Monday, March 28, 2011

Jauhi Fitnah

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SESUATU yang amat menakutkan pada hari ini, budaya fitnah kini semakin menjadi-jadi di negara kita. Umat Islam kini sudah semakin berani melakukan perbuatan fitnah seolah-olah ianya suatu kebiasaan dan kemestian. Semakin menakutkan apabila budaya tersebut kini turut menjadi amalan golongan yang bergelar pemimpin sehinggakan tiada langsung rasa takut dengan azab seksa Allah swt yang bakal ditanggung di akhirat. Seolah-olah mereka-mereka ini berpegang pada prinsip atau slogan 'FITNAH DIDAHULUKAN, KUASA DIUTAMAKAN' dan amat sesuai ditambah lagi 'DOSA PAHALA DIKETEPIKAN, BALA DI ALU-ALUKAN'.

Dalam soal fitnah ini, Rasulullah saw menyifatkan pelaku perbuatan fitnah ini sebagai seorang yang muflis sebagaimana hadis yang bermaksud:- 
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki wang dan juga tiada memiliki harta". Lalu Rasulullah saw menjawab: "Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah, seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi dahulunya waktu di dunia ia pernah mencaci maki seseorang, menuduh (memfitnah) seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan pernah memukul seseorang. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dibayar semuanya, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”  (HR Muslim)

Jika semasa hidup di dunia ini, kita tidak mahu menjadi seorang yang muflis, apakah kita mahu dan sanggup untuk menjadi seorang yang muflis di akhirat nanti? Apakah kita mahu, segala pahala amal ibadah kita selama hidup di atas muka dunia ini, habis diberikan kepada orang lain yang selama ini kita fitnah? Juga adakah kita sanggup untuk menerima segala dosa yang dilakukan oleh orang yang kita fitnah selama ini untuk kita tanggung di hadapan Allah swt? 


Maka oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menginsafi diri kita sendiri. Renungkan, fikirkan dan ingatlah kembali apakah selama ini kita pernah menganiayai orang lain dengan fitnah. Sekiranya ada kesalahan kita terhadap orang lain, mohonlah kemaafan dari orang yang kita aniayai tersebut. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:-
Dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: "Siapa yang merasa pernah berbuat aniaya kepada saudaranya, baik berupa kehormatan badan atau harta atau lain-lainnya, hendaknya segera meminta halal (maaf) darinya, sebelum datang suatu hari yang tiada harta dan dinar atau dirham, jika dia punya amal saleh, maka akan diambil menurut penganiayaannya, dan jika tidak mempunyai hasanah (kebaikan), maka diambilkan dari kejahatan orang yang dianiaya itu untuk ditanggungkan kepadanya." (H.R. Bukhari-Muslim)

Bagi mereka-mereka yang mendapati saudara seagama kita sedang diuji dengan fitnah pula, sama-samalah ambil tanggungjawab untuk membela dan mempertahankan mereka yang teraniaya. Janganlah kita membiarkan saudara seagama kita bersendirian dalam menghadapi fitnah. Rasulullah saw telah memberi peringatan kepada kita sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:-

Nabi bersabda, "Sesiapa dari kalangan orang Islam yang tidak membela orang islam lain apabila kehormatannya dicerobohi dan nama baiknya dicacati maka niscaya Allah membiarkan nasibnya ketika dia sangat memerlukan pertolongan. Dan sesiapa yang menolong orang Islam lain ketika nama baiknya dan kehormatannya diceroboh niscaya Allah akan menolongnya ketika dia sangat-sangat memerlukan pertolongan."  (Hadis riwayat Abu Daud)  

Saturday, March 26, 2011

JENAYAH SIFAR! TERCAPAIKAH JIKA.....................?

JENAYAH SIFAR!
Itulah yang disebutkan oleh pihak PDRM untuk dicapai di Malaysia. Satu impian yang murni dan tidak mustahil untuk dicapai.

Tapi, akan tercapaikah impian itu jika negara kita masih terus mengamalkan sistem perundangan yang dicipta dan dicedok dari barat? Satu persoalan yang perlu sama-sama untuk kita renungkan. Jika jawapan yang diberi adalah MUSTAHIL, apakah ada sistem perundangan lain yang lebih berkesan? 

Jenayah buang bayi

Jenayah rompakan

Jenayah pembunuhan

Mencari bukti kes jenayah
Ya! jawapannya ada.  Kembalilah berhukum kepada Al-Quran dan Al-Sunnah, nescaya bukan hanya Malaysia, bahkan seluruh dunia akan aman dan selamat sekiranya hukum Allah swt ditegakkan.

Friday, March 25, 2011

JANGAN SALAHKAN KUCING

Harian Metro Jumaat 25 Mac 2011 melaporkan seorang gadis mahu sehidup semati bersama 12 ekor kucing kesayangannya. Gadis berusia 24 tahun yang hanya dikenali sebagai Camelia juga merupakan seorang graduan universiti menegaskan bahawa beliau lebih rela tidak berkahwin kerana lebih menganggap kucing lebih setia berbanding lelaki yang dianggap sering curang.


Macam ni punya manusia pun ada jugak dalam dunia ni. Kita tak kisah jika dia nak menyayangi kucing sebab Rasulullah SAW sendiripun menyayangi kucing dan sahabat Rasulullah SAW juga ada yang sayangkan kucing sehinggakan ada yang digelarkan sebagai "Abu Hurairah" yang bermaksud bapa kucing kerana sayangnya terhadap haiwan comel tersebut tapi taklah sampai menolak sunnah Rasulullah SAW untuk berkahwin.

Alasan yang diberikan oleh gadis tersebut sangatlah lemah dan tidak masuk akal. Beliau berkata cinta terhadap manusia tidak berbaloi berbanding kasih sayang terhadap binatang. Beliau juga mengatakan lelaki sekarang tidak boleh dipercayai kerana sering curang dan suka mempermainkan wanita, tetapi kucing sentiasa setia. Beliau juga berkata perkahwinan tidak penting untuk difikirkan berbanding menjaga kucing peliharaan yang perlu diberi perhatian selalu. Gadis tersebut juga mengaku sebelum ini beliau mempunyai seorang teman lelaki, namun selepas lelaki tersebut mengajak beliau berkahwin tahun lalu, beliau menolaknya kerana beralasan tidak akan ada orang yang akan jaga kucingnya selepas kahwin dan sejak itu juga gadis tersebut cuba menjauhi lelaki kerana mahu beri tumpuan 100% pada kucing.

Pada pandangan saya, gadis ini sebenarnya mempunyai masalah mental. Bagi saya juga yang sebenarnya gadis inilah sebenarnya yang tidak setia dan mempermainkan perasaan lelaki sebab dia sendiri dah mengaku bahawa teman lelakinya dah ajak dia kahwin tetapi dia yang menolaknya sebab lebih menyayangi kucing. Saya nampak disini, teman lelaki gadis tersebut seorang yang jujur dalam hubungan kerana ingin mengambil beliau sebagai seorang isteri tetapi gadis ini jenis yang hanya mahu keseronokan sahaja. Alasan curang yang beliau pakai sebenarnya hanyalah satu alasan yang direka-reka sahaja. Mana beliau tahu bahawa semua lelaki termasuk teman lelaki beliau akan bersikap curang? Perkara yang belum berlaku bukan hak kita untuk tentukannya. Semua itu hanya ada dalam pengetahuan Allah SWT sahaja. Gadis tersebut perlu sedar dan insaf bahawa perkahwinan bukan satu halangan untuk beliau menyayangi kucing. Tak ada masalahnya jika beliau nak pelihara kucing selepas berkahwin. Orang lainpun ramai yang bela kucing tapi kahwin tetap kahwin. Takdepun timbul masalah.

Saya amat bersetuju dengan pandangan perunding motivasi, Prof Madya Md Izuddin Ali. Beliau berkata, pendirian gadis tersebut menyimpang daripada fahaman Islam. Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan setiap umat Islam harus mengikut sunnah Baginda. Beliau juga turut berkata, umat Islam yang buat keputusan sengaja tidak mahu berkahwin, mereka boleh dikatagorikan bukan umat Rasulullah SAW. Beliau juga bimbang jika itu berlaku, kita akan dijauhi dan tidak dapat syafaat dari Rasulullah SAW di akhirat nanti.

Jadi, kepada orang lain diluar sana, fikir dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Jangan sampai ketara sangat nampak kejahilan kita. Jangan jadi macam gadis ini yang pada pandangan saya, asas agamanya amat lemah dan beliau sebenarnya sedang dipengaruhi oleh Iblis laknatullah.
Wallahuaklam...

Wednesday, March 23, 2011

SIAPA DATUK T?


Pada 21 Mac 2011, negara dikecohkan dengan tindakan satu kumpulan yang enggan dikenali mendedahkan klip video (hitam putih) yang dikatakan memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur disebuah hotel di Kuala Lumpur.

Kumpulan yang diketuai oleh seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Datuk T telah mendedahkan serta menayangkan video lucah tersebut dihadapan sekumpulan wartawan yang dipanggil untuk menonton tayangan percuma tersebut di Hotel Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur. Dan kumpulan tersebut juga mendakwa memiliki seutas jam tangan yang dikatakan milik ahli politik itu yang didakwa di ambil oleh wanita itu ketika mengadakan hubungan seks pada 21 Februari 2011.  Kumpulan tersebut juga mendakwa akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang terbabit dan isterinya dalam masa seminggu.

Ekoran dari pendedahan dan penyiaran video lucah tersebut oleh kumpulan tersebut, wartawan-wartawan yang telah menonton rakaman tersebut telah menyerbu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan. Jadi dapatlah kita ketahui bahawa individu yang dikatakan sebagai pelaku seks dalam video terbabit kononnya adalah DSAI. 

Tak perlu untuk saya ulas lanjut berkenaan video lucah tersebut kerana DSAI telah menafikan pembabitan beliau dalam video lucah tersebut dan beliau juga menyifatkan ianya sebagai satu lagi konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan beliau serta keluarga. Cuma diharapkan pihak berkuasa dapat membuat siasatan lanjut berhubung rakaman video lucah tersebut.
"Saya difahamkan bahawa gambar yang disiarkan itu mirip saya tetapi perutnya lebih buncit daripada saya"

Namun begitu, saya masih ada kemusykilan yang belum terungkai dan saya kira ramai lagi rakyat Malaysia yang seperti saya. Apa yang saya musykilkan adalah pertamanya, siapa sebenarnya Datuk T ini? Kenapa individu ini tidak mahu untuk mendedahkan identiti sebenar beliau? Kalau dilihat dari laporan-laporan akhbar ataupun berita-berita di TV, dapat disimpulkan bahawa wartawan-wartawan yang dipanggil untuk menonton video lucah itu sendiri tidak mengenali siapa Datuk T ini. Agak pelik juga bila seorang yang tidak dikenali, tiba-tiba mengaku beliau seorang Datuk. Apa jasa beliau pada negara sehinggakan ada sultan atau yang dipertua negeri menganugerahkan pingat datuk kepada beliau?

Kemusykilan kedua saya, adakah Datuk T ini benar-benar seorang Datuk (Datuk TULEN atau Datuk TEMBERANG)? Sekarang ini ramai sangat yang mengaku jadi Datuk, tapi bila terjadi satu-satu kes terbongkarlah bahawa title Datuk tersebut samada title palsu ataupun title yang dibeli. Sebagai contoh terdekat, kes pembunuhan jutawan kosmetik. Salah seorang tertuduh dalam kes tersebut yang di katakan sebagai seorang Datuk didapati memperolehi title Datuk dengan cara jual beli bukannya dianugerahkan oleh mana-mana sultan. Dan yang terbaru ini, dikesan di Kelantan ada sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti menjual title Datuk kepada individu yang terlalu ingin menjadi Datuk dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan ke atas pertubuhan tersebut setelah pihak istana Kelantan membuat laporan kepada pihak polis.

Anak saper gamaknyer Datuk T ni?
Kita amat berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat siapa sebenarnya Datuk T ini. Itupun jika benarlah bahawa pihak berkuasa dan kerajaan tidak terlibat dengan pembikinan video lucah tersebut. Jika terdapat pembabitan pihak berkuasa dan kerajaan, hentikanlah membuat fitnah. Ingatlah di akhirat nanti, azab sedang menanti orang-orang yang zalim.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...