Thursday, April 26, 2012

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Mempusakai Sifat Gedebe Tetapi Bertempat

بِسْــــمِ اﷲِ  الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


OLEH kerana Allahyarham Raja Banjar tidak mengambil perhatian yang berat terhadap pelajaran anak-anaknya, maka seorang anaknya, Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat, telah mengambil daya usahanya sendiri untuk mendapatkan pelajaran agama daripada ulama-ulama tempatan pada waktu ltu.

Dengan usahanya sendiri, Allahyarham mulai belajar di Pondok Haji Omar Mentuan, kemudian melanjutkan pelajarannya ke Pondok Tok Kenali yang paling terkenal pada waktu itu.

Di Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah mempelajari semua bidang ilmu agama untuk melayakkan diri menjadi seorang guru agama yang berkebolehan dan berpengetahuan.

Selepas mendapat didikan daripada almarhum Tok Kenali, Allahyarham Haji Nik Mat telah diiktiraf dan diakui sebagai seorang ulama dan tok guru oleh masyarakat tempatan pada waktu itu.

Sekembalinya dari Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah menunjukkan sikap anti khurafat dan memusuhi semua bentuk maksiat yang wujud di sekitar kampung halamannya.

Menurut Cikgu Tuan Mat bin Haji Tuan Kechik, setelah Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mendapat didikan agama di Pondok Haji Omar Mentuan dan Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah menunjukkan sikapnya yang tidak mahu bertolak ansur dengan sesiapa sahaja tentang ajaran agama Islam. 



Tuan Guru Nik Abdul Aziz mewarisi ketegasan dan keberanian (gedebe) dari almarhum ayahandanya

"Allahyarham secara nekad dan berani menyembelih beberapa ekor 'ayam pelaga' kesayangan ayahandanya sendiri yang disimpan dalam satu sangkar yang istimewa.

'Ayahandanya yang bengis itu tidak berkata apa-apa apabila diberitahu bahawa orang yang menyembelih ayam pelaga kesayangannya itu ialah anaknya sendiri yang bernama Nik Mat," kata Cikgu Tuan Mat.

Peristiwa tindakan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat menyembelih 'ayam-ayam pelaga' kesayangan ayahandanya itu telah menggemparkan masyarakat setempat kerana sebelum itu tidak ada seorang insan pun yang sanggup dan berani menentang ayahandanya itu.

Ekoran daripada peristiwa itulah, orang ramai mulai kenal slapa dia Haji Nik Mat bin Raja Banjar itu. Dan masyarakat setempat mulai menyedari bahawa anak Raja Banjar ini akan menentang sesiapa sahaja yang mengingkari ajaran Tuhan Yang Maha Esa.

Masyarakat setempat mulai kenal bahawa sikap 'gedebe' (handalan) Raja Banjar dipusakai oleh Haji Nik Mat.

Orang Kelantan juga mengatakan darah 'gedebe' ini dipusakai pula oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, yang ditunjukkannya melalui ketegasannya dalam sebarang tindakan dan sanggup berhadapan dengan segala kemungkinan.

Sebagai seorang ulama muda yang mempunyai hemah dan cita-cita yang tinggi, Allahyarham Haji Nik Mat sudah pasti tidak akan berasa cukup dengan ilmu yang ada padanya pada waktu ltu. Allahyarham terus menyambung pelajarannya dengan beberapa ulama yang terkenal di Kelantan pada zaman itu.

Dua orang ulama yang terkenal di Kelantan pada waktu itu ialah Allahyarham Tok Khurasan dan Mufti Kerajaan Kelantan, Allahyarham Haji Wan Musa, ayah kepada Allahyarham Nik Muhammad Mahyuddin Musa.

Kedua-dua ulama yang menjadi guru kepada Allahyarham Haji Nik Mat dianggap pakar dalam segala ilmu, khususnya tafsir, Hadith dan ilmu mantiq.

Allahyarham Maulana Tok Khurasan berasal dari Bhafar, India (sekarang dalam Pakisan) dan Allahyarham telah menamatkan pengajiannya di Universiti Darul Ulum, Deoband. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Allahyarham Tok Khurasan pernah menjadi mahaguru di Darul Ulum, Deoband.

Sementara Allahyarham Haji Wan Musa pula, selain daripada memegang jawatan sebagal Mufti Kerajaan Kelantan, beliau terkenal sebagai seorang ulama yang progresif dan fikirannya lebih terbuka daiipada ulama-ulama lain pada zaman itu.

Di samping berguru kepada Maulana Tok Khurasan dan Mufti Haji Wan Musa, Allahyarham Haji Nik Mat juga mempelajari ilmu tassawuf daripada seorang ulama Sudan yang menjadi tetamu khas kepada Allahyarham Haji Wan Musa.

Ulama Sudan yang dikenali dengan panggilan 'Sheikh Azhari' itu bukan sahaja menjadi tetamu kepada Haji Wan Musa, malah beliau juga menjadi guru kepada Haji Wan Musa dan ulama-ulama lain yang sealiran dengannya.

Saya telah diberitahu bahawa ulama dari Sudan inilah yang mula-mula sekali memperkenalkan tassawuf secara lebih mendalam ke negeri Kelantan. Sebelum itu, tok-tok guru di Kelantan tidak begitu berminat untuk mempelajari ilrnu tassawuf secara Yang lebih khusus dan mendalam lagi.

Tuan Guru Haji Nik Mat dikatakan lebih tegas lagi menentang segala bentuk khurafat dan amalan bid'ah dalam masyarakat Islam setempat setelah mendekati ulama muffassirin dan muhaddithin itu. Allahyarham secara terbuka menentang amalan menunggu kubur, mengadakan kenduri pada hari-hari tertentu setelah kematian seseorang muslim, membayar fidyah dan amalan-amalan lain yang dianggap bid'ah.

Selain daripada itu, Allahyarham bukan sahaja mengharamkan anak-anaknya daripada menghisap rokok, malah Allahyarham tidak menerima sebarang bentuk derma hasil daripadajualan rokok dan hasil daripada jualan daun tembakau.

Ini adalah kerana mengikut pendapat Tuan Guru Haji Nik Mat menghisap rokok itu hukumnya haram dan semua perkara yang ada hubungan dengan rokok seperti daun tembakau dan hasil jualan rokok juga dianggap haram.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat akan mematuhi apa sahaja ajaran dan pendapat guru-gurunya yang lebih arif daripada guru-gurunya yang terdahulu.

Menurut anaknya, Nik Din. Allahyarham pernah menerima hadiah dan pemberian daripada masyarakat setempat kerana penglibatannya dalam amalan-amalan yang dianggapnya bid'ah itu, tetapi setelah Allahyarham berguru dengan Maulana Tok Khurasan, Haji Wan Musa dan Tok Guru Haji Abas maka semua hadiah dan pemberian yang diterima itu dibuang dan ditanam dalam satu tempat khas dalam kawasan kediamannya.

"Tetapi selepas dua tiga tahun kemudian, Allahyarham menemui semula barang-barang hadiah itu dalam kawasan rumahnya, dan Allahyarham terus memusnah dan menghancurkan barang-barang hadiah itu dengan cangkul di tangannya. Allahyarham bertindak seolah-olah menghukum hadiah yang diterima hasil daripada penglibatannya dalam amalan-amalan bid'ah sebelum itu.

"Begitulah keras sikapnya terhadap perkara-perkara yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam yang hakiki," ujar Nik Din lagi.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat, sebagai seorang ulama yang cintakan kepada ilmu pengetahuan, tidak berasa kekok atau segan untuk belajar dengan mana-mana ulama yang dianggap lebih alim dan lebih arif daripadanya.

Tidak pernah saya dengar seorang ulama yang sanggup belajar bersama-sama dengan menantunya dalam masa dan tempat yang sama selain daripada Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar dan Tuan Guru Haji Yaakub Lorong Gajah Mati.

Anak lelaki Allahyarham Tok Khurasan, Encik Taib, mengesahkan kepada saya bahawa tuan Guru Haji Nik Mat Alim bersama-sama dengan anaknya, Haji Nik Abdul Aziz, anak perempuan sulungnya, Nik Zainab, dan menantunya, Haji Nik Amat, belajar dengan ayahnya dalam zaman pemerintahan Jepun dahulu.

'Saya masih ingat lagi, dua orang ulama yang terkenal di Kelantan, iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad, yang lebih terkenal dengan panggilan Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, dan Allahyarham Haji Nik Mat Alim, bersama-sama dengan anak-anaknya telah belajar dengan ayah saya di Kampung Sirih,' kata Encik Taib Tok Khurasan.

Allahyarham Tuan Guru Haji Yaakub Lorong Gajah Mati membawa bersama-samanya anak-anaknya iaitu Allahyarham Haji Hassan Yaakub dan Datuk Ustaz Yusuf Zaki Yaakub. Allahyarham Tuan Haji Hassan Yaakub ialah pemilik Pustaka Aman Press, sebuah syarikat penerbitan dan percetakan yang terkenal. Datuk Ustaz Yusuf Zaki Yaakub pula ialah pemilik Pustaka Dian yang nama barunya sekarang ialah Dian Darulnalm Sdn. Bhd., yang juga syarikat penerbitan dan percetakan.

Menurut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, ayahnya pernah menyatakan hasratnya kepada Maulana Tok Khurasan untuk melanjutkan pelajaran ke Deoband, India.

Allahyarham ayahandanya menyatakan bersedia untuk menjual sebidang tanah kebun getah di Rantau Panjang bagi mendapatkan blaya belajar di India.

Allahyarham Tok Khurasan tidak merestui hasrat Tuan Guru Haji Nik Mat itu dengan alasan bahawa tidak wajar seseorang ltu menjual harta benda, kebun atau kampung halaman semata-mata dengan tujuan untuk mendapatkan pelajaran di Deoband, India.

Alasan yang diberi oleh Tok Khurasan itu mungkin kerana beliau tidak mahu melihat Haji Nik Mat menjadi miskin dan papa kedana setelah kembali dari Deoband sedangkan Haji Nik Mat pada ketika itu telah pun diktiraf sebagai ulama yang serba boleh.

Begitulah kuatnya azam dan cita-cita Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat dalam bidang pengajian agama Islam, sehinggakan ketika beliau sudah masuk ke alam tua dan sudah pun beranak cucu masih lagi bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Suatu sifat Haji Nik Mat sejak umur mudanya ialah perangai berjirnat cermat. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberitahu, "Ayah saya pernah membelah sebatang mancis supaya menjadi dua batang untuk menjimatkan perbelanjaan semasa beliau belajar di pondok.'

Apa yang paling menarik sekali dalam mengkaji dan meneliti riwayat Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat dalam soal pelajarannya adalah tentang kecenderungannya kepada ilmu tafsir Al-Quran, ilmu Hadith dan ilmu mantiq.
Kecenderungan beliau ini adalah berbeza dengan kecenderungan ulama-ulama tempatan yang lain ketika itu yang lebih banyak bertumpu kepada ilmu fikah dan tauhid.

Tidak ramai ulama yang mengajar tafsir Al-Quran, ilmu Hadith dan mantiq sebelum munculnya Tuan Guru Haji Abas, Tok Khurasan dan keluarga Mufti Haji Wan Musa di negeri Kelantan.

Ulama-ulama yang mengutamakan ilmu Hadith dan tafsir Al-Quran ini dianggap sebagai ‘kaum muda’ yang tidak disenangi oleh golongan tua atau ulama ilmu fikah.

Tetapi dari segi kesedaran politik dan kemasyarakatan, golongan kaum muda lebih arif dan lebih matang daripada golongan kaum tua.

Oleh sebab itu, gerakan Islam di mana-mana sahaja telah dipelopori oleh golongan yang mendokong Al-Quran dan Hadith, sementara golongan tua hanya menjadi pak turut sahaja dalam mana-mana gerakan Islam itu.

Berdasarkan kepada hakikat itulah, saya katakan bahawa Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi daripada ulama-ulama tempatan yang sezaman dengannya.

Kalau Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat tidak mempunyai kesedaran politik mengapa anaknya, Haji Nik Abdul Aziz, tidak dihantar ke pondok Bunut Payung atau ke Pondok Tok Guru Haji Ghani Pasir Mas?

Mengapa Haji Nik Abdul Aziz dihantar ke pondok-pondok dan madrasah-madrasah yang dikuasai oleh golongan yang mendapat didikan di Deoband, India?

Dan mengapa Tok Khurasan, Haji Wan Musa, Tok Guru Haji Abas dan Maulana Abdullah atau Ustaz Lah, menjadi pilihan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat?

Ini jelas membuktikan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mempunyai pandangan yang jauh dalam meletakkan asas bagi pelajaran anak-anaknya, khususnya Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Mungkin kalau tidak kerana asas pelajaran yang dibentuk oleh almarhum ayahandanya, kita tidak dapat melihat Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz seperti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang menjadi Menteri Besar Kelantan sekarang.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang kita lihat sekarang bukan sahaja layak untuk memegang jawatan Menteri Besar bahkan beliau mampu untuk menjadi seorang guru atau pensyarah di madrasah, di ma'ahad dan di universiti.

Bukan sekadar itu sahaja, beliau sanggup menjadi petani atau pekebun sekiranya tenaganya dikehendaki.

Ini semuanya kerana kebijaksanaan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat meletakkan asas pelajaran anak-anaknya, khususnya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Selain daripada itu, Tuan Guru Haji Nik Mat juga boleh diperhitungkan sebagai seorang ulama dan pendakwah yang telah berjaya memujuk dan mengajak golongan samseng dan 'kaki pukul' supaya kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah dengan mematuhi ajaran Islam.

Kampung Kedai Lalat dan sekitarnya dahulu terkenal sebagai sarang golongan samseng dan 'kaki pukul' tetapi setelah Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat membuka pondok dan mengajar di masjid Pulau Melaka, jumlah mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah di kawasan itu jauh berkurangan.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bukan sahaja dihormati oleh golongan yang mendapat didikan agama malah Allahyarham dihormati dan dikagumi oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai seorang ulama yang sering mengambil perhatian berat terhadap kedudukan umat Islam dalam segala bidang, Allahyarham merasa sedih dan pilu dengan berita kekejaman komunis terhadap umat Islam di Kemboja.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat berasa begitu dukacita sekali apabila mendengar berita daripada orang-orang pelarian Kemboja yang mengatakan bahawa tentera-tentera komunis menikam kanak-kanak Islam dengan benet dan mencampakkan kanak-kanak itu ke dalam kawah dan kuah yang panas di hadapan ibu bapa mereka.

Allahyarham dikatakan tidak dapat mengawal perasaan sedihnya apabila mendengar berita kekejaman terhadap umat Islam itu.

Menurut anak Allahyarham, Nik Din, ayahnya itu sangat serius apabila memikirkan keadaan yang berlaku di Kemboja ltu.

Allahyarham menghendaki supaya masyarakat antarabangsa melakukan sesuatu untuk menyelamatkan umat Islam Kemboja daripada kekejaman tentera komunis yang tidak berperi kemanusiaan itu.

Allahyarham sendiri telah membeli dua buah kereta sederhana untuk mengangkut pelarian-pelarian Kemboja itu dari sempadan Siam ke Kelantan apabila keadaan mengizinkan.

"Allahyarham juga meminta abang saya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menjadi Ahli Parlimen kawasan Pengkalan Chepa ketika itu, supaya bercakap di parlimen tentang kekejaman komunis di Kemboja pada awal tahun 1977 lagi," ujar Nik Din.

Ekoran daripada berita kekejaman komunis itu, kesihatannya terganggu dan penyakit kencing manis yang dihidapinya juga sudah tidak dapat diatasi lagi walaupun berbagai-bagai ikhtiar dijalankan. Pada 11 Mac 1977 Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 72 tahun. 


Ada dua pendapat yang bertentangan tentang tarikh kelahiran Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar ini. Encik Nik Din mengatakan ayahandanya lahir pada tahun 1890 tetapi seorang ahli sejarah tempatan, Cikgu Tuan Mat bin Haji Tuan Kechik, mengatakan bahawa Tuan Guru Haji Nik Mat lahir pada tahun 1905. Pendapat Cikgu Tuan Mat itu berdasarkan kepada umur ayahnya sendiri, almarhum Haji Tuan Kechik, yang lahir pada 1910. Menurut Cikgu Tuan Mat, almarhum ayahandanya lebih muda lima tahun daripada almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat. Beliau yakin bahawa ayahanda kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz lahir pada tahun 1905 dan tidak pada tahun 1890 sebagaimana yang dicatatkan oleh Nik Din.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...