Thursday, April 5, 2012

Tegahan Memberi Dan Menerima Rasuah

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

RASUAH atau sogokan merupakan penyakit yang banyak berleluasa diberbagai organisasi dan institusi dalam sepanjang sejarah. Rasuah pada orang bekerja sebagai perantara menyebabkan kezaliman, bertindak dengan sewenang-wenangnya serta mengambil hak orang lain. Rasuah juga melahirkan permusuhan di dalam hati.

Allah SWT melarang hamba-Nya saling memakan harta di kalangan kita dengan cara yang bathil serta membelanjakannya untuk perkara yang jelas membinasakan kita dan mengabaikan hak orang lain. Firman Allah SWT (maksudnya):
"Janganlah kamu makan harta (orang lain) antara kamu dengan jalan salah dan (janganlah) mengeluarkan harta (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian daripada harta manusia dengan cara yang berdosa sedangkan kamu mengetahui." [Al-Baqarah: 188]

Ayat ini adalah satu peringatan yang jelas dari Allah SWT agar kita tidak memberi rasuah kepada penguasa dengan harta ataupun bermuka-muka di hadapan mereka dengan perkataan, kerana keduanya merupakan musibah besar.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w juga turut memberikan peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perbuatan rasuah samada memberi mahupun menerimanya. Sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya):
"Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam suatu perkara." [HR at-Thabrani]

Laknat dari Allah SWT terhadap pemberi rasuah jika ia bertujuan menyakiti muslim yang lain atau mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi haknya. Adapun jika tujuan memberi rasuah dengan tujuan untuk memperolehi haknya atau menolak kezaliman terhadap dirinya, maka dia tidak termasuk orang yang dilaknat. Tetapi bagi hakim, rasuah tersebut tetap haram buatnya, baik untuk membatalkan hak mahupun untuk mencegah kezaliman. Adapun Ar-Ra'isy, iaitu orang yang menjadi perantara keduanya, maka hukumnya sama dengan Ar-Rasyi (pemberi rasuah). Apabila tujuannya adalah untuk kebaikan, dia tidak mendapat laknat. Sebaliknya jika tujuannya buruk, dia mendapat laknat. [Dipetik dari Al-Kaba'ir karya Imam adz-Zahabi]

Ibnu Mas'ud r.a mengatakan, "Memberi rasuah dalam satu perkara adalah kekufuran, sedangkan membudayakan rasuah di tengah-tengah manusia bererti memperoleh harta dengan cara haram.

Sekarang ini, banyak istilah yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan rasuah. Ada yang memanggilnya dengan panggilan 'duit kopi dan ada juga yang menyebutnya dengan panggilan 'hadiah untuk orang tercinta'. Semua itu tetap menggambarkan perbuatan yang yang dilarang dan merupakan satu bentuk kezaliman pada orang lain. Perbuatan ini sama seperti orang yang meminum khamar, tetapi menyebutnya dengan nama yang lain. 

Diriwayatkan dari Abu Umamah al-Bahili r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
"Sesiapa memberikan cadangan/saranan pada saudaranya lalu orang itu memberikan hadiah atas perkara itu dan dia menerimanya, sesungguhnya dia telah berada pada satu pintu terbesar dari pintu riba." [HR Abu Daud]

Seorang sahabat mulia yang emnjadi guru bagi ahli qira'ah, iaitu Abdullah Ibnu Mas'ud r.a., banyak menyatakan pendapatnya tentang rasuah. Di antaranya dia berkata, "Sesiapa membuang ketidakadilan dari seseorang Muslim, lalu kerana perkara itu dia minta diberikan imbalan, baik sedikit mahupun banyak, maka imbalan tersebut adalah barang haram."

Agama itu adalah nasihat. Hendaklah juga kita berhati-hati terhadap rakan-rakan yang buruk yang menyusahkan diri mereka sendiri demi membenarkan perkara haram agar menjadi halal dan memutarbelitkan perkataan dengan tujuan untuk memesongkan dalil naqli supaya dapat mengambil pendapat yang mengenyangkan hawa nafsu mereka dan keinginan liar mereka.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...