Sunday, March 18, 2012

Bertolak Ansurlah Dalam Berpakat

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


AWAL bulan ini, media telah melaporkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu meminta untuk bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 11 Dun pada Pilihanraya 13 (PRU13) akan datang. Permintaan dan hasrat tersebut telah dinyatakan oleh pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.

Untuk rekod, pada PRU12, PKR telah bertanding di 2 kerusi Parlimen iaitu Dungun dan Kemaman serta 5 kerusi DUN iaitu Bandar, Seberang Takir, Telemong, Kota Putera dan Permaisuri, namun semua calon mereka tewas di tangan calon BN.

Mengulas hasrat PKR tersebut, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut menyatakan permintaan PKR Terengganu untuk bertanding di 3 kerusi parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang sekadar hasrat parti itu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut, berkata ini kerana keputusan akhir terletak pada pucuk pimpinan pusat Pakatan Rakyat.

"Itu hasrat dia. Dia nak bertanding. Kita juga ada hasrat sendiri, tapi kita tak naklah beritahu," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu. Lihat laporan di sini.

Penulis berpendapat dalam hal ini, kepimpinan PKR Terengganu tidak perlu melenting sekiranya hasrat tersebut tidak dipersetujui oleh kepimpinan PAS Terengganu. Ini adalah kerana penulis berpendapat, Terengganu mempunyai lebih banyak cawangan PAS berbanding PKR, begitu juga dengan ahli serta penyokong, yang mana penulis percaya lebih ramai ahli serta penyokong PAS jika hendak dibandingkan dengan ahli serta penyokong PKR

Respon secara rambang yang penulis dapat menunjukkan majoriti rakyat Terengganu dan juga di Kelantan sebenarnya lebih memberikan sokongan kepada PAS berbanding PKR. Jadi dalam hal ini, penulis lebih bersetuju sekiranya PKR kekalkan dahulu kerusi yang telah sedia ditandingi dan buktikan terlebih dahulu bahawa PKR boleh mendapat sokongan majoriti rakyat di kawasan tersebut dalam usaha untuk merealisasikan impian ke Putrajaya. Manakala selebihnya boleh dipertimbangkan setelah impian tercapai.

Lagipun, penulis rasa tidak salah jika PKR lebih bertolak ansur dengan PAS dan tidak bersikap terlalu tamak. Ini adalah kerana, pada perkiraan penulis, kerusi (seluruh negara) yang ditandingi oleh PKR sudah sedia lebih banyak jika dibandingkan dengan PAS.

Penulis juga berpendapat, sekiranya PAS boleh bertolak ansur dengan PKR sedangkan kalau hendak dikirakan, PAS adalah parti yang lebih senior berbanding PKR, maka apalah salahnya jika PKR juga mampu mengurangkan sedikit kehendak diri demi untuk menjaga persefahaman yang telah dijalinkan.

Jadi rasanya, tak perlulah untuk diperbalahkan perkara ini. Bincangkan dengan sebaik-baiknya dan bertolak ansurlah antara satu sama lain. Buangkan sikap ego dan tamak pada kuasa yang sifatnya hanyalah sementara dan tidak berkekalan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...