Monday, November 7, 2011

Jangan Terima Tetamu Yang Suami Benci

 بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



RASULULLAH SAW bersabda:
"Tidak dihalalkan bagi seorang isteri yang beriman kepada Allah, untuk mengizinkan seseorang masuk ke rumah suaminya, padahal suaminya benci, dan tidak dihalalkan seorang isteri keluar rumah sedangkan suaminya tidak senang". (Hadis Riwayat Hakim)

Dapat juga ditambahkan di sini, bahawa kewajipan seorang isteri terhadap suami ialah:
1. Sentiasa memelihara diri, kebersihan badan dan kecantikan wajah serta kebersihan rumah tangga. Sebab pada umumnya seorang wanita kalau masih gadis, ia sangat memperhatikan dirinya, kecantikan, kebersihan badan, bentuk pakaian, sopan santun dan sebagainya. Akan tetapi kalau sudah bersuami, semuanya itu, baik kecantikan, kebersihan badan juga kebersihan rumah tangga sudah kurang mendapat perhatian. Jika kita perhatikan dalam kehidupan sehari-hari, sangat sedikit sekali isteri yang memperhatikan hal ini, kerana dianggapnya sebagai perkara kecil, apalagi jika suami segan pula untuk menegurnya, sebab perkara ini adalah perkara peribadi yang sangat sensitif. Menurut ajaran Islam, sikap seperti yang dijelaskan adalah sikap yang tidak terpuji, yang benar ialah: Bahawa isteri itu harus sentiasa menjaga kecantikan, kebersihan di hadapan suaminya, sebab dia adalah miliknya. Tidaklah patut seorang isteri menunjukkan kecantikannya di hadapan orang lain sedangkan di hadapan suaminya tidak demikian. Isteri yang solehah sentiasa menyiapkan diri sepenuhnya untuk suaminya. Ali bin Abi Thalib berkata: "Sesungguhnya jihad seorang wanita itu ialah taat kepada suaminya". Dia akan berusaha sekuat tenaga untuk untuk melayani suami dengan sebaik-baiknya, kerana dia tahu bahawa keredhaan seorang suami adalah keredhaan Allah dan kebencian suami terhadap isterinya adalah kebencian Allah.
2. Tidak boleh berbuat sesuatu tanpa pengetahuan suaminya. Misalnya meminjam wang dari orang lain baik untuk keperluan rumah tangga atau lain-lainnya.
3. Jika suami memanggilnya hendaklah segera datang, janganlah menunjuk sikap bosan atau acuh tak acuh kepadanya. Kerana hal itu akan dapat menyebabkan hubungan suami isteri menjadi retak.
4. Jika suami hendak pergi bekerja, hendaklah diiringi dengan kasih sayang, manakala semasa suami pulang dari kerja hendaklah disambut di pintu rumah dengan senyum dan ramah. Sikap isteri yang seperti ini akan melenyapkan keletihan suami selepas bekerja.
5. Jika makan hendaklah selalu bersama-sama, janganlah sekali-kali isteri makan mendahului suaminya. Kecuali bila suaminya pulang terlambat dari ketentuan biasanya. Jika suami hendak makan, hendaklah isteri menyiapkan segala sesuatunya, seperti menyediakan pinggan atau piring, gelas, nasi, lauk dan sebagainya. Janganlah sampai hendaknya suaminya melayani dirinya sendiri. Sebab sikap isteri yang demikian itu adalah sikap seorang isteri yang tidak menghormati suaminya.
6. Jika masalah dalaman rumah tangga, hendaklah selalu di musyawarahkan dengan suami.
7. Jangan meminta sesuatu yang diluar kemampuan suami untuk membelinya.
8. Jika suami tertidur dan belum mengerjakan solat, maka hendaklah isteri membangunkannya dengan cara yang baik, atau jika suami lupa untuk menepati janji, maka hendaklah isteri mengingatkannya dengan cara yang baik pula. Jangan sekali-kali isteri menuntut janji kepada suaminya, sedangkan pada waktu itu suami masih belum sanggup untuk memenuhinya.
9. Pangkat, harta benda dan apa sahaja kebaikan suami janganlah diceritakan kepada orang lain.
10. Janganlah isteri membanding-bandingkan suaminya dengan orang lain, baik dengan tetangga atau teman-temannya.
11. Janganlah berlaku boros, akan tetapi jangan pula bersikap bakhil. Hiduplah secara sederhana, berbelanjalah sesuai dengan kemampuan wang yang ada.
12. Seorang isteri jangan menyembunyikan makanan dari suaminya. Janganlah makanan yang sedap-sedap dimakan sendiri, sedangkan makanan yang tidak sedap diberikan kepada suami.
13. Hendaklah selalu mengerjakan solat berjemaah bersama suami.
14. Seorang isteri tidak boleh bersedekah yang hukumnya sunat kecuali mendapat izin dari suaminya. Akan tetapi jika zakat, isteri boleh mengeluarkannya dengan cara yang betul. Jika suami lupa mengeluarkan zakat harta bendanya, seorang isteri harus mengingatkannya.
15. Seorang isteri harus dapat menyesuaikan masakan dengan selera suaminya. Dan harus tahu masakan apa yang disenangi oleh suaminya.
16. Selalu membantu suami dalam menegakkan kebenaran. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah sebagai penolong sebahagian yang lain, mereka menyuruh berbuat yang baik dan melarang berbuat yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah, dan Rasul-Nya. Mereka itulah yang akan mendapat rahmat Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksama". (At-Taubah: 71)
17. Keluarga suami hendaklah dianggap seperti keluarga sendiri.
18. Tidak boleh mengerjakan puasa sunat tanpa izin suami terlebih dahulu, sebab berkemungkinan suami menginginkan untuk tidur bersama disiang hari.
19. Janganlah sekali-kali melanggar wasiat atau pesan suami, selagi wasiat atau pesan itu bukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah.
Dalam suatu riwayat diterangkan, bahawa Asma binti Kharijah Fasari berkata kepada puterinya ketika hendak melangsungkan perkahwinan;
"Wahai puteriku, kini engkau telah keluar dari sarang tempat engkau dahulu dilahirkan sehingga engkau menjadi besar. Kini engkau akan pindah ketempat dan keadaan yang belum engkau kenal, dan engkau harus menemani seseorang juga yang belum engkau kenal. Ketahuilah wahai anakku, orang itu adalah suamimu. Jadilah engkau sebagai tanah dan dia sebagai langitmu. Jadilah engkau sebagai lantai, dan dia sebagai tiangmu. Jangan engkau membebankannya dengan berbagai kesusahan, sebab akan menjadikan ia akan meninggalkanmu. Jangan engkau terlampau menjauhinya, agar ia tidak melupakan dirimu. Kalau ia mendekatimu, maka dekatilah dia pula, dan sekiranya ia menjauhimu, maka jauhilah ia dengan baik.

Wahai puteriku, peliharalah suamimu dengan baik, hidungnya, matanya, dan lain-lainnya. Jangan sampai suamimu itu mencium sesuatu darimu kecuali yang harum, jangan pula ia mendengar perkataanmu kecuali dengan suara yang merdu, dan jangan pula suamimu melihatmu kecuali yang indah dari dirimu. Jadikanlah dirimu sebagai sendi utama di dalam rumahmu. Hendaklah kamu lebih banyak duduk di bilik rumah suamimu, dan janganlah kamu menyelidiki keburukannya. Seorang isteri itu harus sedikit bicaranya dengan tetangganya (jiran). Janganlah kamu memasuki rumah tetanggamu (jiran) melainkan setelah mendapat izin dari orang yang punya rumah.

Seorang isteri hendaklah selalu menjaga hak suaminya, baik pada waktu ia sedang tidak ada di rumah ataupun ketika ia berada di rumah. Hendaklah diusahakan agar suamimu itu selalu gembira hatinya ketika ia berada di sampingmu. Jangan sekali-kali seorang isteri itu mengkhianati dirinya sendiri atau harta milik suaminya.

Apabila telah mendapat izin keluar rumah, hendaklah seorang isteri itu berjalan dengan sembunyi-sembunyi, berpakaian sederhana, tidak menunjuk-nunjukkan tubuh dan pakaiannya. Hindarilah bercakap-cakap di jalan-jalan dengan lelaki yang bukan muhrim.

Apabila seorang teman suamimu minta izin kepadamu untuk masuk ke rumah, sedangkan pada waktu itu suamimu tidak ada, maka janganlah engkau mengizinkannya atau mencuba bercakap-cakap dengannya. Hendaklah kamu cemburu pada dirimu sendiri dan mengerti akan kecemburuan suamimu.

Seorang isteri hendaklah merasa puas dan bersyukur dengan apa yang ada pada suaminya baik rezeki yang diberikan Allah kepadanya. Isteri pula berkewajipan selalu membersihkan diri, sentiasa setia dalam segala keadaan. Isteri juga wajib bersikap belas kasihan terhadap anak-anaknya, menjaga serta menutupi keburukan mereka, jangan mudah memaki anak-anak atau berbuat sesuatu yang kurang menyenangkan hati suaminya"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...