Wednesday, May 23, 2012

Tanah Orang Asal: Kelantan Luluskan, Jakoa Bermasalah

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

GUA MUSANG: Bekas juruhebah RTM pada 1980-an mempersoalkan mengapa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kurang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri bagi membolehkan penduduk Orang Asli memiliki tanah sendiri.

Ajong Alang, 60 pernah berkhidmat di RTM bagi rancangan Orang Asli selama 14 tahun berkata, sepatutnya Jakoa memberi kerjasama penuh bagi membolehkan tanah disukat sebelum dapat dikeluarkan geran.

“Saya hairan mengapa agensi berkenaan tidak mahu mengeluarkan peruntukan bagi kerja-kerja mengukur sempadan bagi membolehkan geran hak milik dikeluarkan kerajaan negeri.

“Saya difahamkan isu ini sudah lama dibangkitkan, namun sekarang Jakoa seperti tidak serius. Sedangkan kerajaan negeri sudah bersetuju untuk memberi hak milik kepada kami.

“Cuma sekarang mengapa Jakoa tidak mahu membayar upah ukur. Kalau hendak kata tiada peruntukan tidak lojik langsung, setiap tahun Jakoa mendapat geran daripada kerajaan pusat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memberitahu Jakoa sehingga kini tidak memberi kerjasama bagi membayar upah ukur sempadan membolehkan geran hak milik tanah dikeluarkan kepada penduduk Orang Asli beberapa tempat termasuk di Kuala Betis.

Ajong yang kini tinggal di Kuala Betis berkata, kerajaan negeri sudah lama bersetuju meluluskan surat hak milik tanah kepada penduduk Orang Asli, namun Jakoa pula bermasalah.

“Sekarang sangkut kat Jakoa. Isu tanah sudah lama dibangkitkan ketika BN memerintah Kelantan lagi. Namun selepas PAS memerintah baru kelulusan tanah dipersetujui,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau Pos Jedip sudah diluluskan kerajaan negeri untuk diberi hak milik kepada Orang Asli. Begitu juga penempatan di Kuala Betis, Sendrop, Sigar dan Tuai.

Yaakub Busu, 49 dari Pos Tuai pula mempertikaikan segelintir Orang Asli yang didalangi Jaringan Orang Asli Semenanjung mendakwa kerajaan negeri merampas tanah adat Orang Asli.

Katanya, sehingga kini tidak ada tanah yang dirampas seperti didakwa mereka.

“Kelantan bukan macam Sarawak ada tanah adat. Mereka seperti terikut-ikut dengan perjuangan peribumi di sana.

“Mana ada tanah adat Orang Asli yang dirampas. Kami malu dengan tindakan segelintir Orang Asli yang berdemontrasi di Kota Bharu baru-baru ini,” ujarnya. Harakahdaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...