Wednesday, December 21, 2011

Dakwat Kekal: Bertandingkah Ibrahim Ali?

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


SURUHANJAYA PILIHANRAYA MALAYSIA (SPR) telah membuat pengumuman bahawa dakwat kekal akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang dan semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi. Langkah itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

Ekoran dari pengumuman tersebut, Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) melalui setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali memberi amaran, keputusan SPR itu akan menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi.

Di samping mengatakan bahawa penggunaan dakwat kekal tersebut akan membawa negara ke belakang, Syed Hassan juga turut mendakwa bahawa keputusan tersebut adalah memalukan dan beliau telah membuat ugutan bahawa beliau dan ahli Perkasa tidak akan keluar mengundi. Baca sini

Terpulanglah, jika Perkasa dan ahli-ahlinya enggan keluar untuk mengundi pada PRU13 nanti kerana itu adalah menjadi hak masing-masing untuk membuat pilihan. Namun begitu, jika kata-kata Setiausaha Agung Perkasa itu benar-benar dikotakan, apakah Presiden pertubuhan tersebut iaitu Datuk Ibrahim Ali akan meneruskan hasrat beliau untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas, Kelantan pada PRU13 nanti?

Kita boleh buat andaian bahawa Ibrahim tidak akan bertanding pada PRU13 akan datang sebagai tanda bantahan terhadap keputusan yang dibuat oleh SPR.

Namun begitu sekiranya andaian tersebut tidak tepat dan Ibrahim meneruskan hasrat beliau untuk bertanding, siapa pula yang akan mengundi beliau sedangkan ahli Perkasa tidak mahu membuang undi. Jika ini berlaku, bermakna Ibrahim bakal kalah  pada PRU13 akan datang dan beliau berkemungkinan besar akan hilang wang pertaruhan.


Apapun, ini hanyalah andaian sahaja dan kita tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku selepas ini sama ada Perkasa benar-benar mengotakan kata-kata Setiausaha Agungnya ataupun tidak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...