Wednesday, November 9, 2011

Pelarian Asing Pulak Bakal Diambil Cap Jari..

بِسْــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


PUTRAJAYA: Persetujuan mendaftarkan pemohon suaka dan pelarian yang memegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) secara biometrik di Malaysia mulai Januari 2012 adalah untuk mengenalpasti individu terbabit secara lebih dekat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Hishamuddin berkata, pendekatan baru yang merekodkan secara cap ibu jari itu lebih sistematik dan terperinci serta berbeza dengan kaedah yang diguna pakai sebelum ini.

Beliau menjelaskan, langkah itu tiada kaitan dengan program penyelesaian Menyeluruh Pekerja / Pendatang Asing Tanpa Izin atau 6P yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Menurut Hishamuddin, jumlah pelarian setakat ini ialah 94,800 orang dan kerajaan mahu mendaftarkan secara biometrik supaya kerajaan dapat kenalpasti di mana mereka berada dan siapa mereka. Mereka tidak boleh lari daripada cap jari. Itu kelebihan program yang kerajaan sedang jalankan ini,

Komen Minda Penulis:- Rakyat tidak menentang apa yang hendak kerajaan laksanakan jika ia boleh mendatangkan kebaikan dan manafaat kepada rakyat / warganegara tempatan. Namun begitu, kerajaan sepatutnya perlu meneliti serta mengkaji terlebih dahulu setiap perancangan yang hendak mereka laksanakan supaya setiap perancangan yang dilaksanakan tidak akan menjadi suatu malapetaka kepada rakyat / warganegara tempatan di masa akan datang.

Jumlah hampir 95 ribu orang pelarian itu adalah merupakan suatu jumlah yang besar yang mana sekiranya ia tidak dipantau dan disekat, ianya bakal mendatangkan mudharat kepada keselamatan rakyat tempatan. Selain dari itu juga, ia boleh mendatangkan masalah dari segi sosial dan politik negara kita dan Minda Penulis rasa kita semua sudah tahu apa masalah yang selalu dibawa oleh warga asing ini termasuklah mereka yang memiliki dokumen UNHCR.

Pada pendapat Minda Penulis, jumlah hampir 95 ribu orang pelarian warga asing ini bakal bertambah sekiranya tiada pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas dari pihak berkuasa dan juga dari kerajaan persekutuan itu sendiri. Ini adalah kerana, hampir setiap hari, sempadan negara kita dibolosi dan dicerobohi oleh pendatang tanpa izin terutamanya warganegara Myanmar yang menjadi majoriti pemegang dokumen UNHCR.

Apa gunanya kita melaksanakan program biometrik ini terhadap pelarian dan pemohon suaka politik, tetapi dalam masa yang sama semakin ramai pendatang asing masuk ke Malaysia setiap hari dan kemudiannya dengan mudah memperolehi dokumen UNHCR ini.

Ramai orang tidak tahu bahawa, semua pelarian atau pemohon suaka politik ini sebenarnya tidak mempunyai apa-apapun semasa memasuki negara kita. Semasa mereka masuk ke negara kita, mereka semua berstatus pendatang asing tanpa izin. Mereka tiada passport, tiada kad pengenalan dan TIADA DOKUMEN UNHCR.. Setelah mereka berhasil masuk ke Malaysia barulah mereka memohon untuk mendapatkan dokumen UNHCR sebagai pelarian. Bahasa mudahnya, sebelum masuk status pendatang haram, bila dah masuk tukar jadi status pelarian. Begitu mudahnya mendapat status pelarian.

Ramai juga di kalangan warga asing ini terutamanya dari Myanmar sebelum ditangkap dan dimasukkan ke kem-kem tahanan sementara langsung tidak mempunyai status pelarian yang sah (senang bahasanya pendatang haram lah) bahkan ada yang memiliki dokumen UNHCR yang palsu. Tetapi apabila dah berada di kem-kem tahanan maka adalah kutu-kutu dari UNHCR ini datang ke kem dan di situ jugalah mereka membuat permohonan untuk mendapatkan status pelarian. Mudah bukan untuk mendapatkan status pelarian sehinggakan ada pegawai-pegawai Imigresen dalam nada menyindir berkata, “Kalau macam tu mudah dapat status pelarian, saya pun nak mohon jugaklah.” Dan ‘pelarian’ ini akan terus berada di dalam kem-kem tahanan secara percuma (makan, tidur, makan, tidur) sehinggalah ada wakil dari UNHCR datang ambil bawa keluar dan dilepaskan semula di dalam negara ini juga.

Percayalah, bahawa jumlah mereka yang dita’rifkan sebagai pelarian ini akan bertambah lagi sekiranya tidak ada langkah-langkah pencegahan dari kerajaan persekutuan. 

Setahu Minda Penulis, negara kita tidak menandatangani perjanjian untuk mengiktiraf pelarian asing ini tetapi kononnya atas dasar perikemanusiaan, mereka ini tidak dikenakan tindakan undang-undang sehinggalah pihak UNHCR menemui mana-mana negara yang sudi untuk menerima semua pelarian ini. 

Apa yang berlaku sekarang, sehingga kini, jumlah pelarian ini semakin bertambah dari hari ke hari tapi tetap tidak ada negara ketiga yang sudi menerima mereka. Minda Penulis rasa ramai yang boleh mengagak kenapa tiada negara ketiga yang sudi. Jawapannya cukup mudah, Mereka tidak mahu memikul beban menanggung pelarian-pelarian ini. Bila tidak ada negara ketiga yang sudi , maka pelarian-pelarian ini akan terus tinggal dan beranak pinak di Malaysia dan tidak mustahil suatu hari nanti, Malaysia ini mereka yang punya dan rakyat tempatan pula akan jadi pelarian di negara sendiri.  

Minda Penulis berpendapat, sepatutnya dalam isu ini, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri mencari dan mengambil langkah yang lebih sesuai. Terpulanglah jika kerajaan rasa perlu guna kaedah biometrik, maka teruskanlah cadangan tersebut. Tetapi kerajaan perlu untuk memikirkan satu perancangan atau kaedah untuk mengatasi dan mengurangkan jumlah pelarian asing ini. Jika kerajaan tidak melakukannya maka sampai bila-bilapun negara kita ni kerjanya hanya dok ambil cap jari orang sahaja tapi sampai sudah jumlah pelarian ini tidak berkurang.

p/s: Tak tahulah pula kalau-kalau bukan saja-saja ambil cap jari ni dan tak tahulah pula kalau-kalau kerajaan ni ada agenda lain.. Wallahuaklam…..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...