Saturday, September 17, 2011

Dasar Penjajah Pisahkan Politik Dengan Agama

AHLI parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan bahawa perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah berteraskan Islam sekaligus menolak sebarang usaha yang bertujuan mematahkan agenda politik parti itu dengan menyekat ahli politik memberi tazkirah dan ucapan berunsur keagamaan.

"Bagi PAS, sememangnya teras perjuangan politik kita adalah Islam, lalu kita tidak memisahkan antara politik dan agama, bagaimana kami mahu pisahkannya, ahli politik tidak boleh menyebut pasal islam sedangkan PAS adalah parti Islam," katanya ketika dihubungi Tv Selangor, hari ini.

Khalid sebelum ini didakwa menyampaikan tazkirah tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Surau Taman Seri Sementa, Kapar Klang pada 16 Ogos lalu.

Namun menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, beliau hanya menyampaikan ucapan Ramadan dan bukannya memberi tazkirah atau mengajar agama seperti yang didakwa.

Menurut Khalid, tindakan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyimpulkan bahawa ucapannya sebagai melanggar enakmen 119(1) Jenayah Syariah Selangor 1995, iaitu mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan, tidak relevan dalam kes beliau.

Walau bagaimanapun jelasnya, insiden seperti ini mudah berlaku apabila badan-badan yang sepatutnya bebas seperti Jais dan Mais diperkudakan oleh pihak berkepentingan dalam kes ini seperti Umno.

"Ini memang perancangan yang ada pada Umno selama ini, mereka berusaha untuk pintas kerana selama ini kita berjaya bertemu dengan masyarakat di masjid dan surau, jemaah suka dan terus menjemput kita untuk terus berucap.

"Sememangnya ini usaha Umno menggunakan Jais dan Mais, dan inilah yang saya lawan dan tentang kerana saya sayangkan kedua-dua badan ini yang mana telah banyak berkhidmat untuk orang Islam dan kita tidak mahu ianya terus diperkuda oleh Umno untuk kepentingan politik mereka,"
jelasnya.

Tambah beliau, Umno menggunakan kuasa yang dimiliki mereka ke atas jabatan agama di Selangor untuk memisahkan politik dan agama yang menjadi kekuatan seteru politik mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengarah Jais, Tuan Haji Marzuki Hussin bertegas bahawa pihaknya tidak akan membenarkan mana-mana ahli politik dari mana-mana parti untuk berceramah dan berpolitik sejajar dengan titah Sultan Selangor yang tidak mahu masjid dijadikan gelanggang politik.

"Ekoran daripada surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Istana, telah menyatakan bahawa ahli-ahli politik tidak dibenarkan untuk berceramah di masjid dan surau," ujar Marzuki.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media Jais berhubung penjelasan pemberian tauliah mengajar dan memberi ceramah bagi ahli politik di negeri Selangor, di bilik Mesyuarat Pateh Akhir Bangunan Jais, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Marzuki menjelaskan sekiranya ahli politik dipanggil untuk mana-mana upacara mahupun perasmian yang bertempat di masjid dan surau, maka ia haruslah dibuat di perkarangan premis tanpa ucapan berunsur politik dan lambang parti.

"Kita telah mengeluarkan surat edaran dan peraturan masjid, ianya hanya dibenarkan di luar perkarangan masjid tanpa sebarang lambang mana-mana parti politik, banner mahupun risalah politik dan ucapannya bebas dari unsur politik,"katanya.

Susulan daripada itu, pihak Jais tidak akan memperbaharui sijil tauliah kepada mana-mana ahli politik yang sebelum ini memiliki sijil tersebut daripada pihak Jais.

Sekurang-kurangnya Jais telah mengeluarkan 2,601 sijil tauliah seluruh Selangor setakat ini.

Daripada jumlah itu, kurang daripada 100 sijil sahaja dikeluarkan untuk ahli politik di Selangor.

Bagaimanapun pihaknya tidak mampu memantau semua pergerakan ahli politik yang berceramah tanpa tauliah kerana kekurangan penguatkuasa.

"Jais hanya ada lebih kurang 100 sahaja penguatkuasa jika mahu dibandingkan dengan jumlah masjid yang beribu dan ratusan surau di Selangor,"katanya lagi.

Selangor sekurang-kurangnya memiliki 2,081 masjid dan 380 surau.





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...