Thursday, November 3, 2011

RM400 Ribu Untuk SKMK

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KOTA BHARU, 3 Nov: Kerajaan Kelantan sekali lagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan apabila memperuntukkan RM400,000 kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK).

Ini ekoran syarikat pengendali pengangkutan awam itu telah menyampaikan hasrat untuk memberhentikan operasi di 17 laluan dalam negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, SKMK yang ditubuhkan pada 24 Februari 1947 itu telah banyak menabur jasa kepada rakyat negeri ini dalam soal penyediaan pengangkutan awam.

Namun, ujarnya kerana kenaikan harga minyak dan pelbagai kos termasuk penyelenggaraannya, SKMK telah melahirkan hasrat tersebut kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri melalui keputusan mesyuarat kerajaan telah diberi taklimat sebanyak dua kali oleh SKMK dan kita amat memahami permasalahan ini dan kita tahu sekiranya mereka memberhentikan perkhidmatan, maka ia akan menyukarkan pergerakan rakyat terutamanya pelajar sekolah,” ujar beliau pada sidang media selepas meraikan pemain The Red Warriors bertempat di Dewan Teratai hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan telah bersetuju pada peringkat awal untuk menyelamatkan SKMK dari memberhentikan perkhidmatannya dengan membantu dari segi kewangan dan ia akan dibantu bermula pada bulan November ini sebanyak RM100,000 dan akan diteruskan selama empat bulan.

Menurutnya lagi, sekiranya SKMK memberhentikan perkhidmatannya ia akan memberi implikasi besar kepada rakyat bawahan.

Justeru, katanya kerajaan akan bekerjasama dengan pengurusan SKMK untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal pengangkutan bas bagi membincangkan langkah pemulihan operasi syarikat tersebut yang dipengerusikan oleh Exco negeri, Mejar Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi memberi penghargaan kepada pasukan bola sepak The Red Warriors, kerajaan telah memperuntukkan RM84,000 kepada semua pemain dan pegawai pasukan yang disampaikan sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...