-rakan separti dengan Adun Kemelah. Malang sekali, nampaknya tidak ada suara yang menyatakan sokongan. Yang adanya adalah kenyataan yang seolah-olah hendak membiarkan Adun Kemelah terkapai-kapai sendirian menjawab serangan dari parti MCA. 

Tengoklah sendiri, bilamana Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor sendiri iaitu Datuk Zainal Abidin Osman seolah-olah cuba untuk mengelak bilamana beliau mengatakan cadangan tersebut tidak pernah dibincangkan. Beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor sendiri tidak berani menentukan dan membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan. Lebih malang lagi nasib Adun Kemelah itu, bilamana Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin pula enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan. Rujuk laporan di sini

Penulis lihat dalam isu ini, Adun Kemelah sebenarnya sepatutnya sudah dapat menyedari bahawa beliau sebenarnya tersilap memilih wadah perjuangan. Sepatutnya beliau menyedari bahawa Umno tidak mungkin mahu untuk mengangkat undang-undang syariat sebagai perundangan negara ini. Dan beliau sepatutnya sudah boleh menyedari bahawa wadah perjuangan sebenarnya yang sepatutnya beliau sertai adalah parti PAS. Sehubungan itu, Penulis dengan ikhlas hati mencadangkan supaya Adun Kemelah meninggalkan Umno dan menyertai wadah perjuangan PAS. Banyak ilmu yang masih perlu dipelajari serta didalami oleh Adun Kemelah dan InsyaAllah, para dae'i yang ramai di dalam PAS akan berlapang dada untuk membantu Adun Kemelah untuk memahami apa itu syariat Islam yang sebenar-benarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...