Tuesday, May 31, 2011

Akibat Berjuang Bukan Kerana Allah

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."
Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."

"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."

Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."

Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.

Thursday, May 26, 2011

Henti Bantu Operasi Imigresen. Apa Alasan Sebenar RELA?

PENULIS dapat khabar berita mengatakan pihak RELA telah ambil keputusan untuk menghentikan bantuan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi-operasi membenteras Pendatang Tanpa Izin (PATI) sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Kalau nak diikutkan sebenarnya, pegawai-pegawai Jabatan Imigresen sendiri ramai yang tidak berapa setuju operasi disertai oleh pihak RELA. Alasannya ialah banyak kali berlaku dalam operasi Jabatan Imigresen yang dibantu oleh RELA ni, selalunya yang timbulkan masalah adalah anggota RELA tapi biasalah, orang awam ni dia hanya nampak operasi tu adalah operasi Imigresen, jadi pihak Imigresenlah yang kena getahnya.

Lagi satu, kebiasaannya anggota RELA ni lebih sudu dari kuah. Ramai yang tak ikut arahan dan perancangan yang diatur. Jadi bila dah jadi macam tu, operasi yang sepatutnya berjalan dengan lancar akan jadi kelam kabut. Di samping itu juga, banyak juga berlaku kejadian operasi yang disertai oleh RELA ini bocor awal-awal lagi. Jadi bila anggota operasi sampai ke target, PATI semua dah hilang.

Jadi penulis rasa bagi pihak Jabatan Imigresen, keengganan RELA menghulurkan bantuan anggota dan kenderaan dalam operasi bukanlah satu masalah besar. Cuma penulis agak ragu sedikit apa sebenarnya sebab mengapa pihak RELA enggan beri bantuan kepada Imigresen. Dalam benak fikiran penulis, apakah ianya ada kaitan dengan pendedahan Pakatan Rakyat mengenai cubaan pemerintah untuk menjadikan PATI ni sebagai pengundi? Penulis terfikir, Kerajaan tak boleh nak sekat Jabatan Imigresen dari menjalankan operasi benteras PATI sebab itu dah memang tugas hakiki Jabatan Imigresen. Cuma 'MUNGKIN' kerajaan boleh hadkan operasi Imigresen memandangkan operasi Imigresen sukar dilaksanakan secara kerap dan besar-besaran kerana kekurangan anggota. Jadi, jika apa yang penulis fikir ini adalah benar, maka pemerintah boleh mengurangkan jumlah PATI yang ditangkap dan ramai PATI yang tak ditangkap oleh pihak Imigresen boleh digunakan sebagai pengundi.

Satu lagi persoalan yang bermain di fikiran penulis, apakah RELA tidak melakukan operasi sendiri dalam menangkap PATI? Kalau pihak RELA buat operasi, dimana RELA nak humban semua PATI yang ditangkap tersebut? RELA tak ada kuasa menyiasat dan mendakwa PATI. Kalau tak siasat dan dakwa, ke mana akan di simpan semua PATI yang ditangkap oleh RELA? Nak diusir ke negara asalpun, RELA tak ada kuasa dari segi perundangan.

Sekiranya apa yang penulis fikirkan ini benar, maka tidak peliklah bila ada dakwaan mengatakan RELA ni dijadikan sebagai alat pemerintah untuk mengekalkan kuasa. Sebab sekarang ni, kerajaan sedang berusaha untuk menambahkan keanggotaan RELA. Bila dah ramai anggota RELA, takkan semuanya nak duduk goyang kaki dan bontot saja. Sudah tentu ada kegunaannya buat kerajaan.

Apapun, ini cuma andaian penulis sahaja. Terpulanglah kepada penerimaan masing-masing. Wallahuaklam....

Wednesday, May 25, 2011

Berhati-Hati Buat Kenyataan


HARIAN Metro Rabu, 25 Mei 2011 melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengakui tidak melakukan pemantauan di lokasi kejadian tanah runtuh yang telah mengorbankan 16 nyawa di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Sabtu lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu memberikan alasan, kawasan tersebut adalah di luar bidang kawalan dan operasi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebaliknya terletak di kawasan luar bandar sekaligus berada di bawah tanggungjawab Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah (KLBW). Selain itu beliau turut mendakwa rumah anak yatim itu juga dibina tanpa membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sehingga berlakunya perlanggaran syarat-syarat pembinaan di kawasan cerun yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.


Sepatutnya Ronnie Liu tidak membuat kenyataan tersebut kerana pada pandangan penulis, alasan yang diberikan oleh Ronnie adalah amat janggal bunyinya. Beliau mengatakan kawasan tersebut bukan terletak di bawah kawalan MPKj. Kalau bukan terletak di bawah MPKj, untuk apa pula perlunya buat permohonan pembinaan kepada PBT berkenaan. Sekiranya alasan Ronnie Liu diterima pakai maka seharusnya permohonan dibuat kepada KLBW.

Pada pandangan penulis, sepatutnya Ronnie Liu tidak mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak yang terlibat dengan bencana alam tersebut. Seharusnya jika benar kesalahan atau kesilapan berlaku di pihak rumah anak yatim, dalam keadaan sekarang, beliau perlu memberi teguran secara tertutup bukannya melalui media. Tindakan beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut melalui media adalah suatu tindakan yang tidak manis memandangkan, pihak rumah anak yatim masih lagi berada di dalam keadaan terkejut dan bersedih dengan kejadian yang sama sekali tidak pernah mereka duga.

Sepatutnya dalam keadaan sekarang, pihak Ronnie Liu perlu memberikan kata-kata semangat buat mangsa yang terlibat bukannya menambahkan lagi kedukaan yang ditanggung oleh mangsa. Cukup-cukuplah Shahrizat Jalil dan Umno sahaja yang menyalahkan mangsa. Jangan pula ada individu di pihak Pakatan Rakyat pula yang sama naik dengan Umno. 

Penulis berpandangan, Ronnie Liu sepatutnya berhenti membuat kenyataan-kenyataan yang boleh memberikan mata percuma buat pihak Barisan Nasional kerana dari pemerhatian penulis, sudah banyak kali Ronnie Liu membuat kenyataan yang boleh merugikan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang memerintah Selangor.

Penulis berharap agar selepas ini, tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba untuk menyalahkan pihak yang sedang berhadapan dengan kedukaan. Sepatutnya dalam keadaan seperti sekarang ini, kita perlu sama-sama memberikan bantuan yang sepatutnya kepada mangsa tidak kiralah Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat.

Sunday, May 22, 2011

Iktibar Dari Bencana Yang Menimpa

TANGGAL 21 Mei 2011, satu lagi tragedi menyayat hati bakal menjadi sejarah negara kita. Tragedi tersebut adalah kejadian runtuhan tanah bukit yang mengakibatkan seramai 25 orang anak yatim dan petugas rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Felcra Semungkis Hulu Langat, Selangor tertimbus di dalam runtuhan tersebut. Akibat kejadian yang sama sekali tidak diduga itu, seramai 16 orang dari mangsa telah terkorban manakala 9 orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan. Ucapan takziah buat mangsa dan keluarga yang terbabit dengan tragedi tersebut dan juga ucapan terima kasih buat anggota penyelamat dan sukarelawan yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat.

Sebenarnya, dalam benak fikiran penulis sejak dari semalam ingin menulis berkenaan satu kejadian atau tragedi besar pada tahun 2004. Namun penulis tangguhkan dulu untuk mengikuti perkembangan tragedi yang menimpa anak-anak yatim Al-Taqwa. Tragedi besar yang penulis maksudkan adalah tragedi Tsunami yang turut melibatkan negara kita sendiri. Namun begitu, penulis akan membicarakan tentang Tsunami yang melanda wilayah Banda Acheh, Indonesia kerana penulis rasa ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan dan boleh dijadikan iktibar buat kita yang selalu lupa akan keEsaan Allah SWT. Dan apa yang penulis hendak kongsikan ini, tidak ada kaitan langsung dengan apa yang berlaku kepada penghuni rumah Anak Yatim At-Taqwa.

Tsunami yang melanda sehari selepas sambutan hari perayaan Krismas iaitu berlaku pada 26 Disember 2004 memang suatu yang tidak pernah dijangka akan berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan negara kita sendiri. Dilaporkan ombak Tsunami yang melanda Banda Acheh adalah setinggi 60 kaki (18 meter) dan kemusnahan yang terhasil dari bencana tersebut adalah sejauh lingkungan 5 batu (8 kilometer). Ekoran dari bencana tersebut dilaporkan bahawa lebih dari 226,000 orang penduduk Acheh telah terkorban. Dan kita dapat melihat sendiri kemusnahan yang berlaku akibat dari bencana tersebut apabila Banda Acheh seolah-olah menjadi padang jarak padang terkukur selepas bencana tersebut.

Namun begitu apa yang menariknya dan penulis kira, kita perlu mengambil iktibar adalah dalam kejadian yang memusnahkan semua rumah kediaman, harta benda serta haiwan ternakan, hanya sebuah sahaja binaan yang tidak musnah. Binaan tersebut adalah Masjid Baiturrahman yang hanya mengalami sedikit kerosakan kecil sahaja. Jika dilihat dari kemusnahan yang dialami akibat dari bencana Tsunami tersebut, adalah suatu yang menghairankan apabila masjid tersebut tidak musnah kerana semua rumah dan binaan di sekeliling masjid tersebut musnah sama sekali. Namun bagi umat Islam yang meyakini akan keEsaan Allah SWT, semua itu adalah tidak mustahil baginya. Dan itulah tanda-tanda Maha Besarnya Allah SWT.

Dari cerita yang penulis dengar, sewaktu kejadian Tsunami melanda Banda Acheh, ada saksi yang melihat sewaktu ombak Tsunami yang begitu ganas membaham apa sahaja yang melintang dihadapannya tetapi apabila ombak tersebut tiba di Masjid Baiturrahman, ombak yang sedang mengganas tersebut, secara tiba-tiba seolah-olah tunduk sujud dan kembali menjadi ganas apabila melepasi masjid tersebut. Subhanallah, Maha Suci Allah.

Apabila reda gelombang Tsunami tersebut, didapati mayat-mayat manusia bergelimpangan di merata-rata tempat. Kalau nak difikirkan akibat dari bencana tersebut, sudah tentu mayat-mayat mangsa akan berada dalam keadaan yang tidak sempurna dan mengerikan. Namun begitu dari apa yang penulis dengar, tidak semua mayat berkeadaan tidak sempurna dan mengerikan. Ada mayat atau jenazah yang ditemui dalam keadaan yang masih elok dan sempurna dan dari apa yang dikhabarkan oleh penduduk yang terselamat, mayat atau jenazah yang masih elok dan sempurna dikenalpasti penduduk setempat sebagai orang yang beriman.

Ada orang berkata, sesuatu musibah yang berlaku mesti ada puncanya. Begitulah juga musibah yang menimpa Banda Acheh ini. Penulis dikhabarkan sehari sebelum kejadian iaitu pada hari sambutan hari Krismas pada 25 Disember 2004 ada sekumpulan penduduk setempat melakukan perbuatan maksiat. Penulis tidak pasti apakah perbuatan maksiat tersebut. Tetapi apa yang pastinya perlakuan kumpulan penduduk tersebut amat tidak disenangi oleh penduduk yang lain. Perbuatan maksiat yang dilakukan tersebut apabila ditegur oleh ulama setempat telah menjadi kemarahan pula oleh kumpulan penduduk yang melakukan maksiat tersebut dan akibatnya ulama yang memberikan teguran tersebut pula yang dihina dan dimaki hamun.

Dari apa yang penulis sampaikan diharapkan dapatlah dikongsikan sebagai iktibar dan pengajaran buat kita semua. Tidak mustahil, apa yang berlaku di Banda Acheh ini boleh berlaku juga kepada kita. Kalau tidak dalam bentuk yang sama, mungkin musibah dalam bentuk yang lain pula. Ingatlah semua, jika kita melakukan kebaikan dan amal ibadah, maka kita akan mendapat redha dari Allah SWT dan sekiranya kita melakukan kemaksiatan dan penghinaan dan penderhakaan terhadap Allah SWT, maka nantikanlah sahaja balasan azab seksa dari Allah SWT.

Saturday, May 21, 2011

Rakyat Bakal Menerima Kenaikan Harga Berganda

PENULIS baru sahaja menerima makluman dari seorang rakan yang sekarang berkhidmat di Petronas Carigali bahawa petrol RON95 yang sekarang ini berharga RM1.90 seliter akan dinaikkan harga sekurang-kurangnya 20 sen seliter dalam masa terdekat. Penulis tak berapa pasti akan kesahihan makluman tersebut, tapi hati penulis lebih terarah untuk mempercayai apa yang rakan penulis tersebut beritahu. 

Sebenarnya, penulis dah terdengar khabar-khabar angin mengatakan bahawa RON95 akan dinaikkan harga antara 10 sen hingga 30 sen tapi yelah memandangkan tidak ada pengumuman dan pihak yang berkaitan juga dok asyik menafikan sahaja, maka penulis mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar SMS kepada rakan penulis dan beliau mengiakan bahawa RON95 akan naik harga bila-bila masa sahaja dan beliau tak dapat nak pastikan bila dan berapa kadar tepat kenaikan harga bahan bakar tersebut. 

Sekiranya benar RON95 bakal naik harga, ini bermakna rakyat akan menerima hadiah kenaikan harga berganda kerana pada 25 Mei nanti, kerajaan dijangka akan mengumumkan tarif baru elektrik. Dan ini juga bermakna, kerajaan benar-benar mengaplikasikan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Ya! memang benar rakyat yang didahulukan dalam memikul beban dan pencapaian kekayaan pemimpin UMNO diutamakan.

Tahniah! penulis ucapkan buat rakyat yang masih lagi memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pemimpin UMNO/BN ini. Tahniah kerana anda benar-benar menyokong penipuan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO/BN. Dan tahniah juga buat pemimpin-pemimpin UMNO/BN kerana kalian masih lagi berjaya memperbodoh-bodohkan rakyat yang masih lagi tetap memeberikan kepercayaan kepada kalian walaupun kalian telah berkali-kali membohongi meraka. Tahniah sekali lagi.

Wednesday, May 18, 2011

Lawak Jenaka Shahrizat

Ada gerakan pindah pengundi Melayu - Shahrizat

MELAKA 17 Mei - Wanita UMNO hari ini mendedahkan terdapatnya usaha pihak tertentu mengubah daftar pengundi khususnya dari kawasan Parlimen yang majoritinya Melayu ke Parlimen lain tanpa pengetahuan atau kebenaran pengundi. 

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima banyak laporan mengenai perkara itu yang melanda beberapa kawasan Parlimen termasuk di negeri ini.

Menurutnya, keadaan itu bertujuan mengurangkan dominasi atau majoriti pengundi Melayu di kawasan Parlimen oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Semakin banyak kita menerima maklumat seperti ini daripada Wanita Bahagian di beberapa Parlimen yang mengesan perkara ini ketika membuat pemeriksaan daftar pengundi dan mendapati pengundi sendiri tidak tahu tempat pengundian mereka diubah ke Parlimen lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka di sini hari ini.

Menurut Shahrizat, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengenal pasti punca berlakunya pemindahan daftar pengundi Melayu ke kawasan Parlimen lain tanpa pengetahuan pengundi.

Kata beliau, Wanita UMNO akan menyediakan laporan khas mengenai perkara itu selepas mendapat maklum balas daripada semua peringkat Bahagian sebelum mengemukakannya kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Wanita UMNO mahu kumpulan individu ini dikenal pasti dan siapakah yang bertanggungjawab melakukannya kerana ia satu perbuatan tidak bertanggungjawab kerana mengubah pengundi dari Parlimen ke satu Parlimen lain tanpa kebenaran pengundi," kata beliau.

Sementara itu, Shahrizat meminta setiap Wanita Bahagian menggerakkan program kerja menerusi Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang bagi mendapatkan sokongan rakyat bagi melengkapkan persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti.

"Saya minta Wanita keluar dari zon selesa di kawasan masing-masing dan mendampingi rakyat seperti pertubuhan bukan kerajaan, orang yang berpengaruh dan mereka yang memerlukan bantuan," katanya.   Sumber:- Utusan Online http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm 
Lawak jenaka apa yang dibuat oleh Shahrizat ni? Adakah Shahrizat nak katakan bahawa gerakan memindahkan pengundi dilakukan oleh Pakatan Rakyat? Penulis nak ingatkan bahawa hanya satu pihak sahaja yang boleh dan mampu untuk membuat pemindahan pengundi. Pihak tersebut bukannya Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya iaitu kerajaan pusat sahaja yang mampu. Kita nak ingatkan bahawa sebarang proses pemindahan hanya boleh dilakukan oleh SPR dan yang menguasai SPR adalah kerajaan pusat bukannya Pakatan Rakyat. Hanya SPR sahaja yang mempunyai akses ke atas data atau maklumat pengundi dan yang mempunyai kuasa dan menguasai SPR adalah kerajaan pusat.

Shahrizat tidak perlu untuk cuba memesongkan pemikiran rakyat dengan dakwaan mengatakan Pakatan Rakyat cuba untuk melakukan pemindahan tanpa pengetahuan pengundi. Dan sekiranya dakwaan Shahrizat yang mengatakan ada gerakan tersebut, semestinya ia dilakukan oleh UMNO/BN sendiri yang menguasai kerajaan pusat. Dan kita juga nak ingatkan kepada Shahrizat, jangan cuba untuk memperbodoh-bodohkan rakyat kerana rakyat sekarang sudah bijak untuk menilai setiap apa yang dilakukan oleh UMNO/BN.

Berita Baik Buat Peminat Sukan di Kelantan


KOTA BHARU, 18 Mei: Kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukt Merbau, Pasir Puteh.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

"Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini."
"Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh," kata beliau.

Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium. Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya. Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.

"Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah," katanya. Sumber:- Harakah Daily

Dengan pengumuman yang telah dibuat itu, penulis berharap agar semua peminat sukan di Kelantan terutamanya penyokong pasukan bolasepak The Red Warriors dapat melihat kesungguhan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membantu perkembangan sukan di Negeri Kelantan. Diharap selepas ini, tidak akan ada lagi suara-suara sumbang berbunyi mengatakan Kerajaan Negeri Kelantan tidak mengambil berat terhadap perkembangan sukan di Negeri Kelantan. Penulis juga dengan ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan tahniah kepada pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang di ketuai oleh Menteri Besar Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan di naungi oleh Al-Sultan, Tuanku Sultan Muhammad Ke V.

Che Det Masuk IJN Lagi

MANTAN Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan dimasukkan ke wad biasa IJN jam 6 pagi tadi. (Sumber:- Berita Harian Online http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DrMahathirdimasukkankeIJN/Article)

Komen penulis: Tun dah tua dah tu. Bawak-bawaklah beramal ibadah sebagai bekalan di hari akhirat sebelum terlewat.

Tuesday, May 17, 2011

Lagi Insiden Melibatkan Anggota RELA

DALAM entri saya sebelum ini yang bertajuk 'RELA: Kerajaan Perlu Buat Tapisan Keselamatan Yang Ketat', saya ada nyatakan antara kesalahan yang sering dilakukan oleh anggota RELA adalah berkaitan dengan masalah penagihan dadah. (Sila rujuk link:- http://nasronhashim.blogspot.com/2011/05/rela-kerajaan-perlu-buat-tapisan.html?spref=fb

Entri tersebut adalah berkaitan penglibatan sebahagian anggota RELA dalam gejala rempit yang menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang kanak-kanak yang tidak berdosa di Kuala Terengganu, hari ini Selasa 17 Mei 2011 beberapa buah akhbar tempatan pula telah melaporkan seorang lelaki yang juga merupakan seorang anggota RELA telah ditangkap oleh pihak berkuasa di Klang, Selangor kerana disyaki menjadi pengedar dadah. Dalam laporan tersebut menyatakan anggota RELA tersebut ditangkap di dalam sebuah van sekolah yang digunakan untuk mengangkut kanak-kanak pra sekolah dan hasil pemeriksaan yang dilakukan dadah telah dijumpai di bawah pelapik kaki pemandu. Hasil ujian air kencing juga mendapati anggota RELA tersebut positif dadah. (Sumber:- My Metro http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gunavansekolahedardadah/Article/index_html)

Insiden-insiden yang melibatkan anggota RELA ini menuntut kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan suatu tindakan bagi memastikan keselamatan negara dan rakyat tidak di pertanggungjawabkan kepada pihak yang tidak mempunyai kelayakan. Kerajaan sebelum ini dikatakan berura-ura untuk menjadikan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) sebagai sebuah jabatan kerajaan. Dengan insiden-insiden yang memalukan ini, saya rasa kerajaan patut untuk mengkaji balik cadangan tersebut dan tidak meletakkan keselamatan negara dan rakyat di tangan pihak yang tidak mempunyai kelayakan.

Monday, May 16, 2011

Di Pondok Kecil




Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih
Beralun alun

Di suatu hari
Ayah berkata
Jaga adikmu
Ayahkan pergi jauh
Kupandang wajah ayah
Dahinya kucium
Air mata mengalir
Hatiku pilu

Diam-diamlah sayang
Jangan menangis
Doakan ayah
Semoga sejahtera
Diam adikku sayang
Jangan menangis
Walaupun ayah gugur
Pastinya dia syahid

Wahai abangku
Kemana ayah
Kusayang ayah
Kucinta ayah

Duhai adikku sayang
Jangan bersedih
Ayahmu pergi
Menyambut seruan Ilahi
Tapi ingatlah adikku
Pesanan ayah
Belajar berusaha
Walau dimana jua

Pada-Mu Tuhan
Aku bermohon
Dosa ayahku
Minta diampunkan
Kuiringi doa
Rahmati dia
Tempatkanlah ayahku
Bersama kekasih-Mu

RELA: Kerajaan Perlu Buat Tapisan Keselamatan Yang Lebih Ketat

KUALA TERENGGANU- Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, di sini nyaris maut setelah dirempuh oleh seorang anggota RELA yang cuba meloloskan diri daripada sekatan polis dalam satu kejadian di Kampung Seberang Baruh, kelmarin.

Mangsa, Ahmad Fakri Azni, 10, yang dirempuh dari belakang mengalami kecederaan patah tulang belakang, retak tempurung kepala dan menerima sebanyak tujuh jahitan di kepala serta luka di bahagian badan dan tangan.

Ketua Jabatan Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah, Asisten Superintenden Khazahari Che Mat berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, mangsa yang menunggang basikal dipercayai dirempuh oleh anggota RELA itu yang gagal mengawal motosikalnya dalam cubaan melarikan diri daripada sekatan yang dijalankan di Simpang Empat Kampung Tok Ku, di sini, kerana tidak memiliki lesen
memandu.


Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) adalah sebuah agensi yang diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu agensi-agensi kerajaan untuk menjaga keselamatan dan membantu masyarakat.  Tapi kenapa boleh berlaku ada anggota agensi tersebut melakukan kesalahan undang-undang sehingga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan masyarakat pula? Sepatutnya sebagai sebuah agensi yang diwar-warkan dan dicanang sebagai sebuah agensi pertahanan negara (kononnya) tidak ada anggota yang terlibat dengan gejala-gejala yang boleh mengancam keselamatan rakyat. Sepatutnya sebagai sebuah agensi yang diarahkan oleh kerajaan untuk membantu pihak berkuasa mengawal keselamatan negara, perkara-perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

Selama ini, RELA sering dilaporkan sebagai agensi yang sering membantu pihak polis dalam menangani masalah jenayah termasuklah menangani gejala merempit. Jadi sepatutnya tidak ada anggota RELA yang terlibat dengan gejala rempit. Tapi apa yang berlaku, ada anggota RELA sendiri terlibat dengan gejala rempit.

RELA juga sering dilaporkan sebagai agensi yang sering membantu pihak Jabatan Imigresen dalam menangani masalah kebanjiran pendatang asing di negara kita. Dan yang terbaru kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri, TERLEBIH memberi amanah kepada RELA untuk bersama Jabatan Imigresen mengawal tahanan warga asing di depot-depot tahanan pendatang asing di seluruh negara sehinggakan ada pula anggota RELA yang perasan sendiri mencanangkan kepada masyarakat kampung bahawa depot-depot tahanan adalah kepunyaan mereka. Mungkin bagi yang berpendidikan rendah bolehlah terpengaruh dengan omongan kosong anggota RELA ini, tapi bagi mereka yang berpelajaran tinggi dan mengetahui setakat mana bidang kuasa RELA ini tak mungkin akan terpengaruh.

Kenapa ini boleh berlaku? Kita lihat sekarang ini, kerajaan pusat begitu giat untuk menambahkan keanggotaan RELA. Rakyat negara kita, tanpa mengira kaum, jantina, umur digalakkan untuk menyertai RELA. Sehinggakan sering didapati berlakunya pendaftaran keanggotaan RELA dilakukan di pasar-pasar malam. Dan oleh kerana seolah-olah terlalu terdesak untuk meramaikan keanggotaan RELA, kesemua yang memohon diterima sebagai anggota RELA tanpa perlu melalui proses tapisan keselamatan yang ketat. Dalam erti kata lain, jika seorang penagih dadah atau penagih air ketum sekalipun yang memohon menjadi anggota RELA, pasti akan diterima tanpa banyak bicara.

Sepatutnya Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tapisan keselamatan yang ketat terhadap pemohon-pemohon keanggotaan RELA ini. Sebelum mereka diterima menjadi anggota RELA, latar belakang mereka perlu disiasat terlebih dahulu. Kita tidak mahu selepas ini, ada pula anggota RELA yang ditangkap kerana merompak, meragut dan bermacam-macam lagi kesalahan jenayah. Di samping itu juga, pemeriksaan mengejut perlu dilakukan ke atas anggota RELA agar tidak ada anggota yang didapati terlibat dengan penagihan dadah atau apa-apa bahan yang mengkhayalkan. Jangan pula nanti selepas ini berlaku orang yang diharap-harapkan untuk menjaga keselamatan rakyat menjadi duri dalam daging yang menjadi ancaman kepada keselamatan rakyat. Dan seandainya kerajaan tidak mampu untuk mengawal anggota-anggota RELA ini, adalah lebih baik dibubarkan sahaja Angkatan Relawan Rakyat Malaysia ini.

Saturday, May 14, 2011

Lagu Perpaduan Kembali Berkumandang

NAMPAKNYA, irama lagu perpaduan kembali didendangkan oleh UMNO bilamana Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pada satu sidang media sempena sambutan 65 tahun UMNO dilaporkan memberi cadangan kepada PAS agar menyertai Barisan Nasional untuk kebaikan bangsa Melayu dan rakyat negara ini secara menyeluruh. Menurut beliau lagi, perpecahan bangsa Melayu tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.


Apapun, terima kasih diucapkan buat Ahmad Maslan dan pemimpin UMNO yang terus mendendangkan tawaran perpaduan tersebut. Cuma sekarang, kami dalam PAS masih belum lagi bersedia untuk dipatuk oleh UMNO buat kali kedua dalam lubang yang sama. Kami masih lagi ingat dan terasa bilamana PAS ditendang keluar suatu ketika dahulu oleh UMNO sewaktu berada di dalam Perikatan.

Sepertimana dahulu, UMNO mengajak dan mempelawa PAS menyertai mereka bilamana UMNO menyedari UMNO telah hilang sokongan masyarakat melayu. UMNO sewaktu dipimpin oleh Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri telah mengajak PAS menyertai Perikatan bilamana menyedari UMNO tidak begitu mendapat sokongan masyarakat melayu manakala masyarakat cina dan india pada ketika itu tidak begitu memberikan sokongan kepada UMNO. Atas dasar perpaduan, PAS ketika itu telah menerima huluran tangan UMNO tanpa memikirkan niat sebenar UMNO dan ekoran itu, Perikatan telah mendapat sokongan sepenuhnya dari masyarakat melayu. Namun begitu, apabila UMNO telah mendapat sokongan kuat dari masyarakat melayu dan juga telah mula diterima oleh masyarakat yang lain, PAS telah ditendang keluar begitu sahaja. Bukan setakat ditendang keluar, UMNO yang ketika itu dipimpin oleh Tun Hussein Onn telah mengisytiharkan perintah darurat dan Mageran di Kelantan yang pada ketika itu diperintah oleh PAS dan akhirnya Kelantan berjaya ditawan oleh UMNO.

Kini, UMNO kembali cuba untuk mengajak PAS untuk menyertai BN atas alasan perpaduan melayu. Namun begitu, PAS sedar bahawa ajakan UMNO itu adalah kerana UMNO menyedari bahawa parti tersebut telah mula kehilangan sokongan dari masyarakat melayu dan juga masyarakat yang lain. Dalam keadaan ini, PAS meragui keikhlasan UMNO bilamana mengajak dan mempelawa PAS menyertai BN kerana PAS sedar adalah mustahil sama sekali UMNO akan mengajak PAS menyertai BN sekiranya UMNO itu sendiri masih mempunyai kekuatan sokongan.

Sebelum mengajak PAS menyertai BN, UMNO perlu memberikan penjelasan kepada rakyat kenapa sewaktu UMNO berada dalam keadaan selesa, PAS tidak diajak untuk menyertai BN. Sekiranya UMNO begitu ikhlas untuk menyatupadukan masyarakat melayu yang dikatakan sebagai berpecah oleh UMNO, kenapa UMNO menganiaya rakyat Kelantan yang majoritinya adalah orang melayu. Kenapa rakyat Kelantan dinafikan hak royalti petroleum. Umno juga perlu beri penjelasan kenapa mereka tidak mempertahankan kerajaan Kelantan bilamana MCA dan Gerakan menyerang dasar kerajaan negeri berkenaan isu judi dan banyak lagi penjelasan yang perlu diberikan oleh UMNO.

Adapun demikian, PAS menyedari bahawa UMNO sebenarnya tidak ikhlas dalam mengajak PAS menyertai BN. UMNO tidak mempertahankan kerajaan negeri Kelantan bilamana presiden MCA memberikan syarat sekiranya PAS ingin menyertai BN. Sekiranya UMNO benar-benar ikhlas mahukan perpaduan orang melayu, MCA sudah tentu diberikan amaran oleh UMNO.

Namun begitu, sepertimana yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS dan Tuan Guru Mursyidul Am PAS, perpaduan atas dasar perkauman sempit tidak akan berlaku antara PAS dan UMNO. PAS hanya sedia untuk bersatu atas dasar yang lebih besar iaitu atas dasar Islam bahkan PAS telah membuat penegasan bahawa PAS sedia untuk dibubarkan sekiranya UMNO mengambil Islam sepenuhnya sebagai asas perjuangan dan pemerintahan. Oleh yang demikian, terima kasih sajalah atas tawaran perpaduan yang dihulurkan.

Tengok Diri Sendiri Sebelum Nak Mengata Orang

Pengkhianat amanah rakyat Pasir Mas
AKHBAR Sinar Harian dalam ruangan nasional telah menyiarkan kenyataan presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang suka berdolak dalik. Dalam laporan akhbar tersebut yang bertajuk 'Anwar suka dolak-dalik: Ibrahim', pengkhianat rakyat Pasir Mas, Kelantan itu turut dilaporkan berkata beliau lebih mengenali Anwar sejak sama-sama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1974 yang beliau sifatkan sebagai suka memperleceh dan memperlekeh orang lain. Beliau juga mendakwa Anwar suka mengkritik, namun tidak boleh menerima teguran. Ibrahim dilaporkan sebagai mengulas berhubung penafian Anwar bahawa kata-kata kesat 'Pandey Kutti' bukan merujuk kepada Perdana Menteri, tetapi sesiapa yang terlibat dalam politik lucah.

Sumber:- Sinar Harian 12 Mei 2011 dan sinarharian.com http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story9077409.asp

Terpulang pada Ibrahim Ali untuk berkata apa saja yang beliau suka. Namun sebelum mengkritik orang lain dan mempersoalkan kewajaran orang lain yang mengeluarkan kata-kata kesat, Ibrahim perlu terlebih dahulu melihat diri beliau sendiri. Rakyat Malaysia sudah sememangnya mengenali siapa sebenarnya Ibrahim Ali. Rakyat Malaysia juga sudah masak benar dengan cara beliau bercakap dan berhujah tak kira dalam atau di luar dewan persidangan semasa berkempen. Rakyat Malaysia masih lagi belum lupa, semasa beliau berada di dalam persatuan pelajar bersama Anwar, apa yang tidak beliau maki dan hamun kerajaan. Rakyat juga belum lupa bila beliau menyertai UMNO, apa yang beliau tidak maki dan hamun pada PAS. Bila beliau menyertai Semangat 46, rakyat masih lagi ingat bilamana bermacam-macam kata kesat dan keji beliau lemparkan terhadap Tun Mahathir yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia. Dan sehingga kini, Ibrahim Ali masih lagi tidak dapat menghilangkan cara memaki menghamun musuh politik bila beliau bercakap.

Jadi, Ibrahim Ali sepatutnya tak perlu dan tak layak sebenarnya untuk menasihatkan orang lain terutamanya dalam soal memaki dan menghamun orang lain kerana pada hakikatnya beliaulah sebenarnya juara memaki dan menghamun pihak lawan. Memang tepat dan sesuai untuk menggambarkan diri Ibrahim Ali sendiri, peribahasa melayu  'Mengata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Dia Yang Lebih' dan 'Menepuk Air Di Dulang, Terpercik Ke Muka Sendiri'. Lu fikirlah sendiri.

Penghinaan Terhadap Kelantan: Di Manakah Tindakan Pihak Berkuasa?

SEJAK kebelakangan ini, beberapa tindakan berbentuk provokasi dan penghinaan terhadap Negeri Kelantan, sultan, pemimpin dan rakyatnya dikesan semakin berleluasa. Beberapa laporan polis telah dibuat berkenaan tindakan-tindakan keji tersebut. Namun tiada tindakan dari pihak berkuasa dilaporkan.

Sebelum ini, rakyat Kelantan pernah dikejutkan dengan penghinaan terhadap Al-Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke V melalui facebook rasmi PERKASA. Laporan polis telah dibuat oleh beberapa pihak berhubung penghinaan tersebut yang dipercayai dilakukan oleh penyokong PERKASA yang juga turut mengaku sebagai orang yang mempunyai kedudukan di dalam pertubuhan PEKIDA.

Baru-baru ini pula, dikesan juga melalui facebook seorang individu telah bertindak menghina Al-Sultan Kelantan dipercayai mempunyai kaitan dengan perlawanan bola sepak Liga Super antara pasukan Perak menentang pasukan Kelantan. Penghinaan yang turut mendapat bantahan keras dari rakyat Kelantan dan beberapa laporan polis juga telah dibuat ke atas individu berkenaan.

Terbaru, tindakan provokasi melampau yang dilakukan oleh penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan apabila penyokong pasukan berkenaan telah bertindak membakar bendera Negeri Kelantan selepas selesai perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan. Laporan polis juga telah dibuat atas insiden tersebut.

Ketiga-tiga insiden yang dinyatakan adalah sebahagian dari insiden provokasi dan penghinaan terhadap negeri, sultan, pemimpin dan rakyat Kelantan. Sekali lagi saya nyatakan di sini bahawa banyak laporan polis telah dibuat namun, saya sebagai rakyat Kelantan yang amat menyayangi negeri, sultan, pemimpin dan rakyat Kelantan merasa amat terkilan kerana semua laporan polis yang dibuat seolah-olah tiada tindakan susulan oleh pihak yang berwajib. Kenapa ini boleh berlaku? Apakah negeri kami, sultan kami, pemimpin kami dan kami sendiri tidak mempunyai harga dan maruah diri dalam negara Malaysia ini? Adakah semata-mata kerana negeri kami ini diperintah oleh sebuah parti yang bukan dari parti kerajaan pusat maka penghinaan ke atas kami perlu dibiarkan sahaja?

Kami sebagai rakyat Negeri Kelantan amat berharap supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang cuba mengaibkan negeri, sultan, pemimpin dan rakyat Kelantan. Jangan dibiarkan sahaja individu-individu yang melakukan kebiadapan tersebut terus bermaharajalela melakukan kebiadapan terhadap kami. Sebagai rakyat yang mempunyai maruah dan harga diri, kami menuntut agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang tegas ke atas pihak atau individu yang melakukan kebiadapan terhadap kami.

Kami juga amat berharap agar selepas ini, tiada lagi penghinaan yang terpaksa kami terima. Kami juga amat berharap agar semua laporan polis yang dibuat terhadap pihak yang melakukan provokasi melampau tidak dibakul sampahkan begitu saja. Wallahuaklam...

MB N9 Pertahan Penyokong Bakar Bendera Kelantan

HARIAN METRO Sabtu 14 Mei 2011 melaporkan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan insiden bakar bendera Kelantan selepas perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, N9 pada hari Selasa baru-baru ini. Menurut beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak N9 (PBNS), tindakan provokasi melampau daripada penyokong Kelantan mungkin menjadi punca segelintir individu membakar bendera Kelantan. 

Walaupun menyatakan rasa kesal atas insiden yang berlaku pada malam itu, Mohamad berkata penyokong N9 tidak bertindak apa-apa dan hanya duduk sahaja di dalam stadium, boleh jadi disebabkan provokasi melampau, menyebabkan ada tindakan yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Mohamad juga seolah-olah memberi amaran dan ugutan kepada pihak lain apabila berkata bahawa setiap perbuatan itu ada tindak balas, jadi untuk mengelakkan bendera dibakar, jangan pula membakar semangat orang.

Kenyataan Mohamad itu amatlah dikesali kerana tidak sepatutnya sebagai seorang Menteri Besar, beliau sanggup melukakan hati rakyat negeri lain. Beliau sepatutnya memberi nasihat kepada rakyat beliau dan juga penyokong pasukan bola sepak negeri beliau supaya tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang dan bukannya mengapi-apikan lagi semangat yang tidak membawa sebarang faedah. Mohamad sepatutnya mencontohi sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak pernah mengapi-apikan semangat penyokong Kelantan sebaliknya beliau sering memberikan nasihat yang berguna kepada penyokong dan rakyat Kelantan. Begitu juga dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan, Tan Seri Anuar Musa turut dilihat tidak pernah membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan penyokong pasukan lawan tetapi sebaliknya lebih banyak memberi nasihat kepada penyokong sendiri supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh merugikan persatuan.

Kenyataan Mohamad yang mengatakan penyokong N9 tidak melakukan apa-apa sebenarnya boleh dipertikaikan. Dapat dilihat pada perlawanan tersebut, penyokong-penyokong N9 turut melakukan provokasi terhadap penyokong pasukan Kelantan. Kita ingin bertanya, kenapa bendera Kelantan boleh berada di kawasan penyokong N9 dan siapa yang membawanya? Tidak mungkin, penyokong Kelantan yang meletakkan bendera tersebut di tempat penyokong N9. Kita juga ingin bertanya, apa tujuan bendera Kelantan di bawa masuk ke tempat penyokong N9? Rasionalnya dapat kita lihat, penyokong N9 yang membawa masuk bendera Kelantan ke kawasan mereka mempunyai niat yang tidak baik terhadap bendera Kelantan. Tidak mungkin penyokong N9 saja-saja membawa masuk bendera Kelantan tanpa sebarang niat yang tersembunyi.

Mohamad mengatakan kalau tak mahu orang bakar bendera, jangan bakar semangat orang lain. Saya nak tanya, bila penyokong N9 bakar bendera Kelantan bermakna penyokong N9 telah membakar semangat penyokong Kelantan, ada atau tidak, penyokong Kelantan yang bertindak balas dengan membakar bendera N9? Tidak ada bukan? Jadi yang dapat kita lihat disini sebenarnya, penyokong Kelantan sebenarnya lebih berdisiplin dan bertamadun dari penyokong N9 dan seharusnya, Mohamad sebagai seorang Menteri Besar sepatutnya membuat kenyataan yang lebih bijak dan tidak dipengaruhi oleh sentimen politik. Tak perlu MB N9 itu berpolitik dalam soal permainan sukan. Guna gelanggang yang sewajarnya untuk berpolitik bukannya berpolitik di gelanggang sukan.

Nasihat saya kepada penyokong-penyokong Kelantan agar dapat bersabar dan bertenang. Jangan kita ambil tindakan mengikut emosi. Kita serahkan kepada kebijaksanaan KAFA untuk menyatakan bantahan terhadap kebiadapan segelintir penyokong N9 itu.

Wednesday, May 11, 2011

Asal Harga Naik, Peringatan Dan Alasan Sama Yang Diberi Kerajaan

EKORAN kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram bermula 10 Mei 2011 menjadikan harga baru adalah sebanyak RM2.30, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memberi peringatan kepada peniaga-peniaga kecil agar tidak menaikkan harga makanan. Menurut Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Mahani Tan Abdullah kenaikan harga gula tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan memandangkan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram adalah minimum. Beliau turut mengatakan bahawa kenaikan tersebut tidak seharusnya membebankan pengguna dan mereka perlu melihat dari sudut positif bahawa pengurangan penggunaan gula dapat mencegah dari penyakit kencing manis. 
Sumber:- My Metro 

Itu adalah pandangan dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) yang semestinya bertujuan untuk mewajarkan tindakan kerajaan yang menaikkan harga gula. Namun begitu saya pula berpandangan, peringatan kementerian terhadap para peniaga terutamanya peniaga bahan makanan adalah suatu yang tidak masuk akal. Ini adalah kerana pada pandangan saya, para peniaga tidak mempunyai pilihan lain kerana sekiranya mereka tidak menaikkan harga makanan, kemungkinan besar para peniaga berstatus peniaga kecil ini akan mengalami kerugian. Ini adalah kerana perniagaan makanan, contohnya kuih muih dan gerai minuman bukannya satu perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan yang besar. Para peniaga kecil ini kebanyakannya berniaga hanyalah untuk mencari pendapatan bagi menampung keperluan hidup. Jika selama ini keuntungan yang biasa mereka perolehi contohnya RM50 sehari, selepas kenaikan harga gula ini, pastinya modal mereka untuk berniaga akan bertambah dan keuntungan mereka pula pastinya akan merosot mungkin hanya tinggal RM35 sehari. Itu untuk tahun ini. Tahun hadapan naik lagi 20 sen harga gula, lagi bertambah modal dan makin berkurang pula keuntungan jika mereka terus dihalang menaikkan harga makanan.

Adalah sesuatu yang aneh bila Timbalan Ketua Setiausaha KDNKK itu mengatakan kenaikan harga tersebut tidak seharusnya membebankan rakyat. Ini adalah kerana kenaikan harga tersebut sememangnya sesuatu yang membebankan rakyat. Beliau seharusnya berfikir dengan menggunakan akal bukannya menggunakan kepala lutut. Adakah beliau tidak sedar, selama ini bukan hanya harga gula yang mengalami kenaikan. Adakah beliau lupa, harga petrol juga turut dinaikkan oleh kerajaan dan saya percaya adalah tidak mustahil, harga barangan lain juga akan mengalami kenaikan harga sebagai contohnya minyak masak, tepung gandum, gas memasak dan lain-lain lagi. Adakah beliau masih boleh beranggapan itu masih tidak membebankan. Jika beliau tetap mahu mengatakan bahawa itu bukannya satu bebanan, memang sah beliau adalah pengampu dan pembodek kerajaan yang hebat. Beliau sepatutnya membuat penilaian yang lebih luas dan lebih jauh ke hadapan. Beliau juga seharusnya tidak membuat penilaian berdasarkan pada kemampuan ekonomi beliau sahaja tanpa mengambil kira kemampuan ekonomi orang lain.

Soal pengurangan penggunaan gula boleh mencegah penyakit seperti penyakit kencing manis itu memang tidak dapat untuk dinafikan. Tetapi bosan jugaklah kalau itu saja alasan yang diberi setiap kali harga gula naik. Kalau dua tiga tahun lepas kurang ambil gula atas alasan nak elak kencing manis, saya rasa lama-kelamaan orang minum air kopi 'O' letak gula sebijik dua saja. Peniaga kuih-muih pula buat kuih tawar untuk jualan dan akhirnya Pak Jib dan Puan Timbalan Ketua Setiausaha KDNKK minum kopi 'O' pahit dan beli kuih tak rasa apa-apa bila dimakan.

Sunday, May 8, 2011

ASAL USUL SAMBUTAN HARI IBU

SEJARAH hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Oleh yang demikian, nilaikanlah sendiri apa hukumnya menyambut hari ibu pada pandangan syariat Islam. Sama-samalah kita menjauhi dan meninggalkan apa yang haram dan semoga kita semua mendapat menafaat sebagai bekalan kita di hari perhitungan.

Tuesday, May 3, 2011

APA PERLUNYA KERAJAAN NEGERI BERI LAPORAN KEPADA UMNO?

PENGERUSI Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamed dilaporkan mengarahkan agar kerajaan Negeri Kelantan menyediakan laporan hitam putih berhubung isu Ladang Rakyat. Ini adalah katanya kerana beliau banyak menerima aduan dari rakyat yang tidak berpuas hati atas tindakan kerajaan Negeri Kelantan.

Demo kaba ko dok Stopa weh? Demo ingat demo tu sapo nok aroh-aroh kerajoae negeri. Bakpo pulok kerajoae negeri nok keno wi lapore ko Umno? Mung ingat Umno tu kerajoae ko? Koya mung Stopa. (Kamu sedar ke tidak Mustapha eh? Kamu ingat kamu tu siapa nak mengarah-arahkan kerajaan negeri. Kenapa pula kerajaan negeri perlu beri laporan kepada Umno? Kamu ingat Umno tu kerajaan ke? Kamu perasan Mustapha)

PEMBALAKAN TIDAK TERKAWAL TURUT BERLAKU DI NEGERI YANG DIPERINTAH BN

GOLONGAN songkok tinggi selama ini sering menyerang negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat termasuklah negeri Kelantan. Antara serangan yang sering di lontarkan ke atas Kelantan yang ditadbir PAS di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Bentara Setia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah dalam soal pembalakan. Pihak yang memusuhi PAS ini seringkali menuduh kerajaan negeri gagal untuk mengawal pembalakan di Kelantan. Namun begitu, adakah pembalakan hanya berlaku di negeri Kelantan sahaja? Adakah tiada langsung pembalakan haram di negeri-negeri lain yang diperintah oleh kerajaan BN?

Di bawah saya sertakan gambar yang menunjukkan pembalakan turut berlaku di negeri yang diperintah oleh BN iaitu negeri Terengganu



Perhatikan kedua-dua gambar di atas menunjukkan balak-balak yang dibawa adalah bersaiz kecil dan tidak menepati saiz yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan untuk ditebang. Ini menunjukkan bahawa pembalak-pembalak di Terengganu turut menebang balak yang masih belum matang dan seterusnya telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan. Ini juga menunjukkan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN turut gagal untuk mengawal aktiviti-aktiviti pembalakan haram.

Untuk rekod, kedua-dua gambar di atas telah dirakam di Setiu, Terengganu.

Monday, May 2, 2011

SUMPAH LAKNAT:- APA YANG NAK DIBUKTIKAN?

"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani"


PADA awalnya, saya sebenarnya tidak begitu berminat untuk memperkatakan soal sumpah laknat yang dilakukan oleh Shazryl Eskay Abdullah. Tetapi bila saya secara tidak sengaja menonton siaran buletin utama TV3 pada 1 Mei 2011 yang menyiarkan temubual dengan Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahhana Jamaluddin, maka saya terasa perlu untuk memperkatakan juga akan isu ini.

Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio Datuk T, pada hari Jumaat 29 April 2011 telah melafazkan lafaz sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang mana dalam sumpah tersebut beliau menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang digambarkan dalam video seks dengan seorang wanita warganegara China.

Pada asalnya majlis tersebut dirancang akan diadakan selepas solat Jumaat hari tersebut, tetapi entah kenapa dan apa sebabnya, Shazryl Eskay Abdullah dan rakan-rakan beliau iaitu Rahim Tamby Chik dan Shuib Lazim gagal untuk hadir pada waktu tersebut. Mungkin ketiga-tiga mereka bersolat Jumaat di masjid lain. Wallahuaklam.

Walaupun perancangan asal untuk melakukan majlis sumpah laknat selepas solat Jumaat tidak terlaksana, namun masjid tersebut tetap dimeriahkan dengan tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang mendesak agar majlis sumpah laknat tersebut tidak dilaksanakan tetapi digantikan dengan melaksanakan Qazaf. Berlaku sedikit kekecohan di dalam dan di luar masjid tersebut bila kumpulan tersebut bertembung dengan kumpulan penyokong trio Datuk T yang mendapat sokongan dan perlindungan dari pihak berkuasa.


Namun begitu akhirnya pada jam lebih kurang 4.15 petang hari yang sama, Shazryl Eskay Abdullah, Rahim Tamby Chik dan Shuib Lazim akhirnya muncul juga untuk melakukan sumpah laknat. Kehadiran ketiga-tiga badut sarkas itu diberi kawalan keselamatan yang ketat dari pihak berkuasa dan ketiga-tiga badut tersebut memakai pakaian kalis peluru untuk majlis tersebut (takut mati rupanya). Sebelum Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat tersebut manakala Rahim dan Shuib pula sekadar mewakilkan sumpah kepada Shazryl Eskay (sumpah boleh hantar wakil jugak rupanya), ketiga-tiga mereka dan orang ramai sempat dihidangkan dengan tazkirah ringkas tetapi padat dari seorang penceramah bebas yang secara tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Setelah itu, Shazryl Eskay Abdullah tetap meneruskan sumpah laknat tersebut sebagaimana yang dirancangkan.


Pada pandangan saya, tidak ada apa yang hendak difikirkan dan dirunsingkan dengan sumpah laknat tersebut. Ini adalah kerana sumpah tersebut sesuatu yang tidak ada dalam syariat Islam dan ianya tidak pernah diajarkan dan diamalkan oleh Rasulullah SAW. Apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan diajarkan oleh Rasulullah SAW, apabila menuduh seseorang itu melakukan perbuatan zina, maka si penuduh perlu mengemukakan empat orang saksi yang sifatnya adil dan tidak fasiq. Hanya jika, seorang suami itu menuduh isterinya melakukan zina, barulah diperintahkan suami dan isteri itu melakukan sumpah tetapi bukannya dilakukan di dalam masjid dengan memegang al-Quran tetapi ianya hendaklah dilakukan di hadapan hakim ataupun qadhi. Dan perlu dingat bahawa sumpah tersebut bukannya untuk mencari kesalahan sesiapa, tetapi adalah untuk menjaga maruah sisuami dan siisteri itu.

Dalam hal Shazryl Eskay Abdullah ini yang melakukan sumpah laknat, kita biarkanlah sahaja beliau dengan sumpahnya itu kerana saya berpandangan sumpah beliau itu tetap tidak akan dapat membuktikan bahawa beliau dipihak yang benar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipihak yang salah. Dan beliau serta sesiapa sahaja tidak perlu untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama bersumpah laknat, kerana jika Datuk Seri Anwar bersumpah laknat sekalipun, ianya juga tidak mampu untuk membuktikan apa-apa. 

Dalam siaran buletin utama TV3, 1 Mei 2011, Pengarah Jaringan Melayu Malaysia iaitu Farahhana Jamaludin telah mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim agar turut sama bersumpah laknat. Yang lebih melucukan, beliau mengatakan, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga boleh mewakilkan sumpah tersebut. Pada pandangan saya, desakan yang dibuat oleh Farahhana Jamaludin dalam temuramah beliau dengan TV3 adalah satu desakan yang tidak perlu dan tidak masuk akal. Amat malang dan memalukan sekali kerana hujah-hujah yang diutarakan oleh Farahhana tersebut amat lemah dan menampakkan kebodohan beliau.  Farahhana tidak perlu menjadi penambah kekecohan dan beliau tidak perlu untuk menjadi jaguh dalam isu ini. Farahhana Jamaludin juga sepatutnya menghentikan perkataan-perkataan menghina terhadap peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana yang beliau hamburkan dalam temuramah tersebut. Beliau tidak perlu untuk melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dr Wan Azizah sebagai 'pelacur politik'. Apa yang sepatutnya beliau lakukan adalah untuk menjaga imej beliau sebagai seorang muslimah agar beliau tidak dilabelkan sebagai 'pelacur agama'.

Berkenaan tindakan sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat yang membuat bantahan selepas solat Jumaat tersebut, saya menyokong tindakan mereka itu. Cuma, saya rasa sepatutnya bantahan tersebut tidak dilakukan di dalam masjid. Tidak menjadi kesalahan dari segi syariat jika bantahan dilakukan di perkarangan masjid tetapi tidak manis dan tidak elok melakukan kekecohan di dalam masjid kerana masjid adalah rumah Allah. Kita sebagai umat Islam perlu untuk menjaga kesucian dan kemurnian rumah Allah.

Akhir sekali, saya ingin perkatakan adalah berkenaan tindakan beberapa NGO dari Terengganu yang membuat laporan polis terhadap kumpulan dari Pakatan Rakyat yang membuat bantahan pada hari tersebut kerana mendakwa kumpulan dari PR membawa masuk non muslim ke dalam masjid untuk melakukan bantahan. Pada pandangan saya, terpulanglah pada NGO terbabit untuk membuat laporan polis kerana itu adalah hak mereka, tetapi NGO-NGO terbabit juga sepatutnya membuat laporan polis terhadap penganjur majlis sumpah laknat tersebut kerana mereka turut membiarkan wartawan-wartawan dan jurugambar-jurugambar yang non muslim untuk masuk dan berada di dalam masjid tersebut. Tidak ada bezanya antara non muslim yang menyertai bantahan dengan wartawan dan jurugambar non muslim yang sama-sama berada di dalam masjid.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...