Thursday, February 9, 2012

Ulama' Kelantan Optimis Mengekalkan Kemenangan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

RANTAU PANJANG, 8 Feb 2012: (Harakahdaily) Gelombang merah, bantuan rakyat 1Malaysia (RM500) dan baucar buku (RM200) yang dieksploitasikan sepenuhnya Umno Kelantan dianggap belum mampu menarik perhatian rakyat.

Malah bagi Dewan Ulamak PAS Kelantan selagi kepimpinan parti itu tidak berpecah seperti tahun 1973 ketika PAS menyertai gabungan Barisan Nasional (BN), kerajaan PAS di Kelantan akan terus bertahan.

Ketuanya, Dato’ Muhamed Daud Iraqi berkata, dua lagi faktor yang perlu diambil kira iaitu penipuan dalam daftar pemilih dan tahap sokongan rakyat di bawah.

“Selagi tiga faktor itu tidak berlaku, PAS diyakini akan terus mentadbir Kelantan selepas pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

“Lagi pun sekarang kepimpinan PAS di Kelantan bertambah kukuh. Insya-Allah kita akan terus menang dengan majoriti selesa,” katanya ketika ditemui selepas majlis Maulidurrasul di Markas PAS Rantau Panjang, di sini malam kelmarin.

Sebelum ini Umno membayangkan mampu merampas Kelantan pada PRU-13. Malah mereka mensasarkan dapat menawan 23 kerusi Dun.

Ketika datang ke Kelantan baru-baru ini Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak membayangkan sekali lagi Umno dapat merampas Kelantan.

Kenyataan seperti itu diulang-ulang sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Umno Kelantan. Ia diulang pula Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib.

Pada pilihan raya umum 2004 Umno dan BN berjaya memenangi 21 kerusi Dun. Dun Kelantan mempunyai 45 kerusi. Kemenangan tersebut dilihat kerana faktor Abdullah dan kejayaan memanipulasi daftar pemilih.

Bagaimanapun sekarang faktor Abdullah sudah tidak wujud lagi, sebaliknya keperibadian Najib dilihat pelbagai pihak tidak mampu melonjatkan semula kedudukan Umno.

Sementara itu dalam perkembangan lain krisis dalaman antara Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin tidak mampu lagi disembunyikan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...