Friday, December 23, 2011

SBPA: Jangan Aniaya Penjawat Awam.

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

CUEPACS telahpun membuat pertemuan bagi membincangkan isu yang berbangkit berhubung perlaksanaan SBPA dan keputusannya Cuepacs diminta membuat perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membincangkan samada skim tersebut perlu ditangguhkan perlaksanaan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.

Keputusan itu dibuat hasil pertemuan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri pagi semalam, yang turut disertai pegawai tertinggi Cuepacs, anggota kesatuan serta wakil daripada JPA.

Kaji Semula

Minda Penulis amat berharap agar skim baru ini akan dikaji semula dan dibuat beberapa penambahbaikan bagi memastikan penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah tidak teraniaya kelak.

Bagi Minda Penulis, walau apa sekalipun skim yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan, semua kakitangan atau penjawat awam akan terima dan tidak membantah. Cuma apa yang menjadi permasalahannya adalah beberapa perkara di dalam skim baru yang hendak dilaksanakan itu bakal menganiaya penjawat awam terutamanya yang berpangkat rendah.

Buang Kerja

Antara yang menjadi ketidakpuasan hati dan kebimbangan di kalangan penjawat awam berpangkat rendah ini adalah soal dimana dalam skim yang baru ini kakitangan atau penjawat awam yang berprestasi rendah akan menghadapi risiko dibuang kerja. Kita tidaklah membantah sekiranya penjawat awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan tersebut benar-benar bermasalah terutamanya dengan masalah disiplin yang teruk atau melanggar undang-undang. Tetapi bagaimana pula sekiranya penjawat awam tersebut tidak bermasalah tetapi menjadi mangsa dengki dan khianat pegawai-pegawai atasan. Tidakkah ini akan menganiaya kakitangan awam berpangkat rendah? Kalau ini berlaku SBPA akan membawa makna 'SKIM BUANG PENJAWAT AWAM'.

Sekiranya ini berlaku, penjawat awam berpangkat rendah ini tidak mempunyai pilihan lain selain dari menjadi seorang yang 'MUNAFIK' dengan membodek dan mengampu pegawai atasan sepanjang masa bagi memastikan markah penilaian prestasi tahunan yang tinggi diperolehi.

Bodek Pegawai

Bagi penjawat awam yang dah sedia mempunyai sifat-sifat 'Munafik' di dalam diri, memang tidaklah menjadi suatu masalah baginya untuk setiap hari membodek dan mengampu pegawai atasan tetapi bagaimana pula dengan penjawat awam yang menjadikan kerja beliau sebagai 'ibadah'. Sudah tentu beliau tidak sanggup untuk menukarkan prinsip kerja sebagai ibadah tersebut dan menjadi seorang yang munafik dan mereka ini terpaksalah menerima opsyen 'Skim Buang Penjawat Awam' manakala bagi mereka yang sudah memang munafik atau sanggup bertukar menjadi munafik akan menerima SBPA sebagai 'SKIM BODEK PEGAWAI ATASAN'

Minda Penulis berharap agar pertemuan antara Cuepacs dan JPA akan membuahkan hasil yang boleh melegakan semua kakitangan awam di Malaysia dan apa yang penting Cuepacs perlu memastikan agar Skim Buang Penjawat Awam dan Skim Bodek Pegawai Atasan tidak terlaksana. Biarlah SBPA yang bakal terlaksana kelak akan memuaskan hati dan menjamin kebajikan semua kakitangan awam di seluruh negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...