Tuesday, February 21, 2012

Kerajaan Melaka Roboh Surau

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

PAS Melaka kesal surau diroboh

MELAKA, 21 Feb: Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana sebuah surau Ujong Pasir dirobohkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

"Umno gagal menjaga Islam, surau dirobohkan adalah bukti kegagalan Umno.

"Menurut penduduk setempat di Ujong Pasir, tapak surau itu telah puluhan tahun diwakafkan," ujar Adly kepada Harakahdaily.

Beliau mempersoalkan mengapa tanah-tanah wakaf sebegitu tidak diselenggara dengan betul dan diwartakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Kegagalan kerajaan negeri mewartakan tanah wakaf ini menyebabkan tanah tersebut terjual kepada pihak ketiga.

"Akhirnya surau yang didirikan oleh penduduk kampung di Ujong Pasir itu dirobohkan, atas alasan Pembangunan oleh pemaju," katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), penghulu, wakil rakyat dan ketua menteri sendiri tidak dapat menyelamatkan sebuah surau yang menjadi tempat ibadat dan aktiviti lain di kawasan tersebut.

"MAIM dan Ketua Menteri harus bertanggungjawab terhadap perobohan surau ini," tambah Adly.

Surau yang dikenali sebagai Surau Pak Man itu dibina di atas sekeping tanah wakaf tetapi difahamkan ia telah dijual oleh individu yang mendakwa tanah tersebut miliknya kepada pihak ketiga.

Adly dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka, Harun Mohammed telah membuat lawatan ke surau tersebut baru-baru ini.

Dalam lawatan itu mereka mendapati masih terdapat banyak sejadah dan tikar yang dibiarkan begitu sahaja bersama timbunan batu dan pasir kesan perobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka tidak mengalihkan sejadah yang digunakan ketika operasi merobohkan surau tersebut. Tidak ada langsung rasa hormat kepada rumah Allah.

"Umno sering melaung-laungkan pembela Islam dan agama tetapi mereka sanggup membiarkan surau ini dirobohkan sedangkan mereka adalah parti yang berkuasa," ujar Harun yang juga Penyelia Dun Telok Mas.

Harun berkata Ketua Menteri Melaka, yang juga Pengerusi MAIM; Exco Kerajaan Negeri dan Adun Telok Mas iaitu Datuk Latif Thamby Chik mesti dipertanggungjawabkan kerana gagal menjaga kedaulatan institusi Islam.

"Wakil Rakyat Dun Telok Mas ini langsung tidak bertanggungjawab dan tidak menghalang surau ini tidak dirobohkan.

"Mereka menghentam Kedah kerana merobohkan surau, tetapi di Kedah surau yang dirobohkan diganti dengan surau lebih besar, tetapi di sini surau dirobohkan atas tanah wakaf, ini merupakan suatu penghinaan kepada tanah wakaf orang Islam," tambah Harun. - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...