Sunday, April 1, 2012

Pemandangan Hari Kiamat

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:

"Telah datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya." [Al-Anbiya': 1]
"Dan berikanlah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman." [Maryam: 39]
"Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)." [An-Naba': 40]
"Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang sedang disusukannya dan tiap-tiap perempuan mengandung akan keguguran anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan." [Al-Hajj: 1-2]
"(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dasyat dan amat pahit." [Al-Qamar: 46]
"Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isteri serta anak-anaknya; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Tertawa, lagi bersuka ria; Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap gelita. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka." [Abasa: 34-42]

Begitulah antara yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Qur'an mengenai gambaran hari kiamat. Sesungguhnya, hari kiamat merupakan peristiwa yang teramat dasyat dan waktunya telah hampir tiba. Orang yang mati bererti telahpun datang kiamat buatnya. Rohnya telahpun berpindah entah ke syurga atau ke neraka. Di dalam kubur, jasadnya akan menerima nikmat ataupun azab. Kubur baginya boleh saja menjadi sebahagian dari taman syurga dan boleh juga menjadi sebahagian dari lubang neraka sementara menanti hari perhitungan di Padang Mahsyar, sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w tidak bercakap dengan hawa nafsunya. Ianya ada dijelaskan dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan juga hadis riwayat Abu Sa'id.

Nikmat dan azab kubur benar-benar akan dirasakan oleh jasad dan roh seperti yang telah diterangkan di dalam Al-Qur'an, As-Sunnah dan ijma' ulama'. Perkara ini termasuk sebahagian daripada beriman pada perkara-perkara ghaib. Tidak ada yang membantah kecuali orang yang tidak mempercayai tuhan serta menolaknya. Nabi s.a.w sendiri memohon perlindungan pada Allah SWT daripada siksa azab kubur dan memerintahkan kita supaya meminta perlindungan darinya pada setiap kali solat setelah tasyahud.

Apabila tiba masa yang telah ditentukan untuk alam ini dan seluruh isi kandungnya, maka ditiupkanlah sangkakala sehingga sesiapa sahaja di langit dan di bumi akan mati kecuali siapa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kemudian ditiup sekali lagi sangkakala. Tiba-tiba semua kita berdiri menanti keputusan masing-masing. Kita semua bangkit dari dalam kubur untuk mengadap pada Rabb Maha Pencipta alam semesta dalam keadaan telanjang dan berkaki ayam serta bersendirian, sama seperti sewaktu kita semua dilahirkan ke dunia. Tidak ada sedikitpun yang menemani kecuali amalan kita semasa kita hidup di atas muka dunia. Matahari didekatkan tepat di atas kepala manusia dengan kepanasan yang meningkat dan perasaan takut yang teramat sangat.

Pada hari itu, bumi yang selama ini kita duduki akan digantikan dengan bumi yang lain, demikian juga dengan langit. Kita semua berkumpul di Padang Mahsyar untuk menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.

Tempoh berkumpul tersebut menghampiri 50 ribu tahun. Manusia merasa gelisah yang tidak tertanggung, sehingga kita mencari orang yang dapat memberikan syafaat di sisi Allah SWT agar Allah berkenan menghisab dan menenangkan kita dari kegelisahan tersebut.

Kita semua pergi kepada Nabi Adam a.s, nenek moyang kepada semua manusia; kemudian kepada Nabi Nuh a.s, kemudian kepada Nabi Ibrahim a.s, kemudian kepada Nabi Musa a.s dan kemudian kepada Nabi Isa a.s. Semua Nabi dan Rasul Allah tersebut meminta maaf dan masing-masing berkata; "Sesungguhnya Rabb-ku pada hari ini murka dengan kemurkaan yang tidak pernah terjadi seperti ini sebelumnya dan tidak pernah akan murka seperti ini setelahnya. Aku sibuk dengan diriku sendiri. Pergilah pada yang lain selainku."

Manusia pun akhirnya pergi kepada Muhammad s.a.w dan Baginda s.a.w bersabda;"Aku akan memintakan syafaat."

Rasulullah s.a.w lalu bersujud di bawah 'Arsy sehingga Allah SWT membuka semua pintu pujian untuk Baginda. Lalu Allah SWT berfirman kepada Muhammad s.a.w;"Wahai Muhammad! Angkat kepalamu! Berkatalah, maka akan didengari. Mintalah, maka akan diberi, berilah syafaat, maka akan dikabulkan."

Lalu Muhammad s.a.w mengangkat kepala Baginda dan berkata, "Ummatku wahai Rabb-ku! ummatku wahai Rabb-ku! ummatku wahai Rabb-ku!" Allah SWT lalu berfirman kepada Baginda s.a.w, "Ya Muhammad, masukkanlan ummatmu dari pintu sebelah kanan tanpa hisab, dan mereka juga berhak masuk dari pintu manapun yang mereka mahu." Inilah syafaat 'uzhma dan kedudukan terhormat yang dimiliki oleh junjungan besar kita, Muhammad s.a.w.

Allah SWT memberikan hukuman dan keputusan terhadap hamba-Nya dengan betul serta memberikan pembalasan setimpal mengikut amalan hamba-Nya. Lalu neraka Jahannam dibawa dengan 70 ribu tali kekang dan pada setiap tali terdapat 70 ribu malaikat yang menariknya. Dia geram dan menghembuskan nafas. Allah SWT berfirman (mafhumnya):

"Jangan sekali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada atasnya dan) diratakan serata-ratanya, Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), Serta diperlihatkan Neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik) dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Dia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)." [Al-Fajr: 21-24]
"Dan akan bersinar terang benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya dan akan diberikan kitab suratan amal (untuk dibicarakan) dan akan dibawa Nabi-Nabi serta saksi-saksi dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang, balasan apa yang telah dikerjakannya dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan." [Az-Zumar: 69-70]

Allah SWT akan menghisab seluruh makhluk dan memberikan ganjaran pada setiap hamba-Nya mengikut amalan masing-masing sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

"(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakan, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyisa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya." [Al-Imran: 30]
"Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seorangpun." [Al-Kahfi: 49]
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Az-Zalzalah: 7-8]
"Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbanagan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam Neraka Jahannam. Api Neraka itu membakar muka mereka dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh dan cacat." [Al-Mu'minun: 102-104]

Sementara itu, orang-orang beriman pada hari tersebut, wajah mereka bersinar-sinar. Timbangan amal kebaikan berat sehinggakan mereka menerima catatan amalan dengan tangan kanan dan akan datang pada telaga Nabi Muhammad s.a.w yang airnya jauh lebih putih daripada susu, jauh lebih manis daripada madu, jauh lebih lembut daripada buih dan jauh lebih wangi daripada minyak kasturi. Mereka minum dari telaga itu dengan nikmatnya dan setelah itu mereka tidak akan haus selamanya. Sirat pun dibentangkan di tengah-tengah Jahannam. Manusia melaluinya dengan cepat ataupun lambat mengikut amalan yang dilakukannya semasa hidup. Allah SWT berfirman (mafhumnya);

"Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)." [Az-Zumar: 73]

Setiap golongan bersama-sama dengan pemimpinnya. Apabila mereka sampai ke Syurga, sedangkan pintu-pintunya telah terbuka kerana syafaat Nabi Muhammad s.a.w, para malaikat penjaganya menyambut mereka sambil menyampaikan salam sejahtera kerana telah selamat sampai ke Syurga dan selamat dari azab neraka Jahim. Mereka merasakan kehidupan abadi yang diinginkan oleh hati dan sedap dipandang mata. Mereka merasakan kenikmatan hati, roh dan badan mengikut keinginan mereka di Syurga yang penuh kenikmatan. Puncak dari itu semua adalah keredhaan Allah SWT, sehingga setelah itu tidak akan murka selamanya pada mereka.

Allah SWT berfirman (mafhumnya);

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam 'Syurga Adn' serta keredhaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar." [At-Taubah: 72]

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa orang-orang beriman yang memasuki syurga akan terus muda dan tidak akan tua, akan terus sihat dan tidak akan sakit, akan terus rasa nikmat dan tidak akan rasa siksa dan akan terus hidup dan tidak akan mati buat selama-lamanya. Bahkan lebih nikmat lagi dapat memandang wajah Allah Yang Maha Mulia, mendengar perkataan-Nya, gembira dengan keredhaan-Nya, hampir dengan-Nya serta gembira dengan kasih sayang-Nya.

"Serta mereka berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal." [Az-Zumar: 74]

Adapun, bagi golongan kafir, pembuat dosa dan maksiat, akan dibangkitkan dari kubur dalam keadaan resah, gelisah dan ketakutan sambil mengatakan:

"(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula, berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?.. (Lalu dikatakan kepada mereka): inilah dia yang tlah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul," [Yasiin: 52]
"Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan menghadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka akan berkata: Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia! Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu." [Al-An'Am: 31]

Allah SWT menghisab segala perbuatan jahat dan dosa yang telah mereka lakukan dan menghina mereka di hadapan semua makhluk sehingga wajah mereka mereka menjadi hitam legam dan timbangan amalan baik mereka menjadi semakin kurang dan semakin ringan. Mereka menerima catatan amalan mereka dengan tangan kiri dan dibawa ke neraka Jahannam dalam keadaan yang amat lapar dan haus secara berkumpulan. Setiap golongan bersama ketua dari kalangan orang yang terkenal kejahatan mereka. Sesampai di pintu neraka itu, dibukalah pintu-pintunya di hadapan mereka sehingga mereka amat terkejut kerana terlalu panas yang mengerikan. Mereka diserang ketakutan yang amat sangat dan malaikat penjaga neraka Jahannam menyambut mereka dengan mencaci amalan yang telah mereka lakukan semasa di dunia. Firman Allah SWT bermaksud;

"Dan orang-orang kafir akan dihalau ke Neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu, Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini? Mereka menjawab: Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orangorang yang kafir." [Az-Zumar: 71]
"Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka. Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli Neraka." [Al-Mulk: 10-11]

Mereka memanggil-manggil malaikat penjaga neraka Jahannam sambil berkata sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga Neraka, dengan berkata): Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)! Malik menjawab: Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!" [ Az-Zukhruf: 77]

Kemudian mereka memanggil Tuhan seraya mengatakan;

"Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kekufuran dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim. (Allah) berfirman: Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam Neraka dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaKu!" [Al-Mu'minun: 107-108]

Akhirnya, mereka berputus asa dari segala kebaikan, keselamatan dan ketenangan. Mereka pun yakin bahawa mereka akan tinggal kekal di dalam neraka selamanya dan menerima siksaan seterusnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Dan berkatalah pula orang-orang yang ada di dalam Neraka kepada malaikat-malaikat penjaga Neraka Jahannam; Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab siksa dari kami, barang sehari. Malaikat penjaga Neraka menjawab: Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)? Mereka menjawab: Ya, telah datang. Malaikat itu berkata: Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri dan doa permohonan orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja." [Surah Ghafir: 49-50]

Demikianlah sedikit gambaran pemandangan pada hari kiamat yang telah dijelaskan oleh Allah SWT melalui kalam-Nya yang disampaikan secara wahyu kepada junjungan besar kita, Rasulullah s.a.w. Alangkah azab dan dasyatnya penderitaan dan betapa besarnya kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh ahli neraka kerana perbuatan ingkar dan maksiat mereka kepada Allah SWT. Manakala bagi ahli syurga pula, mereka akan merasa dan mengalami kenikmatan dan kebahagiaan yang berkekalan sebagai ganjaran di atas amal kebajikan serta ketaatan mereka terhadap Allah SWT.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...