Friday, November 4, 2011

Nasihat Hasan Al-Basri Kepada Seorang Gadis

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEORANG gadis kecil berlari-lari. Rambutnya terurai kusut masai. Ia menangisi jenazah ayahnya yang diusung menuju peristirehatan yang terakhir.

Menyaksikan orang ramai membawa jenazah lalu di depan rumahnya, Hasan Al-Basri yang sedang duduk di depan pintu ikut serta rombongan itu.

"Ayahku, mengapa hari seperti ini singgah dalam umurmu?” Ratap gadis kecil itu.

Tentu saja, sang ayah yang sudah meninggalkan dunia fana itu tidak boleh menjawabnya. “Mengapa hari seperti ini juga singgah pada ayahmu?” Kata Hasan Al-Basri kembali bertanya kepada gadis itu.

Esok harinya, ketika Hasan Al-Basri duduk di muka pintu rumahnya seperti hari kelmarin, gadis kecil lalu lagi. Si gadis berlari-lari sambil meratap tangis menuju makam ayahnya. Peristiwa itu membuatkan Hasan Al-Basri mengikutinya. Beliau ingin tahu apa yang akan diperbuat oleh gadis kecil itu.

sekadar hiasan
Dilihatnya, gadis kecil itu memeluk makam ayahnya. Pipinya diletakkan di atas tanah makam ayahnya. Dengan bersembunyi Hasan Al-Basri menyaksikan apa yang dilakukan oleh gadis kecil itu.

Dari tempat persembunyiannya, Hasan Al-Basri mendengarkan apa yang diucapkan gadis kecil itu di atas makam ayahnya.

“Ayahku, malam ini engkau sendirian terbaring dalam kegelapan kubur tanpa lampu dan penghibur. Jika malam kelmarin aku masih boleh menerangimu dengan lampu, tapi siapakah yang menerangimu malam ini, dan siapa pula yang akan menghiburkanmu?

Ayahku, jika kelmarin aku masih boleh membentang hamparan untuk tidurmu, tapi siapakah yang membentang permaidani semalam? Jika malam-malam kelmarin aku boleh memicit tangan dan kakimu, tetapi siapa yang memicitmu sekarang?

Ayahku, jika malam kelmarin akulah yang memberimu minuman, siapakah yang memberi minuman untukmu semalam? Jika dulu aku boleh membantumu menggulingkan tubuhmu yang lemah, tetapi siapakah yang merawatmu semalam?

Ayahku, jika dulu aku yang menyelimuti tubuhmu yang tersingkap, tetapi kini siapa yang menyelimutimu? Kelmarin engkau masih boleh memanggilku dan aku menjawab untukmu, tetapi semalam siapa yang engkau panggil, dan siapa yang menyahut?

Ayahku, jika kelmarin engkau minta makan dan aku yang melayani, tetapi adakah semalam engkau minta makan dan siapa pula yang melayanimu? Dulu aku yang selalu memasak makanan untukmu, tetapi siapa pula yang memasakkan makanan untukmu semalam?”

Begitulah ratapan anak gadis itu kepada ayahnya yang sudah terkubur mati dimakamnya. Suatu ratapan yang membuatkan hati Hasan Al-Basri menjadi terharu.

Tak tahan mendengar ratapan anak gadis itu, Hasan Al-Basri keluar dari persembunyiannya. Air matanya menitik, lalu didekatinya gadis kecil yang memeluk kubur ayahnya itu. Beliau mencuba menenangkan hati gadis kecil itu dengan nasihatnya.

“Anakku, engkau jangan mengucap begitu, tapi ucapkanlah kalimat seperti ini:
Ayahku, engkau telah kukafani dengan sebagus kafan, tetapi masihkah engkau mengenakan kafan itu?

Ayahku, aku telah meletakkan tubuhmu yang segar bugar dalam kubur, masih segar bugarkah engkau atau sudah dimakan cacing?

Ayahku, orang-orang alim mengatakan bahawa semua hamba nanti ditanya tentang imannya. Di antara mereka ada yang boleh menjawabnya, tetapi ada yang Cuma membisu. Yang kufikirkan adakah ayah boleh menjawab atau hanya membisu?

Ayahku, orang alim berkata bahawa kuburan itu boleh dibuat menjadi luas atau sempit. Bagaimana kubur ayah sekarang, bertambah luas atau bertambah menyempit?

Ayahku, orang alim berkata bahawa kain kafan orang yang meninggal ada yang digantikan dengan kain kafan syurga dan ada pula dari neraka. Kain kafan manakah yang ayah gunakan sekarang?

Ayahku, orang alim berkata bahawa kuburan itu merupakan sebuah taman dari taman syurga, tapi boleh juga merupakan sebuah lubang dari lubang neraka. Yang kufikirkan, bagaimana kubur ayah sekarang? Taman syurga atau lubang neraka?

Ayahku, orang alim berkata bahawa liang kubur boleh menghangati mayat dengan memeluknya seperti pelukan ibu terhadap anaknya, tetapi boleh juga merupakan lilitan erat yang meremukkan tulang-tulang simayat. Bagaimana keadaan tubuh ayah sekarang, jangan-jangan ayah terhimpit lubang kubur.

Ayahku, orang alim berkata, orang yang dikebumikan itu ada yang menyesal mengapa dulu semasa hayatnya tak memperbanyakkan amalan baik, menderhaka dan banyak melakukan maksiat. Yang kutanyakan pada ayah, apakah engkau termasuk orang yang menyesali kerana perbuatan maksiat atau menyesali kerana sedikit melakukan amal kebaikan?

Ayahku, dulu setiap aku memanggilmu tentu engkau menjawabnya, tetapi kini engkau kupanggil-panggil tak lagi mahu menjawab. Engkau kini telah berpisah denganku dan tak bersua lagi sampai hari kiamat. Semoga Allah tidak menghalang perjumpaanku denganmu.”

Begitulah beberapa nasihat Hasan Al-Basri yang disampaikan kepada gadis kecil itu dalam meratapi ayahnya di atas makamnya. Mendengar nasihat itu, gadis itu berkata, “Wahai Hasan Al-Basri, betapa bagusnya nasihatmu untuk meratapi ayahku.” Kemudian gadis kecil itu pulang dengan menangis bersama Hasan al-Basri meninggalkan makam ayahnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...