Thursday, February 9, 2012

Pemuda PAS Gesa Rais Yatim Kawal Promosi Hari Kekasih

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KUALA LUMPUR, 8 Feb - Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menggesa Pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) membuat kawalan terhadap sebarang promosi berhubung sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari depan.

Wakil DPPM Kamaruzzaman Mohamad dalam sidang media di sini berkata, mereka akan menghantar memo kepada Datuk Seri Rais Yatim supaya membuat kawalan terhadap sebarang promosi dan publisiti media massa berkaitan sambutan Hari Kekasih tersebut bagi membendung umat Islam daripada terjebak dengan kegiatan tidak bermoral sekiranya mereka turut serta dalam sambutan berkenaan.

"Kawalan tersebut tidak melibatkan masyarakat bukan Islam, itu hak mereka untuk menyambut hari memperingati kekasih, tetapi publisiti meluas sambutan tersebut akan memberikan kesan kepada umat Islam.

Menurutnya, bagi umat Islam, mereka dilarang meraikan sambutan tersebut kerana khuatir berlakunya gejala tidak sihat dalam kalangan mereka.

"Islam mempunyai pendirian berbeza berhubung sambutan hari kekasih  kerana ia menjurus kepada pasangan yang belum berumahtangga, dan Islam melarang perhubungan seperti itu," tambahnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Kuala Lumpur.

Menurut beliau, promosi secara besaran-besaran oleh pihak-pihak tertentu akan menggalakkan pasangan yang belum berkahwin untuk menyambut hari memperingati kekasih itu.

"DPPM sebelum ini ada meminta kerajaan mengadakan kempen bebas daripada pergaulan tanpa batasan, dan kami juga menuntut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)mengadakan kempen untuk tidak menyambut Valentine Day ini.

"Ini kerana kesan akhir hasil daripada sambutan itu adalah lahirnya bayi- bayi haram dan bayi-bayi longkang," tegasnya.

Memorandum tersebut dijangka akan diserahkan di pejabat KPKK di sini pada Jumaat jam 10 pagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...