Tuesday, March 6, 2012

Pemimpin Umno Gua Musang Desak Ku Li Undur

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

ENAM BELAS pemimpin akar umbi Umno di kawasan Parlimen Gua Musang mendesak ahli parlimen mereka Tengku Razaleigh Hamzah yang juga ketua bahagian di situ supaya berundur secara terhormat dan tidak mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum akan datang.

Berita Harian dan Sinar Harian hari ini melaporkan bahawa desakan itu dibuat pada mesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Ketua Cawangan Umno Bandar Lama Ab Wahab Yunus dan dihadiri oleh tiga ketua bahagian, enam ketua cawangan dan wakil-wakil dari Kesedar serta Felda.

Ab Wahab mendakwa bahawa Tengku Razaleigh tidak lagi mempunyai pengaruh, sama ada di peringkat pusat tetapi juga di bahagian itu, dan bahawa bekas Menteri Kewangan itu seolah-olah telah hilang pendirian beliau mengenai Umno dan BN.

"Kita rasa kecewa dengan sikap kepemimpinan Tengku Razaleigh yang sejak kebelakangan ini bersuara tidak sehaluan dengan pucuk kepemimpinan parti seolah-olah sebelah kakinya sudah berada dalam pembangkang,” katanya dipetik Berita Harian.

Sinar pula memetiknya berkata, kumpulannya terpaksa memberanikan diri membuat pendirian lebih tegas dengan mendesak Tengku Razaleigh berundur lebih awal kerana zaman sekarang bukan lagi sepadan dengan jiwa pemimpin veteran.

“Beliau dalam Umno pun banyak mengeluarkan berita-berita yang sensitif dengan perjuangan Umno dan seolah-olah lebih mirip kepada pembangkang, oleh itu adalah lebih baik dia berterus terang dengan pendirian sebenar.

“Kita sebagai pemimpin peringkat akar umbi kadang-kala malu dan sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan Tengku Razaleigh kerana lebih banyak memihak kepada pembangkang termasuk isu royalti minyak serta penyenaraian Felda di Bursa Malaysia,” katanya dipetik akhbar itu.

Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Gua Musang, Ab Aziz Mohamad pula berkata ramai ahli parti dalam bahagian itu tidak sanggup lagi merestui Tengku Razaeligh sebagai pemimpin kerana banyak karenah serta mengejar cita-cita untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

Menurut Sinar lagi, Ab Aziz berkata pemimpin itu langsung tidak mengambil kisah masalah yang dihadapi rakyat termasuk juga peneroka Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar yang dijanjikan untuk lupus hutan, namun sampai sekarang gagal dilaksanakan.

“Ini telah membuktikan kepada kita bahawa Tengku Razaliegh bukan lagi pemimpin yang harus kita puja seperti sebelum ini dan saya minta beliau berundurlah secara terhormat dan memberi laluan pula kepada pemimpin muda yang lebih berwibawa,” katanya. - Malaysiakini

Komen: Nampaknya dalam kalangan pemimpin Umno Gua Musang mempunyai sikap tidak suka dengan pendirian tegas Ku Li terutamanya dalam isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat Kelantan.

Kita dapat lihat, pemimpin-pemimpin ini tidak hirau dengan kepentingan rakyat Kelantan terutamanya dalam isu tuntutan royalti petroleum yang mana dalam hal ini Ku Li begitu tegas dengan pendirian beliau yang menyatakan bahawa Kelantan memang mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang ditemui di perairan Kelantan dalam bentuk royalti.

Begitu juga dengan pendirian tegas Ku Li yang senada dengan majoriti rakyat Kelantan yang menolak penghinaan Perdana Menteri terhadap negeri Kelantan dengan mendakwa Kelantan adalah negeri termiskin di Malaysia nampaknya tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Umno Gua Musang yang lain.

Penulis lihat dalam hal ini, kebanyakan pemimpin Umno termasuklah di Gua Musang lebih rela menjilat air liur pemimpin nombor satu mereka daripada mempertahankan hak rakyat Kelantan. Tujuannya mudah untuk dinilai, iaitu agar masing-masing diberi tempat oleh Umno untuk menjadi calon pada PRU akan datang. Jadi walau apa sekalipun bentuk penghinaan yang diterima oleh rakyat Kelantan mesti diiyakan sahaja oleh mereka walaupun dengan perbuatan mereka itu, maruah mereka jatuh pada tahap yang paling hina sekali.

Lantaklah apa nak jadi pada Umno Gua Musang. Penulis berpandangan, sekiranya Ku Li menarik diri (penulis tak fikir Ku Li akan tarik diri) dari bertanding ataupun Ku Li digugurkan oleh kepimpinan Umno, maka kerusi parlimen Gua Musang akan terlepas dari tangan Umno. Ini kerana penulis berpandangan, Ku Li masih lagi mempunyai pengaruh yang amat kuat di kalangan rakyat Gua Musang terutamanya di kalangan masyarakat orang asal Gua Musang.

Penulis juga berpandangan sekiranya Ku Li tidak dicalonkan oleh Umno pada PRU akan datang dan beliau memilih untuk bertanding sebagai calon bebas maka bakal akan wujud pertandingan 3 penjuru antara Umno, Pakatan Rakyat (PR) dan Bebas (Ku Li). Sekiranya ini berlaku, persaingan sebenar dalam PRU tersebut adalah antara calon PR menentang Ku Li. Ini adalah kerana undi untuk calon PR tetap akan kekal (mungkin bertambah) dan undi Umno akan berkurang. Penulis kata undi Umno akan berkurang adalah kerana, masyarakat orang asal akan tetap dengan kepimpinan Ku Li dan undi penyokong Umno pula akan berpecah dua antara kekal menyokong calon Umno atau menyokong Ku Li.

Apapun, sama-sama kita lihat apa kesudahannya nanti kemelut dalam Umno Gua Musang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...