Sunday, April 1, 2012

Debat Antara Hasan Al-Basri Dengan Atheis

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 

IMAM HASAN AL-BASRI adalah seorang tokoh Islam yang sempat hidup pada dua tahun terakhir ketika Saiyidina Umar al-Khattab menjadi khalifah. Dilahirkan pada tahun 21 Hijrah, berasal dari Sabi Misan iaitu sebuah perkampungan yang terletak antara Basrah dengan Wasit.

Dengan izin Allah SWT, Imam Hasan al-Basri telah dikurniakan akal fikiran yang tajam sehingga mampu menghafaz al-Qur'an ketika usia 12 tahun.

Imam Hasan al-Basri seorang yang sanggup berkorban untuk menegakkan maruah dan martabat Islam. Beliau pernah dicabar oleh seorang yang tidak mempunyai pegangan agama mahupun kepercayaan terhadap ketuhanan untuk berdebat. Imam Hasan bersetuju untuk berdebat dan menerima syarat yang menetapkan bahawa siapa yang kalah akan dipenggal kepala.

Pada hari yang telah ditetapkan, Imam Hasan telah lewat untuk tiba. Kelewatan tersebut telah diambil kesempatan oleh golongan athies untuk mempersendakan dan mencemuh Imam Hasan dengan berbagai cercaan serta cemuhan. Ini kerana mereka menyangka bahawa Imam Hasan sengaja untuk mengelakkan diri dari menghadiri debat tersebut kerana takut dipenggal kepala. Golongan tersebut juga mendakwa bahawa pegangan Islam yang dianuti itu adalah tidak benar dan Tuhan itu tidak wujud.

Walau bagaimanapun, penduduk Baghdad tetap menunggu Imam Hasan hingga ke tengah hari dengan penuh pengharapan. Dengan izin Allah SWT, Imam Hasan akhirnya muncul juga pada tengah hari tersebut. Kehadiran Imam Hasan disambut oleh golongan athies dengan cemuhan dan cacian.

"Apakah alasan engkau lambat?" Tanya orang athies tersebut kepada Imam Hasan.

"Sebenarnya, aku telah berangkat dari pagi tadi, tetapi kalian juga tahu bahawa antara rumah aku dengan Kota Baghdad ini terdapat Sungai Dajlah yang sangat besar. Ketika aku tiba di Sungai Dajlah itu, tiada kenderaan  yang dapat menyeberangkanku bagi membolehkan aku tiba awal di sini. Aku tidak pula pandai berenang, jadi aku terpaksa menunggu di tepi sungai sambil berdoa dengan lama agar ada kenderaan yang datang pada waktunya. Tiba-tiba aku melihat serpihan papan bergabung antara satu sama lain dan akhirnya terbentuk sebuah perahu, lalu aku pun naik perahu itu," Imam Hasan memberi penjelasan.

Tiba-tiba orang athies itu menjerit kepada Imam Hasan, "Itu cerita tahyul! Mana boleh serpihan papan bergabung kemudian membentuk sebuah perahu dengan sendirinya?"

Imam Hasan membalas, "Jika begitu, mana mungkin seluruh alam semesta ini bergabung antara satu sama lain dengan sendirinya dan membentuk sistem yang amat mengagumkan? Begitu juga bagaimana darah, daging dan tulang belulang boleh bersatu dalam diri kamu?"

Mendengar hujah dari Imam Hasan itu, orang athies tersebut terus terkedu dan terdiam. Beliau tidak mampu untuk membalas hujah dari Imam Hasan tersebut. Beliau tidak mampu membalas hujah Imam Hasan berkenaan serpihan kayu yang membentuk sebuah perahu, apatah lagi untuk membalas hujah tentang alam semesta dan asal kejadian manusia.

Akhirnya, sebagai memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui, maka orang athies tersebut akhirnya dijatuhkan hukuman penggal kepala. Hukuman tersebut telah disaksikan oleh seluruh masyarakat Kota Baghdad dan semenjak itu semakin ramai orang telah memeluk agama Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...