Wednesday, December 7, 2011

Hukum Penggunaan Indelible Ink (Dakwat Kekal)

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

MUZAKARAH Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Walaubagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.

Keterangan/Hujah:

1.Indelible Ink bermakna dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Kaedah ini adalah kaedah yang mudah yang berkesan bagi mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih sekali. Beberapa negara telah menggunakan kaedah ini termasuk China, Ghana dan Denmark. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihanraya sejak tahun 1962 lagi. Berdasarkan laporan ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga (3)bahan utama iaitu air, Ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate .

2.Penggunaan Indelible Ink tidak akan mendatangkan sebarang mudharat jika digunakan pada kuku dan jari. Ia hanya akan mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum.

3.Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari. Untuk kegunaan dalam pilihanraya, SPR hanya akan mencalitkan Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

4.Penggunaan alkohol dalam Indelible Ink bukan merupakan isu kerana pada asasnya jika sesebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

5.Memandangkan Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta dan kandungannya juga bebas dari sebarang lemak haiwan, maka penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.

6.Ketelapan air pada kulit perlu dibezakan dengan ketelapan air yang sampai pada sel di bawah kulit, kerana dari sudut syarak kedua-duanya adalah berbeza dan untuk tujuan ibadah adalah memadai jika air telap sampai ke kulit.

7.Dalam konteks menjaga maslahah ummah, beberapa kaedah fiqhiyyah yang boleh dijadikan sandaran adalah :
تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلح

Maksudnya : Tindakan yang dijalankan oleh ketua negara terhadap urusan rakyat adalah terikat dengan maslahah.

sumber : e-Fatwa

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...