Sunday, April 8, 2012

Hindari Sihir

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

MANUSIA yang paling besar kejahatannya adalah mereka yang digoda serta disesatkan oleh syaitan untuk mengganggu orang lain dengan perbuatan yang sangat buruk, iaitu sihir. Pengamal sihir melakukan sihirnya, baik mantera mahupun tangkal, dengan meminta bantuan pada syaitan dan jin untuk mengganggu manusia, termasuk kanak-kanak dan wanita. Terdapat lebih dari 30 jenis sihir yang semuanya membahayakan manusia. Semua jenis dan tujuan sihir adalah jahat. Mengikut hukum, pengamal ilmu sihir ini dihukumkan sebagai kafir kerana;
  1. Dia meminta pertolongan pada selain dari Allah SWT, iaitu pada syaitan dari kalangan manusia dan jin.
  2. Dia saling tolong menolong dengan makhluk kafir, iaitu syaitan, yang memintanya untuk melakukan perbuatan kekafiran pada Allah SWT, sehingga syaitan tersebut mahu mentaati dan melaksanakan perintahnya.
  3.  Dia mengerahkan tenaganya dan menghabiskan malamnya untuk mengganggu umat manusia.

Di dalam Al-Qur'an dijelaskan bahawa melakukan sihir dan mengajarkannya pada orang lain adalah kekafiran. Allah SWT berfirman (maksudnya):
"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marur, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seorangpun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui." [Al-Baqarah: 102]

Jelas dalam ayat di atas menunjukkan larangan mengajar serta mempelajari ilmu sihir.

Pengamal dilaknat di dunia dan di akhirat serta akan kekal di dalam neraka di akhirat nanti. Hidupnya seperti hidupnya orang miskin dan mati seperti matinya orang jahil. Betapa sering sihir ini menyebabkan terjadinya pertengkaran antara suami isteri, sehingga suami membenci isterinya. Betapa sering sihir menyebabkan kehancuran rumahtangga dan sebagainya. Laknat Allah SWT sentiasa menimpa pengamal ilmu sihir ini.

Adapun, Islam menetapkan hukuman bunuh ke atas pengamal ilmu sihir ini kerana dia telah kafir setelah beriman. Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa sihir adalah termasuk dosa yang menghancurkan. 

Diriwayatkan dari Bajalah bin 'Abdah, dia berkata, "Kami telah menerima sepucuk surat dari Umar r.a satu tahun sebelum kematiannya. Kandungannya adalah perintah supaya membunuh pengamal sihir; baik lelaki mahupun perempuan."

Sihir adalah merupakan suatu perbuatan syirik. Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan syirik tidak akan masuk syurga. Diriwayatkan dari Abu Musa r.a, dia berkata,:
"Rasulullah s.a.w bersabda: Ada tiga orang yang tidak akan masuk syurga, iaitu; peminum arak, orang yang memutuskan silaturrahim dan mempercayai sihir." [HR Imam Ahmad]

Mempercayai bahawa sesuatu benda dengan sendirinya dapat mendatangkan manfaat atau kemudaratan adalah merupakan suatu kepercayaan yang syirik. Ini adalah kerana tidak ada sesuatupun yang boleh mendatangkan manfaat atau mudarat melainkan Allah SWT sahaja. Ramai yang mempercayai bahawa sesuatu tangkal atau jampi serapah boleh memberi perlindungan ataupun membawa kemudaratan kepada orang lain. Lebih buruk lagi, ada juga yang meminta syaitan laknatullah untuk menjaga harta. Semua ini adalah perbuatan manusia-manusia jahilliyah. Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas'ud r.a secara marfu', dia berkata, "Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah (sihir untuk mengikat hubungan suami dan isteri) adalah kesyirikan."

Tangkal adalah tali ikatan yang dibuat oleh dukun-dukun atau biji-bijian yang digantungkan pada dada dengan tujuan untuk memperolehi kesaktian, kekuatan, menolak bahaya dan untuk menjaga diri. Manakala Tiwalah pula adalah jalinan rambut beserta tulang busuk yang dibungkus ke dalam cebisan kain oleh tukang sihir. Jampi dilakukan dengan mentera dan menyebut nama jin. Semua itu adalah syirik.

Adapun, jika bacaan (ruqyah) yang mengikut syariat, iaitu dengan bacaan zikir dari Al-Qur'an dan doa-doa amalan para nabi, adalah dibenarkan dan lebih-lebih lagi digalakkan. Nabi s.a.w sendiri pernah melakukannya. Begitu juga para sahabat r.a setelah baginda. Disebutkan di dalam sebuah hadis yang meruqyah Hasan dan Husin r.a dengan doanya:
"Aku berlindung pada Allah untuk kamu berdua/semua dengan kalimat Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang menimpanya (yang akhirnya mengakibatkan sakit)." [HR Imam al-Hakim]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...