Friday, February 10, 2012

Jajahan Pasir Puteh

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

PASIR PUTEH merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan, Malaysia yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Bandar terbesar dalam jajahan ini juga mempunyai nama "Pasir Puteh".

Jajahan Pasir Puteh merupakan salah satu daripada enam zon yang dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang bertujuan untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Jenis-jenis perusahaan kraftangan yang diusahakan oleh mereka adalah seperti kraftangan daripada perak, buluh daun tal, besi, seramik, tembaga, daun nipah, kayu, dan mengkuang.

Jajahan Pasir Puteh mempunyai hospital sendiri, iaitu Hospital Tengku Anis yang terletak di Jalan Kota Bharu. Selain itu, jajahan ini mempunyai ibu pejabat polis sendiri, bersama-sama dengan sekurang-kurang empat balai dan dua pondok polis.

Jajahan Puteh mempunyai 8 daerah dan 73 buah mukim Penghulu. Daerah-daerah itu ialah Padang Pak Amat, Bukit Abal, Bukit Awang, Bukit Jawa, Gong Datuk, Jeram, Limbongan dan Semerak. Keluasan keseluruhan jajahan ini ialah 167.2 batu persegi (433.8 kilometer persegi).

Penduduk
Pasir Puteh mempunyai penduduk sekitar 111,001. Peratusan penduduk Melayu ialah 98%, Cina 1.5% dan lain-lain 0.5%.

Sejarah
Pasir Puteh sebelumnya lebih dikenali dengan nama Pangkalan Limbongan. Bandar Pasir Puteh mendapat namanya setelah lawatan oleh Sultan Muhammad IV pada tahun 1911. Sultan Muhammad IV sangat kagum dengan keputihan dan kilauan pasir di sepanjang tebing sungai. Oleh itu, Sultan telah mengistiharkan nama tempat ini sebagai Pasir Puteh.

Tempat persiaran
Pantai Bisikan Bayu, juga dikenali sebagai "Pantai Dalam Rhu", terletak di jajahan Pasir Puteh, dekat Semerak, kira-kira 50 kilometer daripada Kota Bharu. Pantai ini yang mengandungi pokok-pokok ru adalah sesuai untuk perkelahan keluarga. Kemudahan luncur angin juga disediakan di tempat persiaran ini.

Air terjun Jeram Pasu yang merupakan air terjun Kelantan yang paling popular terletak di Kampung Padang Pak Amat, lebih kurang 35 kilometer dari selatan Kota Bharu. Air terjun Jeram Linang yang terletak di Kampung Lepan Rambai lebih kurang 15 kilometer dari Bandar Pasir Puteh juga tidak kurang istimewanya. Untuk pergi ke Air Terjun Jeram Linang anda boleh pergi dengan kenderaan sendiri dan juga kenderaan awam. Jalan utama yang menghubungkannya ialah Lebuh Raya Timor Barat iaitu dari Wakaf Lichong menghala ke Machang. Di Kampung Sungai Durian dalam daerah Bukit Abal terdapat hutan simpan Chabang Tongkat yang mempunyai jeram yang cantik juga. Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan kemudahan untuk pelancong-pelancong dan masyarakat tempatan berkelah serta khemah-khemah untuk bermalam.

Tokoh tempatan
Salah satu tokoh jajahan Pasir Puteh ialah Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang juga dikenali sebagai Tok Janggut disebabkan janggutnya yang panjang dan putih. Seorang ulama', petani dan pedagang padi. Beliau mengetuai pemberontakan di Tanah Melayu pada tahun 1915 terhadap pemerintahan penjajah British yang bermula pada tahun 1909.

Antara kesan-kesan pemerintahan penjajah adalah kehilangan kuasa ketua-ketua daerah dan pengenalan bentuk-bentuk pencukaian tanah yang tidak dialu-alukan. Sebagai bekas pengikut ketua Pasir Puteh, Tok Janggut dijejaskan oleh kedua-dua langkah ini Pada April 1915, beliau mengetuai pemulauan cukai dan kemudian pemberontakan bersenjata yang terdiri daripada hampir 2,000 orang petani semata-mata untuk mengusir pihak British. Askar-askar British dari Singapura dibawa masuk untuk mematahkan pemberontakan ini yang berlangsung selama sebulan. Tok Janggut terbunuh dalam serangan terakhir kubunya, dan nama beliau masih hidup sebagai pahlawan awal terhadap perjuangan bertentang penjajahan British.

Ramai sebenarnya masih tidak tahu dan kabur tentang punca sebenar penentangan Tok Janggut terhadap British kerana sejarah sebenar penentangan beliau dan rakyat Kelantan telah diselewengkan dan disembunyikan faktanya oleh penjajah dan penyelewengan serta penyembunyian fakta tersebut telah disambung dan diteruskan sehingga kini.

Punca sebenar penentangan Tok Janggut dan rakyat Kelantan adalah cubaan British untuk menghapuskan undang-undang Islam berteraskan Al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama' yang pada waktu tersebut digunapakai dan dikuatkuasakan di Kelantan.

Di samping itu juga, British pada waktu itu sedang cuba untuk menghapuskan sokongan terhadap empayar Islam Turki Uthmaniah dan Kelantan pada waktu tersebut adalah antara penyokong kuat Turki Uthmaniah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...