Saturday, February 11, 2012

Tempat-Tempat Menarik Dan Lokasi Pelancongan Di Kelantan


بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DESTINASI pelancongan yang terkenal di Kelantan termasuklah:

Tempat membeli-belah
  • Pasar Besar Siti Khadijah
Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ia telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan iaitu Y.A.B Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.
Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .
Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih "tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.
Pasar ini terletak bersebelahan dengan Bazar Buluh Kubu.
 
  • Bazar Tok Guru
Terletak berhampiran Padang Perdana dan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu. Menempatkan gerai-gerai jualan pelbagai jenis barangan. Dibina bagi menggantikan Pasar MPKB dan Pasar Arked Uda yang sudah tidak sesuai memandangkan terletak di kawasan dalam pembangunan dan juga didapati tidak sesuai atas faktor-faktor keselamatan.
  • Bazar Buluh Kubu
Basar Buluh Kubu terletak bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah. Ia mempunyai 4 aras dan satu aras bawah khusus untuk meletak kenderaan. Bazar ini menjual pelbagai barangan seperti barangan hasil kraftangan, kain dan baju batik, songket, cenderamata, pakaian dan sebagainya. Medan Selera pula terletak di tingkat paling atas.
Selain menjual pakaian, makanan dan barangan dapur, beranika barang perhiasan seperti perak, tembaga dan barangan ukiran kayu juga boleh didapati di sini.
  • KB Bazar
KB Bazaar merupakan sebuah lokasi baru perniagaan di bandar Kota Bharu dijangka muncul sebagai lokasi 'bisnes' terulung di Kelantan sekiranya mendapat sokongan padu golongan usahawan dan penduduk tempatan.
KB Bazaar merupakan satu lokasi perniagaan strategik untuk Bumiputera. Ia terletak di Jalan Hamzah, bersebelahan dengan KB Mall.
Produk yang ditawarkan di KB Bazaar termasuk batik, barangan perak, hiasan dalaman, pakaian siap, kain ela, barangan antik, kraftangan rakyat Kelantan dan peralatan elektrik.

  • KB Mall
KB Mall merupakan sebuah kompleks pusat beli-belah yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Ia merupakan tempat membeli belah yang stategik berada di laluan utama ke Pusat Bandar Kota Bharu dan bersebelahan dengan KB Bazar.
Kompleks ini dibuka pada tahun 2005. Didalam pusat membeli belah ini terdapat sebuah pasaraya iaitu Pacific Hypermarket. Di tingkat atas, terdapat medan selera.
  • Pasar Borong Wakaf Che Yeh
Menjadi tumpuan utama pengunjung tempatan dan luar pada setiap hari. Pasar ini menjalankan aktiviti perniagaan secara harian di mana pada sebelah pagi hingga tengahari aktiviti perniagaan tertumpu kepada aktiviti penjualan barang keperluan harian termasuklah barangan basah manakala pada sebelah malam hingga ke awal pagi pula aktiviti perniagaan pula tertumpu kepada aktiviti penjualan barangan berbentuk pakaian dan cenderamata.


Pantai
  • Pantai Bisikan Bayu
Pantai Bisikan Bayu atau 'Pantai Dalam Rhu' terletak di Pasir Puteh, bersebelahan Semerak, 50 km dari Kota Bharu,Kelantan

  • Pantai Cahaya Bulan
Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.
Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam.
Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.

  • Pantai Tok Bali
Pantai Tok Bali ialah sebuah pantai yang terletak di Kelantan, Malaysia.
Pantai Tok Bali terkenal dengan kelebihannya yang tersendiri. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan bagi penduduk tempatan malah menjadi kemestian bagi pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai di Tok Bali. Bagi penduduk yang bekerja sebagai nelayan, Tok Bali merupakan tempat untuk mereka mencari rezeki kerana ia terkenal dengan hasil penangkapan yang boleh membawa keuntungan kepada nelayan-nelayan.
Tok Bali juga merupakan destinasi penjualan hasil-hasil penangkapan oleh nelayan-nelayan. Kita dapat meperolehi hasil - hasil tersebut dengan harga yang berpatutan di samping dapat menikmati kesegaran hasil - hasil tangkapan.
  • Pantai Irama
Pantai Irama terletak di Bachok, Kelantan menghadap Laut China Selatan. Pantainya ditambak kerana hakisan akibat ombak laut yang kuat terutama pada musim tengkujuh ketika Angin Monsun Timur Laut bertiup (November - Mac).
Pantai Irama terletak di pinggir Bandar Bachok, kira-kira 20 km dari Kota Bharu melalui jalan tempatan Kota Bharu-Tawang-Bachok yang mengambil masa kira-kira 30 minit.
Kemudahan yang disediakan ialah gerai jualan, tandas awam, surau, wakaf, tempat letak kerata yang sistematik, dataran, tempat menyalin pakaian dan taman permainan kanak-kanak.

  • Pantai Sri Tujuh
Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat, Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana terdapat 7 buah teluk atau lebih di sini. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik kepada pengunjung terutama dari Kelantan. Pantai Sri Tujuh berhampiran dengan Pengkalan Kubur dan Stesen keretapi Tumpat. Pengunjung dari Kuala Lumpur boleh ke sini dengan menaiki kereta api dengan bayaran RM32 seorang. Banyak teksi dan kereta sewa di stesen kereta api untuk pergi ke pantai.
Sebuah resort terapung telah dibina di Pantai Sri Tujuh. Ia dikenali sebagai Resort Sri Tujuh, lengkap dengan kolam mandi , gelanggang futsal dan padang latihan bermain golf . Pengunjung akan makan di gerai-gerai yang disediakan sambil menikmati panorama laut dan mereka yang menunggang bot ski. Bot nelayan kelihatan pulang ke pangkalan pada waktu-waktu tertentu.
Selain itu terdapat surau dua tingkat yang agak besar di sini. Pada hujung minggu, ada di antara pengunjung mendirikan khemah sambil memancing ikan.
  • Pantai Sabak
Pantai Sabak mempunyai sejarahnya tersendiri dalam era penjajahan di Tanah Melayu. Ini adalah kerana di pantai inilah tentera Jepun buat pertama kalinya mendarat di Tanah Melayu semasa perang dunia kedua pada 8 Disember 1941.
Walaubagaimanapun, kini keindahan Pantai Sabak sudah pupus kerana diancam dengan hakisan ombak yang teruk dan pantai tersebut kini sudah tidak sesuai untuk menjadi destinasi perkelahan.

Gunung
  • Bukit Kemahang
Bukit Kemahang merupakan sebuah bukit yang terdapat di negeri Kelantan, Malaysia. Tingginya 876 meter.
Bukit Kemahang mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, dan hutan Dipterokarp Atas.
satu rancangan pembangunan tanah oleh Felda telah dibangunkan di sini. nama kemahang di gunakan bagi penempatan ini yang di kenali dengan kemahang 1, kemahang 2 dan kemahang 3. peneroka kemahang 1 - 450 keluarga peneroka kemahang 2 - 450 keluarga peneroka kemahang 3 - 400 keluarga
semua peneroka di sini adalah rakyat negeri kelantan dari pelbagai daerah.
  • Gunung Noring Timur
Gunung Noring Timur merupakan sebuah gunung yang terdapat di negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Gunung Noring Timur mempunyai ketinggian setinggi 1,861 meter.
Gunung Noring Timor mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas dan kawasan hutan Montane.
  • Gunung Berangkat
Gunung Berangkat merupakan sebuah gunung yang terdapat di negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Gunung Berangkat mempunyai ketinggian setinggi 1,296 meter.
Gunung Berangkat mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, dan hutan Dipterokarp Atas

  • Gunung Chamah
Gunung Chamah ialah sebuah gunung terpencil yang terletak di Hutan Belum, Kelantan, Malaysia. Tingginya 2,171 meter. Gunung Chamah mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.
Disebabkan lokasinya, hutan di Gunung Chamah adalah hutan dara, dengan tamadun terdekat terletak 40-50 kilometer dari tempat ini. Penggembaraan berjalan kaki memerlukan pemandu yang berpengalaman. Hubungan tunggal dengan dunia luar ialah perjalanan perahu selama tiga jam melalui Tasik Temenggur.
Tasik Temenggur dibentukkan pada tahun 1970-an ketika kerajaan Malaysia membina sebuah empangan di Sungai Temenggur dan menenggelami sebahagian hutan. Masih terdapat banyak orang asli yang tinggal di hutan ini. Mereka menggunakan Tasik Temenggur yang mengaitkan Grik dengan Pos Kemar sebagai sistem pengangkutan utama mereka.
  • Gunung Rabong
Gunung Rabong merupakan sebuah gunung yang terdapat di negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Gunung Rabong mempunyai ketinggian setinggi 1,539 meter.
Gunung Rabong mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas dan kawasan hutan Montane.
  • Gunung Stong
    Gunung Stong merupakan salah satu gunung tertinggi di Kelantan dengan ketinggian 1,442 meter. Gunung Stong terletak di Hutan Simpan Dabong, Kelantan. Gunung Stong menyediakan hutan yang menarik dan mengasyikkan yang penuh dengan khazanah alam, hidupan liar seperti gajah.

    Gunung Stong menempatkan salah satu air terjun yang merupakan kelima dalam senarai 10 tempat yang menarik dan tertinggi untuk ekotourism di Malaysia. Gunung Stong memang tersohor dengan Air Terjun Jelawang yang tingginya 305 meter dan tidak mustahillah air terjun ini merupakan tertinggi di Asia. Antara panorama-panorama yang menarik sekitar Gunung Stong ialah:
    Gunung Ayam yang terletak bersebelahan Gunung Stong di Hutan Simpan Dabong. Suasana dalam hutan ini sungguh mengasyikkan dengan kicauan burung dan unggas-unggas tetapi ia juga merupakan habitat bagi haiwan-haiwan liar seperti gajah dan harimau.
    Ketinggian Gunung Ayam ialah 1504 meter iaitu 70 meter lebih tinggi dari Gunung Stong. Sekiranya perjalanan untuk menawan puncak Gunung Stong memakan masa selama 3-4 jam, Gunung Ayam pula memerlukan masa tambahan sebanyak 4-5 jam untuk sampai ke puncak. Namun untuk menempuhi perjalanan seharian ia memakan masa sekurang-kurangnya 9 jam.
    Pendakian ke puncak Gunung Ayam penuh dengan cabaran. Ia memerlukan kesihatan fizikal dan mental yang baik. Jalan-jalan yang harus ditempuhi penuh dengan ranjau yang menggugat kesabaran, namun pendaki-pendaki akan disajikan dengan udara sejuk yang nyaman dan segar. Sekiranya anda ingin berkhemah di puncak Gunung Ayam, jangan lepaskan peluang menikmati keindahan panorama matahari terbit yang membelah langit biru yang dipenuhi dengan gumpalan-gumpalan awan.
    Setelah penat pendakian yang ditempuhi, anda akan sampai ke air terjun Gunung Stong untuk menikmati airnya yang sejuk dan dapat menghilangkan kepenatan.
  •   Gunung Ayam
Gunung Ayam yang terletak di Kelantan mempunyai ketinggian setinggi 1,504 meter (4,934 kaki).
Gunung Ayam mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.


Pusat kesenian
  • Gelanggang Seni
Dalam mengejar erti pembangunan kerajaan Kelantan juga tidak pernah mengabaikan seni warisan budaya rakyat negeri ini. Sehubungan dengan itu, Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Sultan Mahmud iaitu kira-kira 2 km dari pusat bandar Kota Bharu diwujudkan.
Pusat ini sentiasa menjadi daya tarikan kepada para pelancong dan kepada anak-anak Kelantan yang cintakan seni warisan bangsa untuk berkampung dan mempersembahkan persembahan masing-masing. Antara persembahan yang masih digemari dan kerap diadakan ialah dikir barat, Rebana Ubi, permainan gasing, dan wau bulan. Persembahan ini diadakan pada hari Rabu setiap minggu secara bergilir-gilir.
  • Tokong-tokong Buddha


Bersantai
  • Jeram Pasu
Jeram Pasu adalah merupakah salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Pasir Puteh, Kelantan. Jeram Pasu dihubungi dengan jalan raya bertar dan pengunjung boleh ke sana dengan menaiki perkhidmatan bas awam, kereta persendirian dan teksi. Jeram Pasu terletak kira-kira 8 kilometer dari simpang Kampung Padang Pak Amat, Jalan Pasir Puteh - Kota Bharu.
Sejarah:- Mengikut sejarah dan cerita masyarakat setempat, Jeram Pasu merupakan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan.
Kemudahan:- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Pasir Puteh telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai serta kolam mandi buatan. Pengunjung juga boleh beriadah dengan menggunakan trek denai hutan yang dibina oleh pihak PBT.

  • Jeram Lenang
Jeram Linang (kadang-kadang ditulis Jeram Lenang) merupakan salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal di Kelantan. Jeram Linang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, dalam Jajahan Machang, Kelantan dan dihubungi dengan jalan raya bertar. Pengunjung boleh ke sana dengan menaiki kereta persendirian dan teksi.
Sejarah:- Mengikut sejarah, Jeram Linang merupakan antara kawasan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan. Air terjun Jeram Linang adalah dari jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu dan Jerteh, Terengganu.
Kemudahan:- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Machang telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai, chalet dan tapak perkhemahan.
Jaringan jalan raya yang baik telah dibina oleh pihak kerajaan bagi memudahkan para pegunjung melawat Jeram Linang. Jeram Linang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Pasir Puteh (melalui jalan Pasir Puteh - Machang) dan 15 kilometer dari Bandar Machang (melalui jalan Machang - Wakaf Linchong).

  • Lata Rek
Lata Rek adalah kawasan air terjun yang cukup terkenal di negeri Kelantan. Air terjun ini diwartakan sebagai tempat perkelahan yang amat sesuai untuk seisi keluarga bersuka-ria dan mencari ketenangan. Kawasannya terletak berhampiran Kg. Laloh, iaitu lebih kurang 30 km dari Bandar Kuala Krai, Kelantan. Orang ramai boleh ke sana melalui Lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang. Kebiasaanya. Lata Rek paling ramai dikunjungi pada hari Jumaat (sempena cuti hari minggu di Kelantan). Tidak ketinggalan juga bagi penuntut universiti, pelajar sekolah, tentera, polis dan badan sukarela kerap membuat pekhemahan terutama pada musim cuti sekolah. Buat masa ini, tempat penginapan belum disediakan oleh pihak tertentu kerana masalah banjir yang boleh merosakkan struktur bangunan di sini terutama pada musim tengkujuh. Apapun, air terjun ini amat sesuai untuk sesi keluarga dan pekhemahan. Kedai makan, warung, pasar dan pelbagai lagi kemudahan terdapat berhampiran kawasan ini.

3 comments:

Anonymous said...

tak perasaan, air terjun gunung stong ada sebut tak?

Mohd Nasron Hashim said...

Terima kasih Anon Dicember 7, 2012 12:24 AM. Saya dah update dan info bergambar berkaitan Gunung Stong boleh juga dilayari di http://www.kelantan.gov.my/v6/index.php?option=com_content&view=article&id=124%3Agunung-stong&catid=44%3Awaterfall-&Itemid=162&lang=bm.

yushazizi yusof said...

a'sm, admin berikut page Tok Abah Guest House www.facebook.com/TokAbahGuestHouse utk tetamu yg mari ke kelate...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...