Friday, June 22, 2012

10 Ribu Pesawah Tuntut Kenaikan 50% Subsidi Padi

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

BAGAN SERAI: Bacaan dan penyerahan Deklarasi Dari Gunung Semanggol oleh wakil PAS negeri-negeri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat merupakan satu simbolik yang menunjukkan kesediannya PAS untuk membela 143,000 golongan PAS keluarga pesawah.

Deklarasi itu dengan jelas menyatakan komitmen para pesawah untuk berusaha lebih keras bagi memenuhi keperluan makanan utama penduduk di negara ini, beras. Justeru, tanaman padi perlu diusahakan dengan penuh rasa tanggungjawab dengan menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan bahan makanan yang terbaik serta mencukupi untuk penduduk negara ini.
Berlandas kepada itulah para pesawah yang berhimpun di sini, Sabtu lalu, 16 Jun, berikrar atas rasa atas kesedaran bahawa keluasan kawasan penanaman padi semakin berkurang akibat pembinaan hutan batu sedangkan keperluan beras negara semakin meningkat dan serangan penyakit serta makhluk perosak yang menjejaskan hasil semakin berleluasa serta manipulasi pihak berwajib atas hasil petani semakin menjadi-jadi.

Para pesawah berjanji meningkatkan hasil padi yang tinggi dan berkualiti untuk menjamin keperluan beras yang mencukupi serta mengharapkan keredaan Ilahi sesuai dengan slogan “bertani adalah ibadah”.

Sebanyak lapan ketetapan telah dipersetujui:-
1) Naikkan subsidi harga padi sebanyak 50 peratus iaitu dari RM248.10 setan kepada RM372.10.
2) Mendesak kerajaan menaikkan harga lantai belian padi oleh kilang-kilang daripada RM750 setan kepada RM1150 di seluruh negara.
3) Para pesawah mahu pemberian baja dan racun subsidi yang berkualiti daripada jenis yang sesuai serta diagihkan kepada pesawah tepat dengan jadual pembesaran padi.
4) Mereka juga mahu memastikan pengeluaran benih padi yang mencukupi serta berkualiti dengan mengembalikan peranan tersebut kepada agensi Kerajaan yang berkenaan.
5) Para pesawah juga mendesak agar dimansuhkan memansuhkan amalan penetapan “potongan basah minima” yang ditetapkan oleh kawal selia Kementerian Pertanian.
6) Mereka mendesak dipertingkatkan mutu infrastruktur pengairan dan saliran di seluruh kawasan tanaman padi negara.
7) Perlunya diwujudkan skim perlindungan takaful tanaman padi bagi melindungi pesawah yang kehilangan hasil akibat bencana alam.
8) Para pesawah mahu dikembalikan peranan mengawasi dan memajukan industri padi dan beras kepada syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak kepada entiti korporat persendirian yang bermotifkan keuntungan.
Dalam himpunan itu juga dua kertas kerja, antaranya bertajuk “Masalah dan Isu Pesawah: Visi dan Hala Taju” oleh Exco Kerajaan Kedah yang Pengerusi Lajnah Asas Tani PAS Pusat, Dato’ Ir Amirudin Hamzah.
Tetamu kehormat pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Turut hadir pada majlis itu, AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein dan Adun Semanggol yang juga Pengerusi Himpunan 10,000 pesawah, Ramli Tusin.

Sebelum itu, perarakan motosikal dari konvoi Pemuda PAS menyambut kedatangan Tuan Guru Nik Aziz. - Parti Islam SeMalaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...