Monday, November 28, 2011

Bila Banjir Melanda Kelantan...

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SETIAP tahun, negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia akan menghadapi musim tengkujuh iaitu antara bulan November hingga Februari atau Mac tahun yang berikutnya di mana pada musim tersebut taburan hujan yang turun secara berlebihan kebiasaannya akan mengakibatkan berlakunya banjir di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dan terkadang negeri-negeri lain di Semenanjung turut terkena akan tempiasnya. Namun begitu pada kebiasaannya, negeri-negeri di Pantai Timurlah yang paling teruk terjejas.

Seperti kebiasaannya, negeri Kelantan adalah antara negeri yang terjejas teruk dengan fenomena hujan yang turun dengan lebat dan mengakibatkan berlakunya banjir dan seperti kebiasaannya turut mengakibatkan berlakunya kerosakan atau kehilangan harta benda dan haiwan ternakan serta kehilangan nyawa terutamanya kanak-kanak.

Majoriti rakyat di negeri Kelantan sudah lali dengan masalah banjir ini dan memang sudah bersedia dengan kemungkinan berlakunya banjir ini terutamanya bagi mereka-mereka yang tinggal di kawasan yang rendah dan berhampiran dengan sungai.

Modal politik

Namun begitu apa yang amat dikesalkan, banjir yang melanda negeri Kelantan ini telah dijadikan modal politik oleh beberapa pemimpin dan penyokong Umno bertujuan untuk menghilangkan sokongan rakyat Kelantan terhadap pimpinan kerajaan PAS Kelantan. Masalah banjir ini yang merupakan satu fenomena alam dijadikan sebagai satu modal seolah-olah ianya berpunca dari kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Di negeri Kelantan ini, umum telah mengetahui bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengatasi permasalahan banjir ini kerana faktor-faktor muka bumi. Namun begitu, kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS tidak menjadikan ianya sebagai alasan untuk berlepas tangan. Di samping itu, kerajaan negeri juga telah banyak menghulurkan bantuan sekadar termampu untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir dan ianya adalah suatu kewajipan pemerintah terhadap rakyat.

Minda Penulis merasa agak pelik kerana banjir dijadikan sebagai modal untuk menyerang kerajaan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar kononnya ianya menunjukkan kelemahan pimpinan Mursyidul Am PAS tersebut. Dalam menyerang kepimpinan PAS Kelantan, media-media tempatan yang dikuasai oleh Umno turut mengambil bahagian untuk mengurangkan sokongan rakyat terutamanya di Kelantan.

Janji Umno

Dicanangkan oleh media-media ini bahawa pimpinan PAS yang diterajui oleh Tuan Guru begitu lemah dan gagal untuk mengatasi masalah banjir yang melanda setiap tahun sehinggakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan iaitu Datuk Dr Awang Adek turut melafazkan janji bahawa Umno akan melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah banjir ini 'SEKIRANYA' Umno diberi peluang untuk memerintah Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Pada pandangan Minda Penulis, janji yang dilafazkan baik oleh Awang Adek dan juga janji yang sama dilaungkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin semasa lawatan beliau ke Kelantan baru-baru ini tidak lebih hanyalah sebuah janji-janji politik. Minda Penulis berpandangan sekiranya Umno berjaya menguasai Kelantan sekalipun, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menangani fenomena tersebut. Ini adalah kerana, ketidakmampuan tersebut telah dibuktikan di negeri-negeri yang kini ditadbir oleh Umno sendiri.

Tidak perlu kita pergi jauh. Kita cuma perlu menoleh ke negeri jiran Kelantan iaitu negeri penyu bertelur iaitu negeri Terengganu. Banjir yang berlaku di Kelantan turut berlaku serentak di Terengganu dan jika hendak menjengul lebih jauh lagi, kita bolehlah menjenguk ke selatan Semenanjung Malaysia iaitu negeri Johor yang turut sedang dilanda masalah banjir.

Kelemahan?

Kalau banjir di Kelantan, Umno terpekik-pekik menjerit mengatakan PAS gagal, bagaimana pula dengan Terengganu dan Johor? Adakah ianya juga salah PAS? Sudah tentu jawapannya tidak masuk akal kerana kedua-dua negeri tersebut adalah di bawah pentadbiran Umno. Jadi kalau banjir di Kelantan adalah kerana kelemahan PAS, maka bolehlah juga kita katakan bahawa banjir yang berlaku di Terengganu dan Johor adalah kelemahan Umno yang mentadbir. Jika di negeri yang ditadbir oleh Umno sendiri masih ada kelemahannya, maka pada pandangan Minda Penulis adalah lebih afdhal sekiranya Umno memfokuskan untuk membaiki kelemahan yang berlaku di negeri-negeri yang mereka tadbir sendiri terlebih dahulu sebelum berkira-kira untuk membaiki negeri yang ditadbir oleh PAS.

Jadi, Minda Penulis juga turut berpendapat, pemimpin-pemimpin Umno terutamanya di Kelantan ini berhentilah menjadikan banjir di negeri Kelantan ini sebagai modal politik kerana ianya kelihatan terlalu tidak cerdik dan tidak matang. Dalam masa-masa rakyat menhadapi kesusahan dan kesulitan ekoran bencana banjir yang melanda ini sepatutnya semua pihak, baik kerajaan negeri dan juga parti pembangkang (Umno) bergandingan bahu untuk memberi bantuan yang sewajarnya tanpa mengira batas-batas agama, perkauman dan fahaman politik demi untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Seorang pemimpin yang baik itu, dia tidak akan menjadikan sesuatu musibah yang menimpa rakyat sebagai bahan atau modal untuk kepentingan diri sendiri tetapi sebaliknya berusaha sedaya-upaya dengan penuh keikhlasan untuk membantu meringankan penderitaan rakyat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...