Wednesday, May 16, 2012

Hukum Memotong Kuku Ketika Berjunub

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



DISEBUTKAN dalam kitab al-Iqna' Fi Hal Alfaz Matn Abi Syuja' iaitu kitab fiqh mazhab Syafi'i bahawa Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya Ihya' Ulum al-Din: "Tidak boleh seseorang bercukur, mengetip kuku, menipiskan bulu, mengeluarkan darah atau memutuskan mana-mana bahagian daripada badannya sedangkan dia berjunub kerana kesemua itu akan datang pada hari akhirat dalam keadaan berjunub." Ada pendapat mengatakan bahawa setiap bulu tadi akan menuntut daripada tuannya kerana ia masih belum suci.

Bagaimanapun, pendapat ii tidak mempunyai dalil yang menyebutkan larangan perbuatan tersebut ketika dilakukan semasa berjunub, juga tiada dalil menyebutkan bahawa bahagian-bahagian anggota badan itu akan membuat tuntutan daripada tuannya pada hari akhirat. Soalan yang sama telah ditanyakan kepada Ibnu Taimiyah, maka beliau menjawab: "Telah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. bahawa apabila dikatakan kepada Baginda tentang junub, Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang Mu'min tidak najis samada dalam keadaan dia hidup atau meninggal dunia." Ibn Taimiyah berkata lagi: "Saya tidak mendapati suatu dalil di sisi syara' pun tentang larangan memotong bulu dan mengetip kuku bagi orang yang berjunub."

Bahkan, Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Buanglah darpadamu rambut kekufuran (penampilan orang kafir) dan berkhatankah." Baginda memerintahkan orang yang baru memeluk Islam supaya melakukan perkara tersebut, dan tidak menyuruhnya melambatkan khatan dan membuang bulu sehingga orang itu selesai mandi.

Hadis Baginda s.a.w. ini juga menandakan bahawa dua perkara ini dibolehkan, sama juga keadaannya apabila wanita yang didatangi haid disuruh supaya menyikat rambutnya sedangkan ia boleh menggugurkan sebahagian rambut. Maka, daripada dalil tadi dapat disimpulkan bahawa perbuatan itu bukanlah sesuatu yang dilarang. Manakala apa yang telah disebutkan tentang larangannya sebelum ini sebenarnya tidak mempunyai dalil.

Ata' berkata: "Orang yang berjunub boleh berbekam, mengetip kukunya, mencukur rambutnya walaupun dia tidak berwudhu'." [Riwayat Imam al-Bukhari]

Oleh itu, tidak ada larangan mencabut, memotong bulu dan mengetip kuku semasa berjunub. dan perbuatan itu juga tidak membatalkan wudhu'. Wallahua'lam.

(petikan daripada kitab Fatwa Ahsanul Kalam yang dikarang oleh Syeikh 'Athiyyah Saqr)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...