Monday, October 24, 2011

Kelantan Tubuh Jawatankuasa Kajian Perlaksanaan Hudud

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


KOTA BHARU, 24 Okt: Kelantan meluluskan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah ll (Hudud), bagi membuat kajian tentang hukuman itu dapat dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, jawatankuasa yang dianggotai seramai 19 orang ahli itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sini tengah hari ini.

Amar pula memberitahu beliau diamanahkan timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Beliau seterusnya memberitahu, peranan jawatankuasa itu untuk melihat beberapa sudut tertentu bagi membolehkan hukuman berkenaan dapat dijalankan di negeri ini mengikut peruntukan undang-undang.

“Ada pandangan baru dari sudut undang-undang yang mengatakan ianya boleh dilaksanakan tanpa mengubah perlembagaan yang ada.

“Jadi jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan melihat ruang-ruang tersebut sekiranya ada,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, latar belakang mereka yang dilantik dalam anggota itu mengikut kesesuaian dalam bidang professional masing-masing khususnya dalam bidang agama, keselamatan seperti polis dan Jabatan Penjara.

Selain itu, katanya anggota Dewan Negara, Senator Mumtaz Mohd Nawi satu-satunya dilantik dalam jawatankuasa itu dari kalangan wanita.

“Apa yang penting sekarang setiap apa yang ingin dilakukan mengikut kerangka undang-undang,” ujarnya.

Antara anggota jawatankuasa yang dilantik ialah Penasihat Undang-Undang Kerajaan negeri, dua orang anggota exco kerajaan negeri dan Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dan bekas anggota exco kerajaan negeri, Datuk Muhammad Daud. - Harakahdaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...