Tuesday, November 22, 2011

Jangan Terlalu Menghina Rakyat Kelantan

بِسْــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEBAGAI rakyat Negeri Kelantan Darul Naim yang merupakan salah sebuah negeri di dalam Malaysia, Penulis merasa amat tersinggung dan terkilan dengan sikap sesetengah rakyat negeri lain yang cukup anti dan membenci rakyat Negeri Kelantan sehinggakan ada yang sanggup dan tergamak melabelkan rakyat Kelantan sebagai mempunyai mentaliti yang rendah dan mempunyai persamaan sifat fanatik dan kenegerian yang melampau dengan orang Indonesia.

Label yang diberikan terhadap rakyat Kelantan tersebut cukup mengguriskan hati Penulis dan penuduh tersebut akan dituntut oleh kami rakyat Kelantan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Sebagai rakyat anak kelahiran Negeri Kelantan, Penulis menafikan sekeras-kerasnya tuduhan serta label yang diberikan tersebut dan Penulis anggap penuduh tersebut yang mempunyai mentaliti yang rendah dan mempunyai sifat fanatik dan kenegerian yang melampau.

Sebagai jawapan kepada tuduhan biadap dan tidak mempunyai nilai-nilai mulia sebagaimana tuntutan agama, Penulis tegas nyatakan bahawa sekiranya kami rakyat Kelantan memiliki sifat fanatik dan kenegerian yang tinggi, kami tidak akan merantau ke negeri orang. Untuk apa kami merantau ke negeri orang sekiranya kami terlalu fanatik dan bersifat kenegerian? Bukankah lebih baik kami tinggal kekal di Kelantan sahaja tak perlu untuk keluar-keluar negeri dan cukup sekadar kami berkhidmat di negeri kami sendiri sahaja.

Dan seandainya kami rakyat Kelantan ini terlalu fanatik dan mempunyai semangat kenegerian yang tinggi, Penulis yakin, rakyat negeri lain sama sekali tidak akan dapat masuk dan menetap di Negeri Kelantan. Sudah tentu awal-awal lagi rakyat Kelantan akan menghalau keluar rakyat negeri lain.

Dan sekiranya benar kami rakyat negeri Kelantan ini fanatik dan kenegerian, sudah pasti rakyat negeri lain tidak akan dapat untuk menjadikan anak Kelantan sebagai suami atau isteri.

Pada pendapat Penulis lagi, sifat fanatik dan mempunyai semangat kenegerian yang tinggi serta mempunyai mentaliti yang rendah turut ada pada sebahagian rakyat negeri lain. Kalau tidak masakan ada yang tergamak membakar bendera Negeri Kelantan suatu perbuatan sebijik yang turut dilakukan oleh 'sebahagian' rakyat Indonesia terhadap Jalur Gemilang. (Setakat ini, Minda Penulis tidak pernah lagi dengar ada bendera negeri lain yang dibakar oleh rakyat Kelantan)


Kalau semangat kenegerian tidak tinggi dan tidak fanatik serta mentaliti tidak rendah, masakan ada rakyat negeri lain yang tergamak menghina dan mencaci hamun Sultan Kelantan dalam facebook lepastu pura-pura tak tahu dan buat muka tak bersalah. Itu juga satu perbuatan sebijik yang turut dilakukan oleh 'sebahagian' rakyat Indonesia terhadap Yang Di Pertuan Agong dan sultan-sultan kita.


Jadi sekarang, jangan terlalu mudah membuat sebarang kenyataan yang menghina serta memberi label-label buruk terhadap rakyat Kelantan. Nilai diri sendiri dulu sebelum berani nak melabel orang lain dengan label yang buruk kelak nanti orang akan nampak siapa sebenarnya yang mempunyai mentaliti rendah samada si penuduh atau si tertuduh.

Dan kepada pihak media pula, jangan sebarangan menyiarkan komen-komen yang berbau penghinaan kerana orang akan dapat menilai samada cerdik atau bodohnya media itu melalui apa yang disiarkan atau ditulis. Sepatutnya kalau dah tahu sesuatu komen itu berbau penghinaan atau fitnah, janganlah disiarkan. Nanti esok-esok kalau orang dah boikot akhbar korang, siapa yang rugi? Korang jugak!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...