Monday, October 3, 2011

Umno Mempolitikkan Isu Hudud

SAH, isu hudud telah dipolitikkan. Umno dan media berbahasa Melayu yang dikawalnya, melalui siri serangan sejak dikecewakan dalam pilihanraya 2008, terus menekan PAS bagi menggambarkan parti Islam itu tunduk kepada DAP. Targetnya tetap satu, ingin menjauhkan pengundi Melayu daripada PAS.

Manakala bagi parti komponen bukan Melayu BN, terutamanya MCA dan media berbahasa Inggeris, yang dikejarnya adalah penonjolan komitmen PAS untuk terus melaksanakan hudud, bagi menjarakkan pengundi bukan Islam dengan PAS, sekaligus memalitkan imej buruk kepada sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.

Sambutan Hari Hudud di Kelantan bukan perkara baru, tetapi kali ini Umno melihat ia boleh dimomokkan menjelang PRU13. Untuk pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah itu, apa sahaja isu akan dieksploit, walaupun tanpa sedar akhirnya ia memerangkap Umno sendiri.

Malah bukan mengejutkan jika selama ini Umno seperti mahu meletakkan dirinya sebagai pihak yang begitu 'terkilan' jika PAS 'melepaskan' prinsip perjuangan Islamnya. Perhatikanlah, bagaimana riuh-rendahnya media Umno jika melihat agenda Negara Islam tidak lagi dicatatkan dalam manifesto PAS.

Ya... sayang sungguh Umno dengan perjuangan Islam PAS rupanya!

Namun, kini Umno agak gelisah selepas dijelaskan bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 ke atas orang Islam (yang diluluskan sidang Dun Kelantan menurut prosedur yang betul dan menepati kehendak sistem demokrasi), terikat dengan komitmennya pula.

Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud diadakan setiap tahun. Lagi pun, sebelum kedatangan British, undang-undang Islam adalah undang-undang utama (law of the land) di Tanah Melayu, seperti Undang-Undang 99 Perak dan Hukum Kanun Melaka. Ia bukan sesuatu yang asing dan ganjil dengan masyarakat kita.

Di Kelantan, dalam kerangka sistem yang sedia ada, tanpa perubahan total, enakmen syariah ini boleh diusahakan dengan kerjasama Umno di peringkat Persekutuan. Apa lagi dalih Umno untuk lari daripada tanggungjawab ini?

Untuk membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kes-kes hudud, sekurang-kurangnya perlu memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), yang menyekat mahkamah berkenaan daripada membicarakan jenis-jenis kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman lebih berat. (Hukuman maksimum sekarang adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan).

Hudud memang merupakan tuntutan atau hasrat rakyat Kelantan, kata Prof Dr Abd Aziz Bari, selepas membuat tinjauan ke negeri itu dan mendengar sentimen akar umbi, di samping berbincang dengan MB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apabila MCA mengugut akan keluar BN jika Umno mahu melaksanakan hudud, saya tergelak keseorangan. Bila pula Umno meletakkan hudud sebagai agenda yang dihasratkannya? Malah tiada pun kesungguhan untuk membuka seluas-luasnya pintu ke arah kebaikan dan menutup ruang kemaksiatan, iaitu situasi kondusif sebelum pelaksanaannya.

Dr Chua Soi Lek tidak perlu risau. Umno hanya mahu bermain politik dengan isu hudud. Selama ini langsung tiada inisiatif Umno bagi mewujudkan suasana selesa itu, termasuk mengadakan persiapan yang perlu. Masakan selepas 54 tahun memerintah negara, belum nampak apa pun usaha serius untuk melaksanakan undang-undang syariah.

Ahmad Lutfi Othman

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...