Friday, September 23, 2011

Ketua Pengarah Imigresen Kata Tak Mudah Warga Asing Dapat Status PR

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Alias Ahmad dipetik oleh media sebagai berkata, kerajaan tidak pernah memberi permit masuk atau taraf Penduduk Tetap (PR) kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya.

Menurut kata Alias lagi, warga asing yang memegang status PR juga tidak layak mendaftar sebagai pengundi di negara ini, bahkan mereka juga tidak akan menjadi warga negara selagi tak memenuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, mengikut Akta Imigresen 1959/63, hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia serta anak berusia bawah enam tahun dan menetap lima tahun di negara ini secara berterusan bermula tarikh kelulusan Pas Lawatan (Sosial) layak memohon taraf PR mengikut akta sama.

Selain itu, katanya permohonan PR juga dipertimbangkan kepada kumpulan pelabur, pakar dan profesional.


Dari kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Imigresen itu, Minda Penulis ingin bertanya di bawah katagori yang mana satukah boleh diletakkan Mismah, seorang wanita dari Indonesia yang kini sudah memperolehi taraf Warganegara Malaysia dan layak mengundi?

Untuk rekod, Mismah mengaku masuk ke Malaysia pada tahun 1983. Pada tahun yang sama juga, beliau telah memohon untuk mendapatkan taraf Pemastautin Tetap (PR) dan permohonan PR beliau diluluskan oleh kerajaan pada tahun yang sama. Jadi timbul pertanyaan, bagaimana Mismah boleh mendapat taraf PR sedangkan beliau tidak menetap selama lima tahun berterusan pada masa permohonan dibuat?

Kedua, Suami Mismah juga seorang warganegara Indonesia. Dikatakan juga bahawa Mismah dan suaminya hanya berkenalan di Malaysia selepas tahun 1983 dan sehingga kini dilaporkan permohonan taraf warganegara suami beliau masih belum diluluskan oleh kerajaan. Timbul pertanyaan juga di sini, bagaimana, kedua-dua suami isteri warga asing boleh membuat permohonan untuk mendapatkan taraf PR dan seterusnya memohon pula taraf warganegara?

Adalah diyakini, Mismah dan suami beliau bukanlah tergolong dalam katagori pelabur, pakar dan profesional sebagaimana yang diperkatakan oleh Alias sebagai golongan layak memohon.

Dari persoalan di atas, Minda Penulis kira dapat kita jadikan renungan dan sama-sama kita fikirkan, apakah warga asing yang memperolehi taraf PR dan seterusnya taraf warganegara di Malaysia ini benar-benar memenuhi syarat ketat sepertimana yang ditetapkan?

Minda Penulis sudah lama terfikir dan kini kenyataan dari Ketua Pengarah Imigresen semakin menjelaskan lagi apa yang Minda Penulis fikirkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...