Tuesday, April 3, 2012

Kewajipan Menunaikan Janji Dan Amanah

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERJANJI merupakan fitrah semulajadi manusia manakala menepati janji merupakan tabiat dan sikap orang yang ikhlas pada Tuhan dan sentiasa menyedari bahawa diri diawasi oleh-Nya dalam melakukan amalan mereka. Dengan sikap ini, mereka tidak akan mungkir janji. Mereka itulah orang yang jujur sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Bukanlah kebajikan itu hanya menghadap muka kamu ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan (yang sebenarnya) ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab, nabi-nabi, bersedekah harta yang disayangi kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, musafir, peminta-peminta sedekah dan hamba-hamba yang menuntut kemerdekaan, mendirikan solat dan menunaikan zakat, orang yang menepati janji apabila berjanji, orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan peperangan. Mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa." [Al-Baqarah: 177]
Allah  turut memuji mereka dalam ayat yang lain sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya." [Al-Mu'minun: 8]

Dalam melakukan janji, manusia dtuntut oleh Allah SWT agar menepati janji dan bersikap jujur. Allah SWT menjanjikan balasan kebaikan bagi orang yang menepati janji. Allah SWT berfirman (maksudnya):
"Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya." [Al-Isra': 34]
"Wahai Bani Israel! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu dan sempurnakan perjanjian (kamu) dengan-Ku, supaya Aku sempurnakan perjanjian-Ku dengan kamu dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain)." [Al-Baqarah: 40]

Menepati janji adalah sesuatu yang wajib selagimana apa yang dijanjikan itu tidak bercanggah dengan syara'. Itu merupakan norma agama yang perlu dihidupkan serta dipelihara. Ibnu Abbas r.a mengatakan, "Akad kesepakatan maksudnya adalah perkara yang dihalalkan dan diharamkan, perkara yang diwajibkan serta perkara yang ditentukan di dalam Al-Qur'an.

Adh-Dhahak mengatakan, "Perjanjian yang diambil Allah SWT atas umat ini harus ditepati. Perjanjian tersebut adalah perkara yang dihalalkan dan diharamkan serta perkara yang diwajibkan berupa solat dan seluruh kewajipan lainnya. Kewajipan yang Allah SWT tetapkan atas kita, maka ia telah ditetapkan dan tidak ada alasan untuk membatalkannya dalam apa keadaan sekalipun."

Muqatil bin Hayan pula mengatakan, "Penuhilah janji yang Allah amanahkan kepada kamu semua di dalam Al-Qur'an, iaitu berupa perintah untuk mentaati-Nya yang harus kamu semua laksanakan dan larangan yang harus kamu semua tinggalkan. Demikian juga perjanjian antara kamu semua dengan orang musyrik serta perjanjian dengan sesama manusia. Wallahuaklam."

Bagi mereka yang merosakkan dan memungkiri janji, mereka ini tidak akan mendapat jaminan dan perlindungan. Mereka menukar kejujuran dengan pendustaan dan perilaku buruk. Perbuatan yang membawa pengaruh buruk dalam masyarakat sehingga seksaan pedih dari Allah di akhirat menanti mereka. Bagi golongan ini, Allah SWT menyifatkan mereka seperti orang kafir dan keluar dari agama Allah. Firman-Nya yang bermaksud:
"Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat)." [At-Taubah: 12]

Apabila dusta berleluasa dan janji dimungkiri, maka tidak ada rasa aman dan tenteram. Perkara itu mengakibatkan terabainya hak, terjadi kezaliman, kebaikan dimusuhi dan kejahatan berleluasa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Ada empat perkara yang apabila seseorang memiliki semuanya, bererti dia seorang sebenar-benarnya munafik. Sesiapa terdapat pada dirinya satu sifat darinya, bererti dia memiliki satu sifat kemunafikan sehingga meninggalkannya. (Empat perkara tersebut adalah) Apabila diberi amanah, dia mengkhianatinya. Apabila berucap, dia dusta. Apabila berjanji, dia mengingkarinyaa dan apabila bergaduh, dia berlebihan." [HR Imam al-Bukhari dan Imam Muslim]
Rasulullah s.a.w juga bersabda (maksudnya):
"Setiap orang yang suka mengkhianati janji akan mendapat panji pada Hari Kiamat nanti supaya dikenalinya. Akan dikatakan, Inilah (panji) pengkhianatan si Fulan." [HR  Imam Muslim]

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
"Allah SWT berfirman, 'Ada tiga orang yang menjadi lawan-Ku pada Hari Kiamat; pertama, orang yang memberikan janji pada-Ku, kemudian dia mengkhianatinya. Kedua, seseorang yang menjual orang merdeka (bukan hamba) kemudiannya memakan harta keuntungannya. Ketiga, orang yang mengupah pekerja, lalu pekerjanya itu melakukan kerjanya akan tetapi dia tidak mahu membayar upahnya.'" [HR Imam al-Bukhari]

Bagi orang yang sering dan suka memungkiri janji atau mengkhianati amanah bermakna golongan tersebut adalah golongan yang tidak mempunyai iman. Ini dijelaskan oleh sebuah hadis yang bermaksud:
"Tidak ada keimanan bagi orang yang tidak menjaga amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menepati janji." [HR Imam Ahmad]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...