Thursday, April 26, 2012

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Diasuh Dengan Disiplin Tinggi

بِسْــــمِ اﷲِ  الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ dikenali sebagai seorang anak yang paling taat dan patuh kepada perintah ayahandanya, Allahyarham Haji Nik Mat Alim.

Walaupun almarhum ayahandanya mengenakan disiplin dan kawalan yang keras terhadapnya sehinggakan beliau tidak mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam soal yang sekecil-kecil dan sebesar-besarnya tetapi beliau tetap berasa bangga dengan ajaran dan asuhan almarhum ayahandanya itu.

Disiplin yang ketat yang dikenakan ke atasnya itu bukan setakat ketika di alam kanak-kanak sahaja, malah sesudah beliau berumah tangga dan beranak pinak pun, beliau tidak diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam semua perkara. 

Disiplin membentuk keperibadian tinggi Tuan Guru
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan menerima jawatan sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa, tidak akan menyertai PAS dan tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir kalau tidak mendapat restu daripada almarhum ayahandanya.

Semua keputusan yang dibuat mengenai perkara itu adalah dengan persetujuan almarhum ayahandanya terlebih dahulu. Tanpa persetujuan ayahandanya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak dapat melakukan sesuatu.

Para penduduk di sekitar Kedai Lalat dan Pulau Melaka sangat arif tentang sikap almarhum Haji Nik Mat Alim terhadap anak-anaknya termasuk Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri.

Tetapi beberapa orang penduduk di sekitar Kedai Lalat yang saya temui mengakui bahawa berkat daripada asuhan dan didikan almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim itu telah memberi kesan yang positif dan baik kepada semua anaknya.

Boleh dikatakan semua anak almarhum telah berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Ini adalah kerana berkat daripada asuhan ayahanda mereka.

Seorang tokoh veteran PAS yang tidak asing lagi, Ustaz Yazid Jaafar berpendapat bahawa kejayaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam bidang akademik dan politik adalah kerana beliau menghormati dan mengutamakan nasihat almarhum ayahandanya.

Beginilah pandangan Ustaz Yazid Jaafar:
'Tidak ada seorang ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang begitu takut dan patuh kepada orang tuanya.

Sikap Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz terhadap almarhum ayahandanya tidak berubah sejak beliau berumur lapan tahun hingga beliau lulus M.A. Universiti al-Azhar.

Kalau dalam usia 10- 12 tahun dulu, beliau tidak akan membuat sesuatu pekerjaan tanpa mendapat persetujuan daripada ayahandanya, maka setelah beliau menjadi seorang guru dan ulama pun beliau enggan membuat keputusan sendiri.

Almarhum ayahandanyalah yang akan membuat keputusan sama ada beliau harus menolak atau menerima jawatan yang ditawarkan kepadanya, dan beliau tidak akan membantah segala keputusan yang dibuat oleh almarhum ayahandanya dalam semua perkara.

Dalam erti kata lain, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan membelakangkan pendapat dan nasihat almarhum ayahandanya walaupun beliau sudah menjadi wakil rakyat (Ahli Parlimen) dan sudah diiktiraf sebagai seorang ulama.

"Inilah sifat dan akhlak yang mulia yang ada pada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan tidak ramai jumlah pemimpin yang mengutamakan pendapat orang tuanya dalam menghadapi sesuatu masalah.

"Apabila seorang anak lebih alim dan lebih tinggi pangkatnya daripada bapanya sendiri maka pada ghalibnya dia akan membelakangkan pendapat orang tuanya; dan jauh sekali daripada mengambil nasihat dan pandangan orang tuanya. Sikap begini tidak ada pada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

"Namun begitu, inilah satu daripada rahsia kejayaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam bidang akademik dan politik.

"Bukan sahaja Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz malah ramai antara pemimpin, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan yang telah berjaya dalam bidang masing-masing kerana mereka taat dan patuh kepada ajaran ibu bapa mereka.

'Satu hakikat yang harus diakui bahawa apabila seseorang Muslim itu taat dan patuh kepada ajaran ibu bapanya maka dengan sendirinya dia akan patuh kepada ajaran agama Islam.

'Apabila dia patuh kepada perintah Allah, maka sudah pasti dia tidak akan melakukan maksiat. Dari sinilah akan datangnya berkat dan keredhaan Allah."

Ustaz (Pak) Yazid Jaafar memang sangat mengenali peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Banyak cerita yang saya perolehi mengenai ketaatan dan kepatuhan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kepada almarhum ayahandanya, Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bin Raja Banjar.

Dalam awal-awal tahun 70an dulu, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mempunyai sebuah kereta yang sederhana yang digunaian untuk berulang alik di antara Kota Baharu dan Kuala Lumpur apabila Parlimen bersidang.

Dalam perjalanan balik daripada Kuala Lumpur ke Kota Baharu beliau sering singgah di Ketari, Bentong untuk menemui Haji Ismail Abdullah (lebih terkenal dengan nama panggilan Cik Wel Golok) yang sedang menjalant hukuman buang daerah di situ.

Bukan sahaja Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. malah beberapa orang Anggota Parlimen PAS yang lain juga singgah di Ketari untuk menziarahi Cik Wel Golok dan anaknya, Encik Kamaruzaman Ismail yang bersekolah di Bentung.

Dan sudah menjadi amalan biasa bagi para pemimpin PAS dan wakil-wakil rakyatnya menziarahi dan menemui ahli-ahlinya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau yang kena buang daerah di bawah akta itu.

Dengan kereta wakil-wakil rakyat yang menziarahinya itulah kadangkala Cik Wel Golok menumpang balik ke Kota Baharu, Kelantan.

Entah bagaimana, pada suatu hari Cik Wel Golok menumpang balik ke Kelantan dengan kereta Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. 


Sebagai seorang yang kena buang daerah, Cik Wel tidak dibenarkan keluar daripada daerah Bentung tanpa mendapat kebenaran polis.

Tetapi pada hari itu, Cik Wel memberanikan dirl pulang ke Kelantan dengan menumpang kereta seorang Ahli Parlimen PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, tanpa meminta kebenaran daripada polis tempatan.

Cik Wel Golok berasa yakin dengan menaiki kereta seorang Ahli Parlimen dan seorang Tok Guru beliau akan terlepas daripada pemeriksaan polis di sepanjang jalan.

Alhamdulillah, perjalanan mereka dari Ketari ke Kota Baharu selamat dan tidak ada pemeriksaan polis sebagaimana biasa.

Dalam perjalanan dari Ketari ke Kota Baharu itulah Cik Wel bersungut dan bertanya kepada Tuan Guru, "Bila nak beli kereta baru, Ustaz? Sebagai Ahli Parlimen, Ustaz harus memakai kereta yang lebih baik daripada kereta ini."

Dengan suara agak perlahan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjawab, "Kalau ayah ana menghendaki supaya ana naik bas sahaja ke Kuala Lumpur ana terpaksa ikut dan patuh.

'Ana hanya ikut perintahnya sahaja, dan ana tidak dapat membuat keputusan sendiri tanpa persetujuannya!'

Begitulah jawapan Tuan Guru kepada rungutan dan keresahan yang diluahkan oleh Cik Wel Golok itu.

Begitulah sikap dan pendirian seorang anak yang telah dididik dan dilatih supaya tidak memandai-mandai dalam sesuatu perkara tanpa mendapat keizinan dan persetujuan daripada orang tuanya.

Walaupun didikan dan latihan yang semacam ini dianggap oleh sesetengah orang boleh membantutkan kecerdasan dan kepintaran anak-anak dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan apabila mereka dewasa oleh sebab mereka 'tidak bebas', tetapi anak-anak yang dididik dan ditamrin dengan cara Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim itu lebih berdisiplin dan berjaya dalam kehidupan mereka apabila dibandingkan dengan anak-anak yang diberi 'kebebasan' yang keterlaluan.

Keluarga golongan pertengahan (middle class) masyarakat Arab, Pakistan, dan sebahagian masyarakat India di Malaysia ini dipercayai mempunyai tradisi mendidik anak mereka dengan cara yang diamalkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim. Hasil daripada didikan cara itu telah memberi kesan yang positif kepada anak-anak muda masyarakat tersebut di negara kita.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri tidak merasakan dirinya sebagai ditimpa beban apabila mematuhi disiplin yang dikenakan ke atasnya, malah beliau berbangga dengan cara almarhum ayahandanya mendidik dan melatih beliau dan adik-adiknya.

Beliau pernah mengingatkan Ustaz Idris Ahmad, seorang Ahli EXCO kerajaan negeri Kelantan supaya jangan memanjakan anak-anaknya.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberitahu Ustaz ldris supaya mengikuti jejak langkah almarhum ayahandanya dalam mendidik anak. Beliau menarik perhatian Ustaz ldris bahawa almarhum ayahandanya itu bersikap tegas dan tidak memberi muka kepada anak-anaknya.

Dua orang adik Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang saya temui di Batu Balai baru-baru ini, Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Mat dan Nik Wajih bin Hiji Nik Mat menyatakan rasa bangga kerana mendapat didikan yang berkesan daripada almarhum ayahanda mereka.

Kedua-dua adik Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang saya temui itu telah mengingatkan kembali zaman kanak-kanak mereka di mana mereka telah diperintahkan supaya bangun pada jam 4.00 pagi untuk sembahyang sunat tahajjud dan menghafaz pelajaran-pelajaran yang wajib sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah.

Menurut Haji Nik Abdullah semangat berhijrah, berdakwah dan bertani yang ditanam oleh almarhum ayahandanyalah yang menyebabkan beliau dan adik- adiknya berhijrah dan membuka tanah di kawasan Batu Balai, Jerantut.

'Kami adik beradik merupakan perintis membuka tanah dan bertani di kawasan Batu Balai. Sebelum kedatangan kami adikberadik, tidak ada anak tempatan yang menceburi bidang pertanian di sini.

"Di samping berkebun dan membuka ladang kami adik beradik juga berdakwah dan mengajar Al-Qur'an kepada kanak-kanak tempatan. Seorang daripada ipar kami, Allahyarham Haji Nik Amat telah membuka pondok di kawasan ini," kata Haji Nik Abdullah.

Nik Wajih pula menyatakan bahawa jumlah penduduk Melayu di Batu Balai telah bertambah dengan pesatnya selepas keluarganya membuka tanah di kawasan itu.

"Kedatangan kami adik beradik telah mendorong anak-anak tempatan mencebur diri dalam bidang pertanian. Sekarang ini anak-anak Kelantan dan Pahang bekerjasama untuk membangun Pekan Batu Balai ini mengikut cara kita,' jelas Nik Wajih.

Menyentuh tentang perintah yang dijalankan oleh almarhum ayahandanya terhadap keluarga, beliau menyatakan bahawa 'pemerintahan Islam' telah dilaksanakan di kalangan adik beradik dan ibu-ibu tirinya semasa Allahyarham ayahanda masih hidup.

"Kami adik beradik bukan sahaja dilarang untuk melakukan amalan yang diharamkan oleh agama Islam, malah kami tidak dibenarkan terlibat dalam perkara-perkara yang makruh.

"Ibu-ibu kami diperintahkan supaya menutup aurat sebagaimana yang dilakukan oleh wanita Islam di negara yang mengamalkan pemeriniahan Islam.

"Sebelum kerajaan negeri Kelantan mewajibkan wanita Islam menutup aurat, almarhum ayahanda kami telah menjalankan perintah supaya ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik kami menutup aurat.

"Sememangnya, 'pemerintahan Islam' telah pun ditegakkan di kalangan keluarga kami pada waktu almarhum ayahanda masih hidup,' ujar Nik Wajih.

Apa yang paling menarik sekali ialah sikap Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim mengenai rokok dan hasil jualan daun tembakau.

Menurut Nik Wajih, Allahyarham menganggap bahawa menghisap rokok itu haram dan hasil daripada jualan daun tembakau untuk dibuat rokok juga dianggap haram.

"Semasa hayatnya, Allahyarham sering menulis surat kepada saya melarang saya daripada menjual rokok dan barang yang dianggap makruh.

'Anak-anak yang lain juga mendapat amaran yang sama mengenai rokok dan perkara-perkara yang makruh,' jelas Nik Wajih seterusnya.

Mengenai Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Nik Wajih menerangkan: 'Zaman Abang Zid (Nik Abdul Aziz) belajar dulu, almarhum ayahanda mengenakan disiplin atau nizam yang lebih ketat lagi daripada zaman adik-adiknya.'

Nik Wajih memberitahu lagi, "Faktor utama kejayaan Abang Zid adalah kerana beliau mematuhl semua perintah dan ajaran daripada almarhum ayahanda.

'Abang Zid ialah satu-satunya antara adik beradik kami yang paling patuh dan taat kepada perintah dan ajaran orang tua kami.

"Sebelum beliau ke lndia dan ke Mesirpun beliau telah dianggap sebagai seorang ulama hinggakan ada orang yang telah memberi tanah waqaf atas namanya.

"Ini semua kerana berkat beliau mematuhi perintah dan ajaran daripada Allahyarham orang tua kami."

Sebagai seorang anak yang mewarisi bapanya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga telah mengikuti jejak langkah almarhum ayahandanya dalam soal mendidik anak-anaknya.

Seorang daripada anaknya, Nik Omar, yang sekarang menuntut di Universitt al-Azhar. Mesir dikatakan kelihatan sering mengantuk di antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi pada waktu beliau belajar di Ma'ahad Muhammadi dulu.

Apabila ditanya oleh rakan-rakan sekelasnya mengapa beliau sering mengantuk pada waktu pagi, Nik Omar pada mulanya agak keberatan untuk menjawab pertanyaan rakan-rakannya itu.

Bagaimanapun, setelah didesak maka akhirnya beliau terpaksa memberitahu tentang sebab-sebab yang beliau kelihatan mengantuk di dalam kelas pada waktu pagi.

Beliau mengakui bahawa telah menjadi amalan tradisi kepada keluarganya bangun tidur pada jam 4.00 pagi, sembahyang sunat tahajjud dan mengulangi mata pelajaran sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah.

Dengan pengakuan yang dibuat oleh Nik Omar itu jelaslah bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga telah mewarisi almarhum ayahandanya dalam soal mendidik anak-anaknya dalam zaman moden ini.

Seorang pelajar Maahad Muhammadi yang seangkatan memberitahu bahawa Nik Omar sendiri ialah pelajar terbaik pada waktu itu.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri masih lagi mengekalkan amalan bangun daripada tidur jam 4.00 pagi. 


Inilah amalan beliau sejak beliau berumur tujuh tahun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...