Friday, November 25, 2011

Lidah Biawak

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Berita 1:-
KOTA BHARU: Urusan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pasti akan menjadi lebih mudah "dan mengindahkan" jika Pas dan Umno boleh menjadi satu pasukan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata perkara itu akan lebih mudah jika kedua-dua parti dapat bekerjasama tanpa perlu berselisih faham terutama dalam soal pengurusan negeri.

"Ia akan mengindahkan jika kita boleh jadi pasukan bersama," katanya dalam reaksi kepada soalan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Limbungan, Zainuddin Awang Ahmad mengenai bayaran royalti minyak kepada Kelantan dalam sesi dialog pada majlis perjumpaan khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang dihadiri oleh 1,000 warga pendidik di Pusat Dagangan Kelantan di sini Rabu.

Turut hadir pada majlis yang diadakan sempena lawatan sehari Muhyiddin ke Kelantan ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan Dan Dakwah Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Muhyiddin berkata dengan kerjasama sebagai satu pasukan itu, ia akan memudahkan lagi segala urusan pentadbiran dan politik tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata soal royalti minyak Kelantan belum ada keputusan muktamad kerana ia masih di peringkat perbincangan.Katanya isu royalti minyak itu mempunyai kaitan dengan aspek perundangan dan aspek perlembagaan. -BERNAMA 
Berita 2:-
MACHANG: Rakyat Kelantan diminta menilai kemampuan PAS mentadbir negeri ini dengan menzahirkannya pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Kelantan mula menunjukkan kebangkitan dan menyatakan sokongan mereka kepada Narisan Nasional (BN) apabila Kerajaan Negeri gagal melakukan pembaharuan serta perubahan selepas 21 tahun memerintah.

Katanya, rakyat sudah faham dengan rentak dan ragam pemimpin PAS yang gah melaungkan slogan "Membangun Bersama Islam" namun gagal melaksanakannya.

"21 tahun tidak berlalu dengan mudah, jika PAS betul-betul melaksanakan slogan yang dilaungkan itu mereka sepatutnya mampu melaksanakan pembangunan hebat meliputi dunia dan akhirat seterusnya menjadi contoh kepada orang lain.

"Namun malangnya, itu semua hanya imaginasi dan tidak seindah yang diperkatakan. Tiada pembangunan yang berjaya dan boleh dibanggakan di Kelantan selain dengan bantuan Kerajaan Pusat", katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan Machang 2, di sini semalam.

Pada Majlis tersebut, Muhyiddin menyampaikan Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada 10 Pejabat Pelajaran Daerah di negeri ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub.

Muhyiddin berkata, banyak masalah rakyat yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan PAS dan masih berlarutan termasuklah bekalan air bersih. 

Katanya, PAS gagal menyelesaikan masalah itu apabila mereka tidak mampu menjana pendapatan bagi menampung perbelanjaan dalam melaksanakan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.

Beliau berkata, masalah rakyat itu akan selesai apabila rakyat menyatakan sokongan padu kepada BN pada PRU13 nanti.
p/s: Sekali ajak PAS untuk bersatu, sekali mengutuk dan mencaci. Entah yang mana satu yang Muhyiddin ni hendak. Kalau macam ni punya gayanya, jangan haraplah UMNO nak rampas Kelantan. Kalau yang bercakap tu dah macam lidah biawak, siapa nak percaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...