Saturday, February 11, 2012

Hiburan Tradisional Kelantan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
  • Dikir Barat
  • Gasing
  • Main Puteri
  • Makyong Kelantan
  • Menora Makyong
  • Silat
  • Wau Bulan
  • Wayang Kulit Kelantan (atau Wayang Kulit Siam)
  • Wayang Kulit Melayu

Suatu ketika dahulu, Wayang Kulit Gedek (atau Wayang Gedek) yang terkenal di negeri Kedah dan Perlis juga dikatakan pernah bertapak di negeri Kelantan. Pada masa kini kerajaan Kelantan mengharamkan persembahan Wayang Kulit Gedek. Ia kini telah lenyap dari negeri Kelantan.

Main Puteri bermula sebagai satu cara perubatan alternatif dengan menggunakan alunan muzik yang menarik dan mempunyai sebahagian daripada kepercayaan animisme. Bagaimanapun ia kini telah berubah dan merupakan suatu bentuk hiburan. Pada masa kini kerajaan Kelantan mengharamkan Main Puteri.

Namun begitu, kerajaan Kelantan telah menapis permainan sama ada permainan atau hiburan yang boleh memesongkan akidah mengikut syarak yang ditetapkan oleh agama atau permainan yang berunsur perubatan dan yang jelas mempengaruhi perspektif masyarakat Kelantan.

Salah satu budaya yang tersohor yang gemar dimainkan oleh masyarakat Kelantan ialah Dikir Barat di mana budaya atau hiburan ini telah tersebar ke seluruh negara dan institusi pengajian tinggi.

Dikir Barat 
Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara.

Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. 

Maklumat lanjut mengenai dikir barat
Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.


Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.

Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.

Gasing 
Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.

Jenis gasing

  • Gasing toyol
  • Gasing begelen
  • Gasing berembang
  • Gasing buku benang
  • Gasing jantung
  • Gasing kelamar
  • Gasing kepala duri
  • Gasing kuno
  • Gasing lang laut
  • Gasing leper
  • Gasing leper Kelantan
  • Gasing pacitan
  • Gasing pangkah
  • Gasing piring
  • Gasing pinang
  • Gasing tanjung
  • Gasing telor
  • Gasing Cina
  • Gasing Melayu
  • Gasing uri

Cara bermain gasing
Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing. 

Melilit tali
Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri.

Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri. 

Melilit gasing
Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing.

Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang. 

Memusing gasing
Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.

Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan. 

Memangkah gasing
Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang. 

Pangkah totok
Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di paras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini. 

Pangkah hentak
Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan. 

Pangkah layang
Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing. 

Pangkah tebang
Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat. 

Mengangkat gasing
Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.

Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.

Silat
Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau.

Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pegajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu.

Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelarkan pendekar.

Antara senjata-senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).


Secara am sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata, terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi aliran itu.

Pergerakan silat terbahagi kepada bunga (pergerakan seolah-olah tarian, digelar juga seni atau tari) dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, mungkin ia kelihatan seperti sejenis tarian. Namun terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang halus ini memungkinkan ia digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah' termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah dari tari sembah atau sejurus dari bunga yang diperlihatkan membolehkan pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan situasi berakhir dengan damai dan bermaaf-maafan.

Adalah menjadi ungkapan yang terkenal dan biasa disebut oleh guru-guru silat bahawa bunga silat mempunyai seribu satu muslihat. Selain daripada kelihatan mengelirukan (seolah-olah menari) dan sebab-sebab di atas, bunga juga digunakan untuk memberi masa dan ruang kepada lawan untuk menghulurkan salam perdamaian (ini dapat dilihat dalam kebanyakan bunga yang kelihatan seperti menghulur salam), menyembunyikan buah dan sudut serangan dan mengacah serta mengumpan lawan (kadangkala sehingga sengaja menunjukkan bahagian tubuh tertentu bagi diserang untuk memerangkap musuh). Silat Gayung Fatani terkenal dengan pergerakan bunga yang cantik dan istilah 'melilit'. Pesilat aliran ini akan sengaja memberi ruang dan isyarat kepada musuh untuk menyerang atau cuba melepaskan diri, di mana semakin musuh itu menyerang setelah termasuk perangkap kuncian, maka semakin ketat mereka akan 'terbelit' dalam kuncian pesilat aliran ini.

Silat juga terkenal sebagai sistem pertahanan diri yang banyak menggunakan kuncian, sama ada kunci urat saraf atau anggota tubuh. Istilah 'kunci mati' adalah sinonim dengan silat.

Jenis silat (umum)
Timbul salah faham di kalangan orang ramai bahawa silat seni seperti silat pulut adalah biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis buah pukul atau seni tempur pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain.


Hakikatnya 'silat pulut' bukanlah satu aliran silat berlainan yang hanya memfokuskan persembahan dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia hanyalah terma atau gelaran yang digunakan apabila pesilat merancang acara persembahan mereka di majlis keramaian. Ini termasuklah tari sembah dan pertempuran yang diatur. Sudah tentu rahsia dan muslihat permainan aliran tidak dipertontonkan. Kebiasaannya sekumpulan pesilat menubuhkan kumpulan 'silat pulut' ini untuk membincangkan dan berlatih untuk persembahan-persembahan di majlis keramaian di kejiranan mereka. Inilah asalnya wujud 'aliran' atau 'sekolah silat pulut'. Nama silat pulut ini dikatakan berasal daripada 'pulut pengantin' (majlis-majlis perkahwinan di mana ia selalu dipersembahkan).

Silat sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan alirannya, seperti mana pecahnya silat Gayung (Gayung Laksamana, Gayung Laksamana Pahang dan lain-lain lagi). Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500 Perguruan Silat yang telah dapat dikesan.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa silat kini semakin tidak mendapat sambutan daripada golongan pemerintah yang sepatutnya memelihara seni ini dengan alasan terdapat unsur-unsur khurafat yang terdapat dalam silat. Dengan kesedaran pembangkitan Islam hari ini, guru-guru aliran telah menentang dan membuang amalan-amalan yang dilihat bertentangan dengan ajaran agama seperti jampi serapah, pemujaan makhluk ghaib tertentu dan sebagainya. Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) sendiri telah banyak membawa usaha pemodenan dalam dunia silat hari ini. Apa yang pasti Silat akan terus menjadi warisan dan lambang jati diri Melayu sedunia. 

Etimologi
Suatu teori menyatakan bahawa perkataan silat sendiri berasal dari silek dari bahasa Minangkabau. Silek adalah salah satu komponen untuk menyembahkan tarian rakyat randai Minangkabau bersampingan bakaba (pereka cerita) dan saluang jo dendang (lagu-dan-seruling).

Istilah silat adalah sebenarnya suatu kata nama am yang digunakan untuk merujuk pada seni mempertahankan diri di Asia Tenggara. Ia dikenali di Malaysia sebagai seni silat, seni bela-diri dan kadang-kala ilmu silat/pencak silat. Di Sumatra silat dikenali sebagai silek dan lebih popular di Jawa dan Indonesia sebagai Pencak Silat. Versi Cina bagi silat dikenali sebagai kuntao.

Pada umumnya perkataan Silat atau Gayung biasa digunakan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Silek dan Gayuang di Sumatra, Penca dan Maempok di Jawa Barat, Pencak di Jawa Timur dan Jawa Tengah, Mancak di Madura dan Bawean, Encak di Bali, Mpaa Sila di Dompu dan Nusa Tenggara Barat, Bermancek di Bulungan dan Kalimantan, memencak di Bugis dan Sulawesi, Akmencak di Sulu dan Sulawesi, Basilat dan Kali di Mindanau. 

Sejarah
Silat tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak abad ke-7 M, tetapi asal-usulnya masih lagi tidak pasti. Meskipun, silat telah diakui sebagai seni Melayu asli. Orang Melayu yang telah menetap di bandar-bandar pantai pulau Sumatera dan Semenanjung Melayu, dari Aceh di utara ke Kelantan, Kedah dan Kepulauan Riau di selatan, dan Pattani di utara adalah orang yang mengamalkan silat. Perhubungan dengan kumpulan suku kaum lain di bandar-bandar pantai telah juga mempengaruhi bentuk silat. Adanya bukti bahawa budaya China dan India telah mempengaruhi gaya-gaya seni mempertahankan diri itu. Apabila Islam disebarkan sepanjang nusantara abad ke-14, ia diajar di samping dengan silat. Selain seni bertarung dan tarian budaya rakyat, silat kemudian menjadi suatu latihan rohaniah.

Silat telah diperhaluskan ke ciri keistimewaan sultan, panglima dan pendekar sewaktu empayar Kesultanan Melaka, Majapahit dan Srivijaya. Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang Semenanjung Melayu, Jawa, Bali, Sulawesi dan Borneo. Orang Melayu, terutamanya di semenanjung Melayu, menganggap cerita legenda Hang Tuah pada abad keempat belas sebagai bapa silat.

Silat berkongsi sejarah yang sama di Malaysia (termasuk Singapura ketika itu), Brunei dan Indonesia sewaktu era penjajahan sebagai suatu wadah untuk membebaskan diri daripada kekuasaan penjajah. Sewaktu era pasca penjajahan, silat telah menikmati populariti dan nama yang tinggi oleh kerana jasa-jasa pendekar yang telah memimpin perjuangan dan mengorbankan nyawa untuk kemerdekaan.

Kegunaan daerah
Di Indonesia, pencak silat telah dipilih pada 1948 sebagai suatu istilah kesatuan untuk seni pertahan diri mereka. Ia adalah suatu kata majmuk dari dua istilah yang umumnya digunakan untuk seni pertahan diri di Indonesia. Pencak adalah istilah yang digunakan di Jawa tengah dan timur, sementara silat digunakan di Sumatera. Dalam kegunaan moden, pencak dan silat dilihat sebagai dua aspek pada amalan yang sama. Pencak adalah aspek persembahan pada seni pertahan diri, sedangkan silat adalah inti perkelahian dan seni pertahan diri.

Di Bali, dengan suatu penduduk (94%) Hindu, silat adalah suatu kuasa kesatuan dalam setiap daerah dan hampir setiap kampung. Arahan rasmi mengambil tempat setiap pagi dan petang oleh satu dari dua pertubuhan: Bakti Negara dan Kertha Wisesa.

Di Malaysia, silat adalah suatu istilah yang digunakan sebagai istilah payung untuk semua seni pertahan diri Melayu. Contoh-contoh pada gaya-gaya silat di Malaysia adalah Silat Cakar Harimau, Silat Gayung Zahir 9, Silat Pancasila, silat gayong maarifat, Silat Keris Lok Sembilan, Silat Gayung Pusaka, Silat Seni Gayong dan Silat Lian Padukan. 1 dalam 5 orang Melayu di Malaysia mengamalkan silat.

Di Malaysia, Perguruan Silat diberi nama mengikut masyarakat seperti Silat Minangkabau, Silat Bugis, Silat Jawa dan Silat Kerinci. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut daerah seperti Silat Gayong Fatani, Silat Gayungman Kedah, Silat Buah Pukul Mersing dan Silat Pukulan Melaka. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut tokoh seperti Silat Hang Tuah, Silat Cekak Ustaz Hanafi, Silat Mat Kilau dan Silat Sendeng Hj Hamid. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut motif gerak dan semanagat haiwan seperti Silat Rajawali, Silat Penyu, Silat Siamang Laut dan Silat Harimau. 


Perkembangan
Selepas merdeka (1957) terdapat ratusan aliran Perguruan Silat di Malaysia. Pemerintah di Malaysia telah mengarahkan pengamal silat mewujudkan persatuan silat dan didaftarkan atas tujuan untuk membina, meyusun dan pengurusan silat yang lebih baik. Sarana tersebut disambut baik, maka beberapa kumpulan silat telah didaftarkan. Di sinilah bermulanya wujud pelbagai nama alairan penguruan silat kerana setiap pendaftar mestilah mempunyai nama kumpulan masing-masing.

Pada tahun 1978 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu berusaha untuk mewujudkan satu badan atau gabungan peringkat negara yang boleh membangunkan silat secara lebih berkesan, maka wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia (1983). Kemudiannya ditukar kepada nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia atau PESAKA Malaysia, dan lulus pendaftarannya pada 1986. Pesaka malaysia telah dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri Pesaka Malaysia iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia. Lain-lain perguruan silat menjadi anggota PESAKA Negeri yang diwujudkan di setiap negeri di Malaysia. Bermakna seluruh silat telah bersatu di bawah PESAKA Malaysia.

Pada 11hb Mac, 1980, Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) telah rasmi ditubuhkan sebagai badan induk silat di peringkat antarabangsa dan Jakarta, Indonesia menjadi ibupejabat PERSILAT. Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura telah diiktiraf sebagai anggota pendiri PERSILAT. Badan induk kebangsaan untuk silat dikenali sebagai Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) di Indonesia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) di Malaysia, Persekutuan Silat Brunei (PERSIB) di Brunei dan Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) di Singapura.

Pencak Silat telah diiktiraf sebagai Seni Bela Diri Asli bangsa Indonesia. Manakala di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf bahawa Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan dibawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang dianjurkan pada 3hb hingga 4hb Disember 2006.

Pada 23hb hingga 24hb September, 1979, ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang adalah secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara.

Wayang Kulit Kelantan
Wayang Kulit Siam (atau Wayang Kulit Kelantan) ialah sejenis kesenian wayang kulit yang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Ia merupakan salah satu dari empat jenis persembahan wayang kulit yang terdapat di Malaysia. Wayang Kulit Siam telah dikenal pasti sebagai jenis persembahan wayang kulit yang tertua di Malaysia. Selain itu, jenis wayang kulit ini juga adalah yang paling terkenal dan terpenting di Malaysia sejak dari zaman dahulu hingga kini.

Suatu ketika dahulu, kesenian Wayang Kulit Siam pernah mendapat sambutan hangat di kalangan orang-orang Melayu sehingga pengaruhnya telah tersebar dari Kelantan ke negeri-negeri jiran seperti Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak. Selain itu, kesenian ini juga pernah bertapak kukuh di empat buah wilayah di kawasan Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla, yang dahulunya merupakan bekas wilayah Kesultanan Melayu Patani.

Etimologi
Gelaran 'Siam' yang diberikan kepada kesenian wayang kulit ini adalah dipercayai merujuk kepada negara Siam (kini Thailand). Sejarah teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dipercayai telah dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Maka dari situlah, kesenian ini diberi nama Wayang Kulit Siam.

Selain itu, kesenian Wayang Kulit Siam juga dikenali sebagai Wayang Kulit Kelantan kerana sejarah asal-usul wayang kulit itu sendiri bermula di Kelantan. Masyarakat Melayu Patani di selatan Thailand pula menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' kerana kesenian ini telah dibawa masuk ke negeri Patani dari Kelantan. Di Pahang pula, kesenian ini lebih dikenali sebagai 'Wayang Pahang' yang dipersembahkan oleh orang-orang Melayu Kelantan yang berhijrah ke negeri tersebut.
 
Asal-usul Wayang Kulit Siam
Sejarah mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam masih kabur dan kurang jelas hingga ke hari ini. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi mencari bukti mengenai asal-usul kesenian ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori yang telah diutarakan oleh para pengkaji mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:-

  • Wayang Kulit Siam berasal dari Thailand
Satu teori menyebut tentang Wayang Kulit Siam yang dikatakan berasal dari Thailand. Terdapat beberapa bukti yang menyokong teori ini. Di antaranya ialah nama wayang kulit itu sendiri iaitu 'Siam', ialah nama lama bagi negara Thailand. Selain itu, penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam seperti pengucapan Mantera Maharisi oleh dalang juga menyokong teori tersebut.

Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati bahawa teknik pedalangan Wayang Kulit Siam sebenarnya berasal dari Kemboja dan telah dibawa masuk ke Kelantan melalui Siam (Thailand). Dengan ini, penggunaan nama 'Wayang Kulit Siam' itu sebenarnya menjelaskan tentang teknik pedalangan kesenian tersebut yang dibawa masuk dari Siam. Penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam pula hanyalah sekadar pengaruh budaya yang biasa sahaja.

  • Wayang Kulit Siam berasal dari Patani
Teori lain menyebut Wayang Kulit Siam berasal dari Patani, bekas negeri kesultanan Melayu di selatan Thailand. Wayang Kulit Siam dikatakan telah berkembang dari Patani ke Kelantan ketika zaman dimana Kelantan masih berada dibawah pengaruh Kesultanan Patani. Selain itu, bentuk dan corak pakaian pada patung Seri Rama dikatakan ditiru daripada pakaian asal Raja-raja Melayu Patani pada zaman silam.
Namun begitu, para pengkaji mendapati bahawa kesenian Wayang Kulit Siam bukan berasal dari Patani, tetapi dari Kelantan. Kesenian ini dipercayai telah berkembang ke Patani ketika zaman dimana Kelantan berada di bawah pengaruh Kesultanan Patani. Dipercayai semua penggiat kesenian Wayang Kulit Siam yang hidup pada zaman tersebut telah mereka bentuk dan corak pakaian pada patung Seri Rama menyerupai pakaian asal Raja-raja Melayu Patani pada zaman silam.
  • Wayang Kulit Siam berasal dari Kelantan
Satu lagi teori mengatakan teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Namun begitu, hasil kajian mendapati bahawa bentuk persembahan Wayang Kulit Siam yang wujud pada hari ini adalah berasal dari Kelantan. Oleh itu, sejarah Wayang Kulit Siam bolehlah dianggap bermula di Kelantan.
Ini terbukti apabila sumber-sumber sejarah menyebut Wayang Kulit Siam yang pernah berkembang di negeri Terengganu, Patani, Pahang, Perak dan Kedah adalah dibawa masuk dari Kelantan. Tambahan pula, orang-orang Melayu Patani menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' di negeri mereka. Selain itu, persembahan Wayang Kulit Siam juga sentiasa disampaikan dalam Bahasa Melayu Kelantan tidak kira di negeri mana sekalipun ianya dipersembahan. Teori ini adalah yang paling popular dan diterima banyak pihak memandangkan terdapat banyak bukti yang ditemui bagi menyokong teori ini.
Wayang Kulit Siam Kini
Pada hari ini, Wayang Kulit Siam hanya boleh ditemui di negeri asalnya iaitu Kelantan dan juga di Terengganu. Persembahan Wayang Kulit Siam dianggap sebagai salah satu seni kebudayaan yang terpenting di negeri Kelantan. Selain itu, kesenian ini juga boleh ditonton di beberapa buah universiti seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dimana Wayang Kulit Siam telah diajar secara teori dan praktikal kepada para pelajar yang mengambil bidang tertentu. Sementara itu, persembahan Wayang Kulit Siam di negeri Pahang, Kedah, Perak dan Patani telah pun berkubur. 

Tokoh Wayang Kulit Siam
Oye Hock Seng - satu-satunya dalang Wayang Kulit Siam yang berketurunan Peranakan Cina Kelantan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...