Saturday, December 3, 2011

Desak MB Kelantan Letak Jawatan. Umno Kelantan Memualkan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 hari ini yang sekali lagi menggesa agar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin lain selepas 21 tahun mentadbir negeri Kelantan.

DPPNK menyifatkan kenyataan Afandi itu sebagai satu kenyataan memualkan dan hilang arah serta menampakkan kegerunan UMNO Kelantan untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Amat jelas keyakinan mereka bahawa susuk tubuh Menteri Besar Kelantan itu menjadi antara penghalang terbesar mereka untuk merampas kembali Kelantan.

DPPNK ingin bertanya kepada perwakilan UMNO Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur? Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang kononnya lebih muda?

DPPNK mencabar Afandi agar mendatangkan bukti-bukti penyelewengan yang berlaku di Kelantan sepanjang 21 tahun pentadbiran Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar. Berapa banyakkah harta kemewahan yang dikumpulkan oleh beliau dan berapa bentuk cincinkah yang dibelikan untuk isterinya sebagaimana amalan pimpinan tertentu? Tindakan Afandi Yusof membandingkan dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah UMNO sendiri. Barangkali Afandi tidak sedar bahawa kedua-dua mereka berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman UMNO sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya. Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada UMNO merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.

Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang. Sewajarnya Afandi sendiri bermuhasabah bahawa dirinya sangat kerdil jika dibandingkan dengan Menteri Besar Kelantan yang sering dicabarnya untuk berdebat. DPPNK sedar bahawa ini bukan kali pertama kenyataan sebegini dikeluarkan oleh Afandi. Bahkan pada bulan Jun 2009, Afandi pernah mencabar Menteri Besar Kelantan melepasi saringan debat dengan Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum berdebat dengan Perdana Menteri.

Justeru, DPPNK berpandangan desakan UMNO Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan. Apa yang perlu ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat. Adapun desakan UMNO Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol!

Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 3 Disember 2011

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...