Sunday, October 2, 2011

Memali Dan Bekas Ketua Polis Baling

NAMA bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, pada 29 September lalu, tiba-tiba menjadi popular. Beliau yang terlibat dalam tragedi berdarah Memali 19 November 1985, kini seperti mahu "membetulkan sejarah yang terpesong".

(Rupanya bukan saja sejarah penentangan terhadap penjajah dan kemerdekaan negara perlu ditafsir semula, malah peristiwa yang mengorbankan 18 nyawa, 25 tahun lalu itu juga wajar diteliti kembali)

Dalam bukunya Memali: A Policeman Remembers, beliau merumuskan bahawa pegawai atasannya di Bukit Aman untuk menangkap seorang tok guru, Ustaz Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebagai 'tidak bijak' dan dibuat dengan campur tangan politik.

Assyahid Ibrahim ditembak mati dalam percubaan kali kedua polis untuk menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. (Beliau kini dikenang sebagai penentang utama ISA, bukan melalui memorandum atau demonstrasi, tetapi dengan darah dan nyawanya sendiri).

Muszaffar menulis, bahawa pegawai-pegawai tertinggi di Bukit Aman, termasuk pemangku Ketua Polis Negara ketika itu, sepatutnya tidak menuruti arahan daripada pemimpin politik mereka dan menolak permintaan yang tidak selaras dengan norma-norma atau prosedur polis.

"Budi bicara dan tindakan polis tentang bagaimana mereka harus melaksanakan tanggungjawab perlu mengikut situasi pada peringkat akar umbi," katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Saya masih belum membaca buku karya adik Tunku Aziz, bekas aktivis Transparency International itu.

Apa pun, berdasarkan pengamatan langsung terhadap peristiwa hitam itu, yang pernah saya garap melalui dua makalah ringkas, Percikan Darah Syuhada Dan Memali: Selepas 3 Tahun BN Bertaubat?, termasuk beberapa kunjungan ke Memali, kali pertamanya ketika mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sejurus selepas kejadian, maka pendedahan Muszaffar itu tidak mengejutkan.

Memali adalah isu politik dan sepatutnya diselesaikan melalui kaedah politik. Bayangkan natijahnya apabila pihak polis yang lengkap bersenjata berat dikerahkan bagi "merungkai" masalah politik Umno, khususnya di Baling.

Menteri Dalam Negeri, yang juga Pemangku Perdana Menteri ketika itu, Musa Hitam turut mengakui desakan parti mendorong beliau bertindak, seperti kenyataannya kepada media bahawa "he was criticised twise in the Umno general assambly for his seeming inaction with regard to this activities."

Di Parlimen, sehari selepas kejadian, Musa berkata operasi itu adalah untuk menangkap tiga "penjenayah" iaitu Ustaz Ibrahim dan dua penyokongnya, Mat Ramli Che Mid dan Yusuf Che Mid. Ramli dan Yusuf tidak ada di rumah Ustaz Ibrahim ketika polis menggempur.

Namun dalam pertuduhan terhadap 34 orang yang ditahan ISA ekoran tragedi itu, mereka didakwa terlibat dalam aktiviti mengancam keselamatan negara dan kegiatan pelampau agama "bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang sah dengan cara revolusi bersenjata."

Lebih detailnya, KDN menyebut alasan perintah tahanan ISA sebagai "bertanggungjawab menyediakan senjata merbahaya iaitu jamur, buluh runcing, molotov cocktail, anak panah, lastik... untuk menggulingkan kerajaan Malaysia secara kekerasan dan revolusi bersenjata."

Dua minggu sebelum Muszaffar melancarkan bukunya itu, saya sempat berbicara dengan seorang bekas pegawai tinggi tentera, di majlis rumah terbuka Aidilfitri. Kami banyak menyentuh soal kontroversi Mat Indera dan pengiktirafan terhadap semua pejuang kemerdekaan.

Menyentuh soal banyak isu masa kini yang dipolitikkan, beliau mengaitkannya dengan Memali: "Kenapa perlu serang dan tembak? kenapa tidak mengadakan kepungan sehingga melemahkan Ibrahim Libya dan orang-orangnya. Jika dikendalikan dengan baik, tanpa sentimen politik, mungkin tiada nyawa melayang."

Ahmad Lutfi Othman

Al-Fatihah buat Ustaz Ibrahim Libya dan mereka yang menjadi korban tragedi Memali. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Dan kepada-Nya sahajalah diserahkan pembalasan serta hukuman setimpal buat mereka yang melakukan kezaliman. - Minda Penulis

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...