Tuesday, November 8, 2011

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


TUAN GURU DATO' BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT merupakan Menteri Besar Kelantan kini. Namun imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".

Latar belakang dan kehidupan peribadi

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Pendidikan

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir. Ketika belajar, beliau pernah menjadi salah seorang saksi kepada Perang Arab-Israel.

Beliau juga pernah belajar di:
- Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936
- Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan
- Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu
- Universiti Deoband, India – 1952
- Universiti Lahore, Pakistan - 1957
- Universiti al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
- Universiti al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Beliau mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Kerjaya politik

Tuan Guru mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, kini beliau adalah Mursyidul Am bagi parti tersebut. Semenjak tahun 1990, beliau telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga adalah seorang ADUN bagi kawasan N.06 Chempaka, Kelantan. Pada pilihan raya ke-11, Nik Aziz menyandang kerusi tersebut setelah mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.

Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Nik Aziz sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut. Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.

Beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai seorang Menteri Besar selepas pilihan raya yang terbaru ini. Penggantinya itu akan dipilih melalui satu proses undian sulit. Namun jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.

Beliau dituduh mengamalkan kronisme dengan melantik menantunya itu sebagai CEO PMBK, tetapi beliau menyatakan perlantikan itu berdasarkan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan. Isu-isu di atas sedikit sebanyak mencalarkan rekod bersih Nik Aziz yang anti rasuah.

Kesihatan


Beliau mempunyai masalah kesihatan jantung, darah tinggi dan gastrik. Pada akhir tahun 2004, beliau dimasukkan ke hospital setelah mendapat serangan sakit jantung. Pada tahun 2007, beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana keletihan.

Beliau sendiri mengakui bahawa kesihatannya semakin terganggu sejak akhir-akhir ini. Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Saya akui pada zahirnya, tubuh saya ada mengalami masalah berkaitan jantung tetapi pemikiran saya masih tajam untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan."
* Baca dalam versi bahasa Indonesia di sini

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...